Setiap manusia mempunyai masalah tersendiri samaada masalah dalaman atau luaran, masalah yang biasa, rutin atau masalah baru, masalah yang melibatkan wang, masa, kerja, tanggungjawab, kesihatan, pemikiran dan berbagai-bagai bentuk masalah. Masalah yang timbul ini mungkin datang akibat daripada perbuatan kita sendiri atau ianya adalah satu ujian atau daripada masalah luaran yang tidak dijangka. Tidak ketinggalan juga sebagai seorang penyelidik, kita sentiasa berhadapan dengan masalah dalam berbagai bentuk. Tetapi ungkapan inilah yang membantu saya meningkatkan motivasi sebagai penyelidik:
“Setiap manusia ada masalah, yang membezakan antara seorang manusia dan manusia yang lain ialah cara menangani masalah tersebut. Orang yang berjaya akan menangani masalah yang dihadapi dengan cara bijak”
- Nik Ahmad Nizam –
Ungkapan ini dapat membantu meningkatkan diri supaya dapat menangani masalah dengan baik. Dalam penyelidikan saintifik, kita sebagai penyelidik perlu menyelesaikan masalah alam yang timbul seperti masalah kekurangan makanan, masalah pencemaran, masalah kesihatan dan lain-lain masalah secara sistematik. Dalam penyediaan rancangan penyelidikan (Research proposal), seorang penyelidik perlu menyatakan pernyataan masalah (Problem statement) yang menjadi penyebab kepada kajian yang dijalankan dan kepentingannya. Akan tetapi, masalah yang dimaksudkan disini dan akan dibincangkan adalah masalah yang berkaitan dengan diri kita sebagai penyelidik yang menjalani rutin kehidupan seperti manusia biasa. Kita juga perlu menyelesaikan masalah ini dengan baik, bijak dan bersistematik supaya masalah yang timbul tidak akan menjejaskan kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan.
Orang yang berjaya sentiasa menganggap masalah yang timbul adalah satu kebaikan yang perlu dihadapi. Mereka sentiasa menganggap masalah yang timbul adalah dalam bentuk positif dan bukannya negatif. Apabila orang positif melihat air yang ada dalam gelas hanya tinggal separuh sahaja, mereka mengatakan bahawa gelas tersebut berisi separuh air manakala orang yang negatif mengatakan gelas tersebut kurang separuh air. Orang yang positif melihat masalah sebagai batu loncatan untuk meningkatkan diri, menginsafi diri, memperbaiki kelemahan, mencari kesalahan diri, mengukuhkan kekuatan diri dan akhirnya, berjaya dalam kehidupan. Manakala orang yang negatif atau kurang berjaya menganggap masalah yang timbul adalah batu halangan untuk mereka berjaya dan menjadikan masalah tersebut sebagai satu alasan untuk tidak mahu berusaha dengan gigih. Orang yang negatif sentiasa memikirkan bahawa masalah sentiasa menghalang daripada mencapai sesuatu objektif manakala orang yang positif menjadikan masalah sebagai sebab untuk mencapai sesuatu objektif atau kejayaan. Anda bagaimana? Ingin menjadi orang yang positif atau negatif?
Dalam menjalankan penyelidikan, banyak masalah yang akan timbul. Sebagai contoh, masalah berkaitan penyelidikan seperti kekurangan peruntukan kewangan bagi pembelian barang-barang penyelidikan, masalah kesihatan seperti selalu demam dan selsema sehingga menjejaskan kerja-kerja makmal, masalah kawan-kawan yang pentingkan diri sendiri seperti penggunaan alat radas untuk diri sendiri sahaja tanpa memikirkan orang lain, masalah tempat tinggal seperti berjauhan daripada makmal atau tiada akses internet, masalah keluarga seperti keadaan kesihatan anak-anak atau isteri atau suami yang tidak baik (bagi penyelidik yang sudahpun berkahwin), masalah sistem pengurusan penyelidikan, masalah internet, masalah infrasruktur dan berbagai-bagai lagi masalah yang tidak dijangka yang boleh menjejaskan kerja-kerja penyelidikan. Seperti seorang manusia biasa yang inginkan kejayaan dalam kerja penyelidikan, kita perlu mengatasi masalah-masalah ini dengan baik dan berhemah serta bijak.
