Bersifat ingin tahu atau “Curiosity” adalah penting semasa menjalankan penyelidikan saintifik bagi memastikan penyelidikan berjaya dilaksanakan. Dalam menjalankan penyelidikan saintifik seperti dalam bidang kimia, fizik atau biologi, banyak perkara-perkara yang terselindung yang perlu diambil perhatian dan diketahui dalam penyelidikan tersebut. Perkara-perkara yang terselindung atau yang tidak diketahui ini sebenarnya membantu menjayakan eksperimen seterusnya mendapatkan hasil yang terbaik untuk penyelidikan tersebut. Kebiasaannya, ia berlaku apabila seseorang menjalankan penyelidikan saintifik yang melibatkan persilangan sempadan atau bidang seperti menggunakan kaedah kimia dalam penyelidikan biologi atau sebaliknya. Seseorang yang menjalankan penyelidikan dalam bidang biologi sedangkan dia adalah seorang ahli kimia akan merasa sukar untuk menjalankan penyelidikan apabila tiada sifat ingin tahu ini.
Sebagai contoh, apabila seorang ahli kimia menjalankan penyelidikan mengenai pembersihan air menggunakan kaedah biodegradasi (mendegradasikan bahan kimia yang toksik dalam air kepada bentuk bahan yang tidak toksik), dia sebenarnya perlu mengetahui dengan lebih lanjut proses biodegradasi tersebut dan juga perlu mengetahui cara yang betul dalam mengukur kualiti air yang telah dirawat atau dibersihkannnya. Bagi seorang ahli kimia, perkara yang terselindung dalam kajian ini yang tidak diketahui oleh penyelidik tersebut ialah cara agen biodegradasi bertindak dan cara untuk menghasilkan agen biodegradasi tersebut. Contoh yang lebih spesifik ialah mendegradasikan fenol (bahan toksik) menggunakan enzim. Penyelidik tersebut perlu mengetahui cara enzim tersebut bertindak dan perlu mengetahui aktiviti enzim tersebut. Oleh yang demikian, penyelidik tersebut perlu mempunyai sifat ingin tahu dan cuba dengan sedaya upaya untuk bertindak menggunakan landasan atau kaedah yang betul.
Bukan itu sahaja, seseorang penyelidik perlu mempunyai sifat ingin tahu apabila apabila ingin memulakan sesuatu penyelidikan saintifik. Mereka perlu mengetahui masalah-masalah yang berlaku di alam ini supaya kaedah atau ilmu pengetahuan yang ada pada penyelidik dapat digunakan untuk mengatasi masalah tersebut. Selain itu, penyelidik juga perlu mengetahui cara-cara atau kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah-masalah tersebut. Bersifat ingin tahu akan membantu seseorang dalam menghasilkan cadangan penyelidikan (research proposal) kerana dalam cadangan penyelidikan, kita perlu menyatakan permasalahan yang berlaku dan cara yang sesuai digunakan untuk mengatasi permasalahan tesebut.
Berbagai-bagai cara boleh digunakan untuk mempunyai sifat ingin tahu dalam diri seorang penyelidik. Antara yang paling sesuai digunakan ialah dengan menggunakan kaedah persoalan atau pertanyaan.
• Kenapa/mengapa? (Why?) – Mengapa permasalahan ini boleh berlaku?
• Bila? (When?) – Bila permasalahan ini mula-mula berlaku?
• Bagaimana? (How) – Bagaimana caranya untuk mengatasi masalah ini?
• Siapa? (Who) – Siapakah yang bertanggungjawab dalam permasalahan ini?
• Dimana? (Where?) – Dimana masalah sering berlaku?
Dengan bertanyakan beberapa soalan-soalan yang relevan berkaitan penyelidikan dan cuba untuk mencari jawapannya, anda sebenarnya bersifat ingin tahu. Soalan-soalan tersebut perlulah didalam lingkungan yang berkaitan penyelidikan yang dijalankan. Bertanyakan banyak soalan tetapi tidak mencuba untuk mencari jawapannya akan mengundang kegagalan dan biasanya penyelidikan akan tergantung dan tidak berkesudahan. Pada zaman sekarang iaitu di era internet, kita boleh mendapat jawapan kepada berbagai-bagai persoalan dengan hanya menekan butang sahaja. Berbagai-bagai maklumat akan diperolehi daripada internet atau dalam buku yang semakin berkembang pada masa sekarang. Akan tetapi, kita perlulah pandai mencari maklumat dan maklumat tesebut relevan dan berkaitan dengan penyelidikan kita.
Bersifat ingin tahu juga boleh dipupuk melalui perbincangan samaada secara formal atau tidak formal. Dalam perbincangan yang dilakukan dengan rakan-rakan, banyak isu yang boleh dirungkaikan dan banyak persoalan yang boleh dijawabkan.
Biasanya, saya lebih suka membuat sesuatu eksperimen yang dirancang terlebih dahulu sebelum mengetahui apakah hasil yang akan diperolehi. Sebagai contoh, saya akan mencuba menganalisis sesuatu bahan menggunakan kaedah atau teknik yang saya bangunkan sendiri. Sekiranya teknik tersebut dapat memberikan hasil dan kualiti yang baik, saya akan teruskan dengan teknik tersebut tetapi sekiranya tidak berjaya, saya akan cuba mencari kaedah yang sesuai daripada buku-buku atau piawai-piawai yang telah ditetapkan. Selain itu, saya lebih suka bertanya kepada orang yang pakar dalam bidang tertentu yang boleh mengajar kita untuk membuat sesuatu perkara diluar bidang kita. Apabila saya ingin mengetahui cara mengendalikan bakteria, saya akan meminta pandangan ahli mikrobiologi dan sekiranya saya ingin mengetahui cara untuk menanam pokok, saya akan bertanya kepada petani. Dengan bertanya dan belajar daripada pakar, kita akan lebih memahami perkara yang diluar bidang kita.
Tanamkan dalam diri sifat ingin tahu yang tinggi dan berusahalah untuk mencari penyelesaiannya. Mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi tetapi tidak berusaha mencari penyelesaiannya sama seperti pokok buah yang sangat rendang dan besar tetapi tiada buah yang dihasilkan.