Asal perkataan “kompeten” adalah daripada “competence” yang bermaksud “Kelayakan; kemampuan; kesanggupan (untuk melakukan sesuatu)” atau “Competent” yang bermaksud “(mengenai orang) yang mempunyai kebolehan; berkebolehan; layak atau cekap menjalankan tugas dengan sempurna”. Seseorang yang mempunyai tahap kompetensi yang tinggi boleh dilihat daripada seseorang yang akan menjalankan tugas dengan baik dan menyiapkannya dengan sempurna walaupun tugas itu adalah tugas baru bagi mereka. Mereka berkebolehan dan cekap dalam melaksanakan berbagai-bagai tugas. Kebiasaannya, mereka proaktif dan faham dengan sendiri perkara-perkara yang perlu dibuat dalam menyiapkan tugas-tugas yang perlu disiapkan.

Dalam kerja-kerja penyelidikan, banyak tugas-tugas kecil yang perlu disiapkan sendiri bagi mencapai sesuatu objektif penyelidikan yang dirancang. Tugas-tugas kecil ini biasanya merupakan kerja-kerja diluar bidang kita yang perlu dijalankan secara sempurna. Tugas-tugas kecil seperti penggunaan aplikasi komputer juga perlu dititikberatkan bagi memudahkan kerja-kerja penyelidikan dijalankan dengan baik. Tambahan lagi, kerja-kerja penyelidikan saintifik terutamanya dalam bidang kimia, biologi, fizik dan seumpamanya menggunakan kaedah cuba-jaya “Trial and Error”. Dalam kaedah ini, seseorang penyelidik mencuba perkara baru tanpa mengetahui samaada perkara baru tersebut akan mendapat hasilnya atau sebalik. Oleh yang demikian, dengan mencuba sesuatu yang baru, banyak perkara-perkara atau tugas-tugas baru akan dilaksanakan dan kebanyakan daripada tugas-tugas tersebut diluar bidang atau kepakaran kita. Selain itu, kepelbagaian tugas (mult-tasking job) perlu dilaksanakan bagi membuahkan hasil kejayaan kepada penyelidikan. Kepelbagaian tugas bermaksud melakukan tugas-tugas yang pelbagai dalam sesuatu masa. Contohnya, seseorang yang menjalankan penyelidikan untuk membersihkan air kumbahan menggunakan bahan penjerap yang baru perlu menjalankan tugas-tugas yang pelbagai seperti mengambil sampel air, menganalisis bahan yang terkandung dalam air, membangunkan bahan baru yang boleh menjerap kotoran, menganalisis bahan baru tersebut menggunakan kaedah fizik, menulis artikel penyelidikan dan lain-lain.

Tugas-tugas kecil dalam penyelidikan, kaedah cuba-jaya dan kepelbagaian tugas yang perlu dilakukan bagi memastikan kerja-kerja penyelidikan dijalankan dengan baik memerlukan seseorang penyelidik mempunyai tahap kompetensi yang tinggi. Sifat kompetensi sebenarnya lahir dalam diri sendiri bergantung kepada individu tersebut. Sifat ini boleh dipupuk dan ditingkatkan. Salah satu caranya ialah dengan mencuba menjalankan setiap tugas yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Bukan hanya melepaskan batuk ditangga sahaja. Setiap tugasan yang diberikan dilaksanakan dengan teliti, terperinci dan sempurna walaupun tugasan yang diberikan adalah kecil. Selain itu, anda juga boleh meningkatkan tahap kompetensi dengan melaksanakan sesuatu perkara baru dengan tahap sedar yang tinggi iaitu dengan memikirkan secara rasional dan terperinci perkara yang ingin disiapkan dan cuba untuk mengawal minda sedar anda. Jangan biarkan tugas yang ingin dijalankan mengawal anda, tetapi biarlah anda yang mengawal tugas tersebut. Peningkatan tahap kompetensi juga akan berjaya sekiranya anda membuat perkara-perkara ini secara berterusan dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu perkara yang penting sahaja.

Menjalankan kerja-kerja penyelidikan dengan sempurna dan dengan tahap kompetensi yang tinggi bukan hanya memberikan kejayaan kepada kerja-kerja penyelidikan anda, akan tetapi, kejayaan dalam bidang lain atau kehidupan seharian juga akan diperolehi. Latihlah diri anda supaya mencapai tahap kompetensi yang tinggi supaya ia memudahkan kerja-kerja penyelidikan anda dan seterusnya memberikan kejayaan cemerlang dalam penyelidikan yang dijalankan.