Menjadi seorang penyelidik adalah satu tugas yang mulia kerana seorang penyelidik berusaha untuk menunaikan tanggungjawab sebagai manusia yang bertanggungjawab terhadap alam sekeliling dengan cara menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian dan juga dalam alam sekeliling. Tugas untuk menyelesaikan sesuatu masalah sebenarnya terletak diatas bahu setiap individu kerana kita semua bertanggungjawab terhadap kehidupan ini dan juga keadaan sekeliling. Akan tetapi, tanggungjawab oleh penyelidik-penyelidik lebih daripada individu lain kerana mereka menggunakan kebanyakan masa dalam kehidupan seharian mereka memikirkan cara untuk menjalankan penyelidikan seterusnya cuba untuk mengatasi masalah-masalah sekeliling. Ahli penyelidik juga menggunakan kaedah saintifik iaitu kaedah yang teratur dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.
Dalam kaedah penyelidikan saintifik, terutamanya semasa membuat perancangan penyelidikan (research proposal), penyelidik perlu mencari permasalahan dan menyatakan dalam bentuk pernyataan masalah (problem statement). Dengan sebab itulah, setiap penyelidikan saintifik yang dijalankan perlu memikirkan masalah yang boleh diatasi melalui penyelidikan saintifik yang kita jalankan atau kita perlu fikirkan kaedah saintifik yang sesuai untuk mengatasi masalah-masalah. Pada zaman moden sekarang ini, terlalu banyak masalah yang timbul seperti pencemaran alam, masalah pemanasan global, kekurangan makanan, masalah kesihatan, masalah sosial, peningkatan komunikasi tanpa batasan, masalah teknologi yang dibangunkan dan berbagai-bagai lagi masalah yang timbul diluar pemikiran kita. Masalah-masalah inilah perlu difikirkan oleh ahli sains dalam penyelidikan saintifik mereka. Tambahan pula, ahli penyelidik juga perlu memikirkan cara yang lebih baik bagi meningkatkan perkara yang sudah sedia ada.
Dalam bidang penyelidikan saya iaitu pembangunan bahan tak organik yang boleh digunakan dalam bidang biologi, saya perlu fikirkan masalah yang boleh diatasi daripada bahan yang saya bangunkan. Secara spesifik dalam bidang penyelidikan saya, bahan atau ejen antibakteria tak organik yang saya bangunkan boleh mengatasi masalah penyebaran bakteria patogenik yang berbahaya kepada persekitaran. Ejen antibakteria yang saya bangunkan mempunyai nilai-nilai tambah tertentu yang menjadikannya lebih baik daripada ejen antibakteria yang ada pada masa sekarang. Tambahan lagi, ejen antibakteria yang saya bangunkan bertujuan untuk mengatasi masalah peningkatan penyakit yang berasal daripada bakteria patogenik.
Apabila kita ingin berjaya dalam menjalankan penyelidikan, kita perlu memasang niat untuk melakukan penyelidikan disebabkan oleh tanggungjawab kita sebagai manusia dalam menyelesaikan masalah-masalah alam sekeliling. Kita perlu merasakan bahawa kita bertanggungjawab dalam alam ini dan kita cuba berusaha untuk mengatasi masalah supaya alam yang kita duduki ini akan dapat dijaga dengan baik dan dapat dihindari daripada kerosakan. Penyelidikan yang kita jalankan bukan untuk kepentingan diri sendiri, tapi cuba fikirkan bahawa kerja penyelidikan yang kita jalankan adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan alam sejagat. Sekiranya kita menjalankan penyelidikan saintifik dalam bidang kimia, kita boleh menggunakan ilmu yang ada untuk mengatasi masalah pencemaran yang sedang meningkat dan merbahaya pada masa sekarang. Sekiranya kita menjalankan penyelidikan dalam bidang biologi, kita boleh menggunakan kaedah biologi yang mesra alam dalam merawat pencemaran alam sekitar. Semua ini adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Apakah kaitan antara merasa tanggungjawab dalam menjalankan penyelidikan dengan berjaya dalam kerja penyelidikan yang dijalankan? Apabila kita merasakan bahawa kerja penyelidikan yang dijalankan adalah tanggungjawab kita dan bukan untuk kepentingan diri, kita akan melakukan kerja penyelidikan tersebut dengan cara yang terbaik dan bukan secara sambil lewa dan bukan hanya sekadar “melepaskan batuk ditangga”. Apabila kita memasang niat untuk memperbaiki masalah yang ada, kita sebenarnya menuju kepada situasi masalah sebenar yang timbul dan masalah yang sebenar akan memberi kita idea atau ruang untuk kita mengatasinya dengan cara yang terbaik dan berkesan. Penyelidikan kita akan dimudahkan dengan situasi-situasi yang sebenar atau dalam realiti sebenar. Hasil daripada penyelidikan pula akan dapat digunapakai dalam keadaan yang sebenar dan bukan hanya sekadar teori atau hipotesis semata-mata. Pada zaman sekarang yang penuh dengan kerosakan akibat daripada kerakusan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, kita sebagai penyelidik perlu memikirkan cara yang boleh dibuat untuk mengatasi kerosakan-kerosakan yang tealh berlaku dalam alam ini.
Dalam agama Islam, umat Islam percaya bahawa manusia diturunkan dibumi sebagai khalifah Allah iaitu sebagai pemimpin kepada alam ini. Setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab masing-masing dan sebagai khalifah, manusia bertanggungjawab dalam alam ini. Sebagai seorang muslim, apabila kita memasang niat dengan betul iaitu niat menunaikan tanggungjawab, tuhan akan meminta alam ini membantu kita menjalankan penyelidikan seterusnya memberikan kejayaan dalam kerja penyelidikan kita. Dalam kepercayaan lain juga seperti hukum karma turut percaya bahawa apabila manusia membuat kebaikan dan kebajikan dialam ini, kita akan dibalas dengan kebaikan juga. Apabila kita merasa bertanggungjawab terhadap alam ini dan cuba untuk menyelesaikan masalah dialam ini, alam juga akan membantu diri kita. Dalam kerja penyelidikan pula, apabila niat kita adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku, kita akan dirahmati dan dibantu oleh alam dan seterusnya akan memberikan kejayaan dalam kerja penyelidikan. Apa yang paling penting ialah rasa bertanggungjawab dalam diri penyelidik dan bukan melakukan penyelidikan untuk kepentingan diri sendiri, anda pasti akan berjaya dibantu oleh alam ini.