Banyak cara atau teknik yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini. Cuba untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik berbeza dengan cuba untuk berdiam diri terhadap masalah atau cuba untuk tidak mempedulikan masalah yang berlaku. Cuba untuk untuk menyelesaikan sesuatu masalah dianggap suatu kebajikan dan kebaikan kerana ia akan memberikan kesan yang positif kepada sekitaran dalaman dan luaran. Akan tetapi, cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang kurang bijak adalah tindakan yang tidak baik kerana ianya bersifat pentingkan diri sendiri. Oleh itu, lebih elok sekiranya kita sentiasa mencuba untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik dan bijak. Kenapa sekadar mencuba? Kenapa tidak terus menyelesaikan masalah? Ini kerana mencuba bererti berusaha kearah sesuatu untuk berjaya, jika tidak berjaya, terus mencuba lagi untuk mencuba cara yang lain sehingga masalah berjaya dikurangkan atau ditangani. Berusaha kearah penyelesaian masalah adalah sesuatu yang baik dan amalan yang sihat kerana penyelesaian masalah dengan cara bijak sebenarnya melatih minda untuk sentiasa berfikir sebelum bertindak. Apabila minda sentiasa berfikir, dengan secara automatiknya badan akan sihat.
Salah satu daripada kemahiran generik atau kemahiran insaniah yang ditekankan di universiti yang perlu dipupuk semasa pengajian ijazah sarjana muda ialah “Penyelesaian masalah dan berfikir secara kritis (Problem solving and ctitical thinking)”. Tujuan kemahiran insaniah ini diwujudkan ialah untuk memastikan pelajar-pelajar sarjana muda mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dengan cara berfikir secara kritis. Universiti melihat kemahiran ini perlu dipupuk sewaktu pelajar menjalankan pengajian diperingkat sarjana muda kerana kemahiran ini penting dalam alam pekerjaan terutamanya mereka yang bekerja diperingkat atasan seperti pegawai dan pengarah. Bukan itu sahaja, kemahiran ini juga penting bagi seorang penyelidik.
Terdapat berbagai cara yang bijak yang boleh diikuti bagi menangani sesuatu masalah. Cara yang diberikan disini hanyalah sedikit sahaja dan anda sebenarnya yang berhak untuk menangani masalah tersebut dengan cara tersendiri. Antara cara bijak yang boleh diikuti ialah seperti di peta gambarajah ini.
Positifkan Reaksi Pertembungan Pertama
Pada tahap permulaan masalah yang timbul, kita sebenarnya diberi pilihan samaada kita ingin bertindak mengikut emosi atau berfikir dengan bijak bagi menangani masalah tersebut. Sebagai situasi contoh, masalah yang berlaku sekiranya kita mendapat maklumat bahawa peralatan yang kita tempah selama 3 bulan akhirnya rosak dan menjejaskan data analisis kerja penyelidikan kita. Kerosakan pada peralatan ini akan memberikan masalah dalam analisis data eksperimen. Apabila pertama sekali kita mendengar berita tentang kerosakan ini, kita sebenarnya diberi banyak pilihan, samaada kita merasa berputus asa, sedih, ingin mengamuk, tidak berpuas hati, menyesal atau kita merasa syukur, fikir tentang cara alternatif, sabar dan lain-lain. Setelah itu, kita akan terus memikirkan tindakan yang akan dibuat samaada berhenti atau teruskan kerja penyelidikan. Kita sendiri mempunyai pilihan keatas perasaan dan tindakan tersebut kerana hanya diri sendiri sebenarnya yang mampu untuk memilih, bukan orang lain. Jadi, dalam keadaan sebegini, eloklah sekiranya perasaan dan tindakan yang positif ditimbulkan setelah mendapat berita atau maklumat tentang masalah yang timbul.
