Sifat proaktif adalah salah satu sifat atau kelakuan orang yang berkesan (Berjaya) yang disebut oleh Stephen Covey dalam bukunya bertajuk “7 Kelakuan orang yang berkesan (The 7th Habits of Highly Effective People)”. Sekiranya kita mahu menjayakan penyelidikan yang dijalankan, kita perlu mempunyai sifat proaktif kerana mengikut Stephen Covey, sifat-sifat ini dipunyai oleh mereka yang telah pun berjaya dalam hidup mereka. Orang yang proaktif berbeza dengan orang yang pasif. Orang yang pasif hanya menjalankan sesuatu tugas bergantung kepada keadaan sekeliling yang membantu dalam kerja penyelidikan manakala orang yang proaktif mempunyai tahap kesediaan untuk menjalankan kerja penyelidikan pada setiap masa tidak kira samaada sekitaran yang membantu atau tidak membantu penyelidikan yang dijalankan. Orang yang pasif hanya memberi respon apabila sekitarannya memudahkan kerja penyelidikan tersebut dan mereka tidak akan menjalankan eksperimen pada keadaan yang tidak ada kemudahan dalam melakukan penyelidikan. Orang yang proaktif akan memberi respon atau menjalankan kerja penyelidikan pada setiap masa tanpa memikirkan sekitaran sekeliling samaada sekitarannya membantu atau tidak.

Orang yang pasif akan melakukan sesuatu eksperimen apabila keadaan yang mengizinkan atau memudahkan kerja penyelidikan dapat dicapai. Sebagai contoh, apabila seorang ahli sains bahan ingin menghasilkan satu bahan yang baru seperti bahan tak organik yang baru yang boleh digunakan untuk membunuh bakteria, ahli sains bahan tersebut perlu mencirikan bahan yang disintesisnya menggunakan berbagai-bagai teknik atau instrumen yang tinggi nilainya yang spesifik kepada pencirian bahan tak organik. Biasanya, instrumen yang digunakan dalam pencirian bahan tak organic seperti kaedah penyerakan sinar-X (X-Ray Diffraction, XRD), Kaedah Mikroskopi Imbasan Elektron (scanning Electron Microscopy, SEM) dan berbagai-bagai lagi instrumen berkualiti tinggi agak mahal nilainya dan juga nilaian servis yang tinggi. Bagi ahli sains bahan yang pasif, mereka hanya bergantung kepada instrumen-instrumen ini sahaja dan jika terdapat masalah untuk mencirikan bahan yang disintesis menggunakan instrumen ini, tahap motivasi orang yang pasif ini akan menurun dan mereka tidak berusaha mencari alternatif untuk menjalankan eksperimen lain. Sebaliknya, bagi ahli sains bahan yang proaktif, mereka akan mencari kaedah alternatif yang dapat membantu kerja-kerja penyelidikan tersebut. Sebagai contoh, sekiranya situasi yang sama berlaku terhadap penyelidik yang proaktif, mereka akan mencari kaedah alternatif lain yang dapat mencirikan bahan yang disintesis seperti kaedah kajian antibakteria terhadap bahan tak organik tersebut. Selain itu, orang yang proaktif juga akan mencari instrumen-instrumen pencirian di tempat yang lain yang sama dengan instrumen yang bermasalah. Kelakuan orang yang proaktif inilah akan membantu seseorang penyelidik menjayakan kerja penyelidikannya.

Banyak lagi contoh-contoh yang boleh diperhatikan apabila kita ingin membezakan orang yang proaktif dan pasif. Kita boleh perhatikan penyelidik yang proaktif dan pasif dan kita boleh kenal daripada kelakuan mereka. Orang yang pasif sentiasa merungut dan membuat aduan kerana merasakan pihak lain tidak membantu dalam kerja penyelidikannya. Sebagai seorang penyelidik yang inginkan kejayaan, janganlah terpengaruh dengan sikap, kelakuan dan kata-kata orang yang pasif kerana mereka mempunyai pemikiran yang berbeza yang melihat kepada sekitaran luaran sahaja. Akan tetapi, bagi orang yang proaktif, mereka tidak merungut mengenai keadaan sekitaran tetapi lebih menyalahkan kepada diri sendiri. Mereka sering menyatakan bahawa kesalahan yang dibuat datang dari diri sendiri dan bukan daripada orang lain. Orang proaktif tahu bahawa sukar untuk mengubah orang lain dan hanya diri sendiri dapat mengubah diri sendiri. Ikutlah mereka yang proaktif dan elakkan daripada mencontohi mereka yang pasif.

Tinggi nilainya apabila kita menjadi orang yang proaktif. Kita bukan hanya berjaya dalam penyelidikan, tetapi juga dalam kehidupan. Sebagai penyelidik, kita perlu menjadi proaktif kerana dalam kerja-kerja penyelidikan, banyak halangan dan rintangan yang terpaksa dihadapi seperti instrumen yang tidak dapat berfungsi dengan baik, kekurangan bahan kimia atau bahan mentah, kekurangan alat radas, tiada tempat yang selesa untuk menjalankan eksperimen, rakan-rakan makmal yang menyusahkan dan berbagai-bagai lagi rintangan yang tidak dijangka akan berlaku sewaktu menjalankan kerja penyelidikan.

Orang yang proaktif juga dikaitkan dengan sifat kerajinan tinggi yang ada dalam dirinya. Mereka rajin melakukan kerja-kerja penyelidikan, mereka rajin mencari maklumat atau melakukan kajian literatur, mereka rajin merancang eksperimen dan rajin melakukan eksperimen, mereka rajin datang ke makmal untuk melakukan kerja makmal, mereka rajin bertanya dan berbagai-bagai lagi aktiviti yang menghala kearah menjayakan penyelidikan saintifik. Orang yang rajin akan sentiasa berada dimakmal untuk melakukan eksperimen dan menggunakan masa yang terluang bagi menyiapkan kerja-kerja penyelidikan yang telah dirancang. Dengan kerajinan inilah yang akan membantu penyelidik mendapatkan hasil penyelidikan yang baik dan berjaya dalam kajian yang dijalankan.

Menjadi orang yang proaktif dan sentiasa proaktif dalam amalan seharian akan berhasil dengan jayanya sekiranya kita sentiasa berusaha kearah kelakuan tersebut. Kita tidak boleh menjadi proaktif dalam masa sehari, seminggu atau sebulan sahaja, kita akan menjadi proaktif sekiranya kita amalkan sikap ini setiap hari dan setiap masa. Kita boleh melatih menjadi proaktif dengan mengenal diri sendiri, melatih diri bersabar, melatih diri meningkatkan tahap kendiri diri, banyakkan membaca buku motivasi, sifat kerajinan yang tinggi dan lain-lain perkara yang dapat membantu menjadi seorang yang proaktif. Anda boleh ,membaca buku yang dikarang oleh Stephen Covey bagi memahami dengan lebih mendalam cara untuk menjadi orang yang proaktif. Jadilah penyelidik yang proaktif, bukan pasif.