Dalam kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada berimaginasi sesuatu yang seronok dan perkara yang mustahil untuk dicapai. Adakalanya, kita berimaginasi sesuatu yang kita inginkan daripada kehendak kita seperti berimaginasi menjadi seorang yang sangat kaya, berimaginasi berada di tempat yang sangat menarik, berimaginasi menjadi seorang yang hebat dan dikagumi ramai dan seumpamanya. Kita biasanya berimaginasi pada masa-masa tertentu seperti berada dalam bilik air, sedang memandu, berada berseorangan di tempat awam, semasa menunggu giliran, semasa tidur iaitu sebelum dan selepas lelap dan bermacam-macam lagi situasi lain. Imaginasi ini berlaku dalam otak kita dan dikawal oleh minda atau akal kita. Sebenarnya, kuasa imaginasi ini sangat kuat jika digunakan dengan baik dan betul sehinggakan ia dapat memberikan manfaat dan kejayaan dalam kehidupan kita.

Sewaktu menjalankan penyelidikan, berimaginasi mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan penyelidikan juga turut membantu memberikan kejayaan dalam penyelidikan. Anda boleh berimaginasi tentang produk yang ingin dihasilkan atau dicipta dimana anda boleh menggunakan minda kreatif anda untuk menghasilkan sesuatu yang baru yang tidak pernah wujud sebelum ini. Anda juga boleh berimaginasi mengenai kegunaan produk yang anda cipta. Dengan berimaginasi secara mendalam situasi penggunaan produk tersebut, anda boleh menghasilkan produk yang sesuai dengan kegunaannya yang tertentu. Sebagai contoh, jika anda ingin menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan penapis air yang baru, anda boleh berimaginasi tentang bentuk penapis air tersebut. Mungkin bentuk yang diimaginasikan lain daripada yang lain yang tidak pernah wujud sebelum ini. Tambahan lagi, anda juga boleh berimaginasi situasi menggunakan penapis air tersebut berdasarkan pengalaman anda.

Dengan berimaginasi secara sedar dan teliti, idea yang diinginkan akan bercambah dan akan menjadi bertambah menarik. Akhirnya, idea tersebut akan membuahkan hasil yang menarik sekiranya ianya direalisasikan. Berimaginasi sahaja tanpa cuba untuk melakukan perkara yang diimaginasikan tidak akan memberikan hasil. Ianya sama seperti Mat Jenin yang hanya tahu berangan-angan tapi tidak melakukannya.

Selain daripada berimaginasi produk yang ingin dihasilkan melalui penyelidikan, anda juga boleh berimaginasi mengenai proses metodologi penyelidikan yang anda rancangkan atau eksperimen yang telah dirancang. Sebagai contoh, dalam situasi untuk menguji penapis air yang ingin dihasilkan, anda perlu merancang untuk menganalisis kandungan bahan toksik dalam air yang ditapis daripada produk penapis yang anda bangunkan. Melalui pengetahuan yang anda ada, anda boleh berimaginasi langkah-langkah secara terperinci semasa melakukan eksperimen seperti cara-cara mengambil sampel air, penyimpanan dan pemuliharaan air, analisis elemen-elemen unsur surihan menggunakan instrumen dan lain-lain lagi. Anda boleh berimaginasi secara tepat dan terperinci setiap tindakan anda dalam eksperimen yang dirancangkan.

Dengan berimaginasi, ia membantu kita memberitahu kepada minda dan badan kita mengenai apa yang akan kita lakukan. Kita seolah-olah berlakon dalam alam minda dan melatih minda untuk melakukan sesuatu perkara dan akhirnya direalisasikan dalam bentuk perbuatan semasa kita menjalankan eksperimen. Berimaginasi juga tidak boleh secara berlebih-lebihan sehinggakan mengganggu tahap pemikiran dan kekuatan minda anda. Berlebih-lebihan dalam berimaginasi akan memenatkan otak dan ianya akan mengundang kepada tekanan terutamanya apabila apa yang diimaginasikan tidak direalisasikan dengan betul dan apa yang diinginkan tidak dipenuhi. Imaginasilah dengan sedar dan dengan pengetahuan yang ada serta realisasikannya dalam penyelidikan, anda pasti berjaya.

 

“Imaginasi lebih penting daripada ilmu pengetahuan”

-Albert Einstein-