Dalam reaksi pertama pertembungan dengan masalah ini, perkara yang boleh dilakukan ialah dengan cara mengawal minda kita supaya minda kita mempositifkan masalah tersebut. Reaksi pertembungan kali pertama inilah yang akan membantu dalam mengatasi masalah yang timbul seterusnya. Reaksi positif yang boleh ditimbulkan ialah dengan memujuk diri sendiri supaya sabar dengan masalah ini dan cuba untuk mencari penyelesaian dengan baik. Selain itu, anda juga boleh mempositifkan masalah ini dengan menganggap masalah yang timbul ialah untuk kebaikan diri sendiri seperti untuk memperbaiki diri, menguji diri dan sebagainya. Anda juga boleh mempositifkan masalah dengan cara memberitahu kepada diri sendiri bahawa masalah yang timbul “senang” dan “mudah” untuk diselesaikan. Dengan cara mempositifkan masalah ini, anda sebenarnya dengan cara tidak sengaja tidak perlu memikirkan masalah ini terlalu mendalam sehingga boleh menekan anda. Anda sebenarnya sudahpun menyelesaikan masalah ini dengan mudah.
Sabar
Cara bijak yang lain untuk mengatasi sesuatu masalah ialah dengan cara bersabar, bersabar dan terus bersabar. Sabar dengan erti kata tidak marah, tidak bersedih, tidak berputus asa apabila berhadapan dengan situasi masalah tersebut. Selain itu, kita juga perlu redha dan menerima masalah yang timbul dengan seadanya dan sentiasa bersifat positif. Keadaan ini sebenarnya lebih kepada kawalan minda dimana kita memberitahu kepada diri sendiri bahawa masalah yang timbul dapat diatasi dengan baik dan senang untuk dilakukan. Kita cuba menenangkan minda kita bahawa setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya. Kita juga perlu sabar semasa menyelesaikan masalah supaya masalah yang dihadapi tidak bertambah parah. Sebagai contoh, ada dikalangan kita yang tidak sabar untuk mendapatkan hasil daripada eksperimen yang dijalankan dan berani untuk menipu dalam memberikan data dan mempersembahkan hasil eksperimen. Penipuan dalam data saintifik sebenarnya amalan yang berlawanan dengan etika penyelidikan dan perlu ditegah. Penipuan data ini sebenarnya akan memburukkan keadaan dan menambahkan masalah sekiranya seseorang itu tidak mahir dengan eksperimen yang dijalankan. Keadaan ini bakal menngundang kemarahan penyelidik lain sekiranya data yang diberikan adalah berlainan dengan data yang diulangi. Jadi, kepada penyelidik-penyelidik, sentiasalah sabar dalam menjalankan kajian saintifik dan tingkatkan daya usaha anda.
Mencuba Cara Alternatif
Cara biasa saya amalkan apabila bertembung dengan sesuatu masalah ialah dengan cara mencuba kaedah alternatif iaitu dengan cara yang lain dalam eksperimen yang dijalankan. Sebagai contoh, saya pernah mencuba membangunkan teknik sendiri bagi penentuan anion kromat dalam air. Bagi memudahkan kerja, ion kromat iaitu ion kromium yang mempunyai nombor pengoksidaan 6 dalam larutan akues mudah ditentukan menggunakan kaedah spektroskopi penyerapan atom, akan tetapi instrumen ini sentiasa rosak dan hanya satu unit sahaja dijabatan tempat saya menjalankan penyelidikan. Oleh itu, bagi memastikan masalah ini tidak menjejaskan kerja penyelidikan saya, saya mencuba kaedah alternatif iaitu dengan kaedah kolorimetri iaitu mengubah ion kromat kepada bahan berwarna dan menggunakan alat spektroskopi nampak yang mudah dan banyak dimakmal kimia. Kaedah alternatif ini akhirnya membantu dalam eksperimen saya. Begitu juga dengan anda, sekiranya berlaku masalah terhadap sesuatu instrumen, cubalah mencari jalan atau kaedah alternatif yang menjurus kepada kejayaan sesuatu objektif. Banyak kaedah alternatif yang dapat dilakukan sekiranya kita memahami konsep yang ingin dijalankan.
Perkara yang penting apabila kita ingin mencuba kaedah alternatif dalam menyelesaikan masalah ialah dengan memahami sesuatu perkara secara asas dan dasarnya. Pemahaman secara asas perkara tersebut akan membantu penyelidik berfikiran secara kritis dan menemui cara alternatif terhadap perkara tersebut. Dalam bidang saintifik, banyak kaedah alternatif yang dapat membantu menghasilkan data yang baik. Sebagai contoh, apabila kita ingin mengkaji bahan yang boleh membunuh bakteria iaitu bahan anti-bakteria, kita boleh mengkaji daripada pelbagai sudut kajian seperti kesan bahan tersebut secara kimia atau secara fizikal atau daripada sudut yang berbeza iaitu berkaitan dengan bakteria yang ingin dibunuh dan dikaji secara biologinya. Apabila kita tiada alatan atau fasiliti yang menjurus kepada kaedah kimia atau fizik, kita boleh menggunakan kaedah biologi bagi kajian tersebut. Jangan sempitkan pemikiran anda terhadap perkara yang sama, cuba untuk “berfikir diluar kotak”.
Bertanya
Cara lain untuk menangani sesuatu masalah ialah dengan cara meminta pertolongan daripada orang lain. Kita hidup di dunia ini bukanlah berseorangan, tetapi Tuhan telah menjadikan manusia dengan berbagai-bagai sifat. Manusia juga mempunyai sifat variasi antara setiap manusia iaitu sifat yang berbeza antara satu sama lain. Sifat ini diwujudkan ialah supaya kita dapat berkenalan dengan orang lain dan juga dapat meminta pertolongan dengan orang lain. Setiap daripada kita mempunyai keistimewaan, kelebihan, kekuatan dan kelemahan tertentu. Ada yang mempunyai fikiran saintifik yang kuat dan ada yang suka berimaginasi dan sebagainya. Setiap individu dilahirkan berbeza dan diri kita juga berbeza dan kita juga ada kelemahan tertentu yang orang lain boleh bantu.
Cara yang paling sesuai untuk meminta pertolongan ialah dengan bertanya. Dengan hanya bertanya perkara yang kita tidak tahu, tidak semestinya kita tidak pandai. Dengan bertanyalah sebenarnya kita akui bahawa diri kita masih lemah. Apabila kita mempunyai masalah, kita perlu bertanya kepada mereka yang pakar. Apabila seorang penyelidik matematik ingin mengendalikan sampel kajian geologi atau artifak, dia perlu bertanya kepada ahli geologi. Apabila seorang ahli kimia ingin membaca dan ingin mengintrepretasikan imej daripada sinar-X, dia perlu bertanya kepada pakar pengimejan atau doktor perubatan. Apabila seorang ahli biologi ingin bertanya mengenai kadar pergerakan cecair dalam sesuatu saluran yang bertekanan tinggi, dia perlu bertanya kepada jurutera dan sebagainya. Apabila menghadapi masalah, tanyalah kepada yang pakar dan belajarlah daripada mereka.
Dalam dunia yang serba canggih sekarang ini, kita boleh berkomunikasi dengan orang lain yang berada disudut dunia yang berbeza dalam masa singkat sahaja. Dengan menggunakan internet cara yang betul, kita sebenarnya bertanya kepada dunia luar perkara yang kita ingin ketahui. Sekarang ini, kita boleh mendapat maklumat yang dikehendaki dengan cara yang sangat pantas. Kita boleh bertanyakan mengenai asas sesuatu perkara, kita boleh bertanyakan mengenai perkara yang rumit dan komplikated dan berbagai-bagai lagi soalan dalam internet. Teknik yang betul dalam mencari maklumat dalam internet perlu diketahui dan dipelajari supaya maklumat yang diberikan relevan dengan penyelidikan kita.
Membuat Kajian
Sebagai penyelidik dalam penyelidikan saintifik, kita sebenarnya mencuba untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara saintifik iaitu dengan cara yang bersistematik. Sebagai contoh, apabila kita ingin mengkaji keberkesanan pokok herba dalam merawat penyakit, kita perlu membuat kajian awal iaitu dengan mencari dan membaca bahan bacaan yang berkaitan seperti maklumat bahan aktif yang terdapat dalam herba tersebut, membuat perancangan secara terperinci (research proposal), merancang eksperimen seperti merancang untuk mengetahui secara saintifik bahan aktif yang terdapat dalam herba tersebut, menjalankan eksperimen, mengambil data, menganalisis data dan akhirnya, mempersembahkan hasil kajian dalam bentuk artikel saintifik. Kita perlu memastikan kajian yang dibuat dijalankan secara saintifik dan bersistematik. Selain itu, dalam eksperimen yang kita jalankan, kita sering mengkaji berbagai-bagai faktor atau pelbagai parameter yang akan memberikan kesan terhadap hasil kajian kita. Dalam contoh diatas, beberapa parameter yang boleh dikaji ialah seperti amaun herba yang ingin digunakan, jenis-jenis pelarut yang boleh melarutkan bahan aktif dalam herba tersebut, kesan perubahan suhu, pH, masa dan sebagainya.
Begitu juga dengan masalah yang kita sendiri hadapi, kita juga boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan cara sistematik. Apabila kita ingin menyelesaikan masalah kita boleh merancang secara sistematik perkara yang ingin diselesaikan. Kita boleh bermula dengan mencari faktor-faktor yang menyebabkan masalah tersebut. Daripada faktor-faktor tersebut, kita boleh meminta pandangan orang lain atau mencari maklumat cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Selepas semua faktor-faktor dikenalpasti dan maklumat-maklumat diperolehi, kita perlu membuat perancangan terlebih dahulu dan memastikan perancangan tersebut sesuai dijalankan. Kemudian, buatlah sepertimana yang dirancang dan cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut. Semasa penyelesaian masalah sedang dibuat, pastikan ianya tidak menimbul masalah lain dan perlu berhati-hati dalam pelaksanaan tersebut. Sekiranya pelaksanaan untuk menyelesaikan masalah tidak berkesan, undur setapak kebelakang dan buatlah perancangan baru dengan baik. Akhir sekali, sekiranya masalah tersebut dapat diselesaikan dengan baik, muhasabahlah diri supaya masalah yang sama timbul dapat dielakkan. Kaedah penyelesaian masalah secara saintifik dan sistematik ini agak sukar tapi sebenarnya ia banyak membantu dalam menyelesaikan masalah yang rumit dan komplikated.
Berdoa
Dalam Islam, doa adalah perisai dan senjata bagi umat Islam. Kita perlu berdoa bagi mengelakkan daripada mendapat masalah dan berdoa supaya masalah dapat diselesaikan. Doa secara spesifik dengan mengikut cara-cara yang betul membantu kita menyelesaikan masalah atau akan dipermudahkan dalam menyelesaikan masalah. Berdoa adalah satu cara meminta pertolongan daripada yang Maha Kuasa.
Kaedah-kaedah penyelesaian masalah yang bijak, teratur dan berkesan perlu dilakukan supaya kita berbeza dengan orang lain. Ada juga cara bijak lain yang boleh dilakukan dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan ianya bergantung kepada diri-sendiri. Apa yang penting, cuba untuk menyelesaikan masalah dengan bijak dan jangan mengelak untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jangan membiarkan masalah yang dihadapi menjadi semakin parah dan akhirnya sukar untuk diselesaikan. Tanganilah dengan cepat dan berusahalah untuk menanganinya secara bijak dan baik.