lis”, “membaca” dan “mengira” juga turut penting dalam memastikan kejayaan dalam penyelidikan yang dilakukan. Kemahiran 3M pada tahap ini mestilah bersesuaian dengan tahap kita sebagai penyelidik, saintis, ahli kimia, ahli biologi dan sebagainya. Secara praktikalnya 3M dulu dan kini jauh berbeza. Dengan penggunaan komputer dan alatan serba canggih dan maklumat yang cepat sekarang ini, kita sebagai penyelidik mampu menjalankan penyelidikan dengan pantas dengan bantuan-bantuan teknologi ini. Kemahiran 3M ini nampak mudah bagi kita, tetapi ianya perlu dilakukan dengan baik, bijak dan konsisten sepanjang penyelidikan yang dijalankan. Cara bijak bererti mempraktikkan amalan 3M ini dengan memikirkan cara yang sesuai dan relevan dengan kaedah atau bidang penyelidikan kita manakala cara yang konsisten ialah mempraktikan amalan 3M dari mula penyelidikan sehingga ke akhirnya. Walaupun kita telah berupaya menguasai asas 3M yang mudah dari kecil lagi, kemahiran 3M dalam bidang penyelidikan dan saintifik perlu dilakukan setiap masa kerana bahasa dan ayat serta kaedah saintifik berbeza dengan asas yang normal atau yang tersedia ada. Kita perlu memahami teknik yang sesuai dalam meningkatkan kemahiran ini.
Menulis, nampak mudah tapi jika tidak kena dengan caranya, hasil penyelidikan akan menjadi sia-sia. Dalam bidang penyelidikan, menulis sesuatu berkenaan dengan hasil penyelidikan adalah salah satu cara penyelidik berkomunikasi dengan penyelidik lain dalam bidang yang sama. Kebanyakan daripada penyelidik yang terkenal dan berjaya mempunyai hasil penulisan yang banyak dan juga berkualiti tinggi. Kualiti penulisan artikel-artikel penyelidikan yang diterbitkan biasanya dinilai daripada jumlah yang tinggi dijadikan sebagai rujukan oleh penulis lain atau diterbitkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa berimpak tinggi. Kualiti penyelidikan juga bergantung kepada kualiti penulisan yang ditonjolkan. Ada penyelidik yang hanya mempunyai data atau hasil kajian yang sangat bagus tapi oleh kerana penulisannya tidak berkualiti, hasil penyelidikan juga akan menjadi kurang berkualiti. Akan tetapi, ada dikalangan penyelidik yang hanya mempunyai data atau hasil penyelidikan yang biasa tapi mempunyai kekuatan dalam penulisan seperti pengolahan hasil kajian yang baik dan penulisan secara saintifik yang mendalam, mereka sebenarnya dianggap sebagai penyelidik yang baik dan hebat. Jadi, kemahiran penulisan dalam bidang saintifik juga turut membantu dalam menjayakan kerja-kerja penyelidikan. Berkemahiran tinggi dalam penulisan secara saintifik membantu penyelidik mengolah hasil penyelidikan yang diperolehi dengan baik dan dapat difahami oleh semua pihak.
Menulis dalam bidang penyelidikan saintifik memerlukan kemahiran yang tertentu dalam mempersembahkan data atau hasil kajian secara terperinci. Bukan itu sahaja, menulis sebenarnya bermula daripada awal lagi iaitu semasa penulisan cadangan penyelidikan (proposal). Penulisan secara saintifik cadangan penyelidikan yang ingin dibuat akan membantu saintis atau penyelidik lain memahami penyelidikan yang kita ingin jalankan. Menulis secara saintifik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris berlainan dengan cara menulis seperti biasa (contohnya seperti menulis karangan cerita, berita atau surat). Kebanyakan daripada hasil penulisan saintifik akan difahami oleh sesetengah saintis sahaja terutamanya yang berada dibidang yang sama. Penulisan juga adalah salah satu bentuk komunikasi antara saintis atau penyelidik yang ingin berkongsi hasil dapatan kajian yang dijalankan. Ianya boleh dibuat dalam bentuk artikel penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal atau dalam konferens atau seminar. Selain itu, bagi mereka yang menjalankan pengajian sarjana dan PhD dalam bentuk penyelidikan, menulis adalah penting kerana mereka perlu menghasilkan tesis atau dissertasi untuk dinilai dan lulus dalam pengajian masing-masing. Jadi, kemahiran menulis perlu ditingkatkan bagi memastikan kejayaan dalam penyelidikan saintifik.
Bagi meningkatkan kemahiran penulisan saintifik, kita perlu sentiasa menulis samaada dalam bentuk cadangan penyelidikan (Research proposal), laporan kajian secara ringkas atau secara terperinci, penulisan artikel penyelidikan untuk menghadiri konferens atau untuk dihantar ke jurnal dan sebagainya. Dengan menulis sebenarnya membantu kita belajar dan meningkatkan banyak perkara iaitu:
- Meningkatkan istilah-istilah saintifik yang berkaitan dengan bidang kajian kita.
- Cara susunan ayat yang betul.
- Peningkatan penggunaan bahasa yang betul.
- Jika kita menulis dalam bahasa Inggeris, ianya turut membantu dalam peningkatan tatabahasa Bahasa Inggeris.
- Memahami dengan lebih mendalam kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan
- Cara mengolah sesuatu data atau hasil kajian.
Apabila kita sentiasa menulis menggunakan komputer, kita sebenarnya melatih diri untuk menyusun ayat dengan baik dan juga belajar menggunakan aplikasi-aplikasi yang terdapat dalam komputer. Aplikasi-aplikasi yang terdapat dalam komputer sebenarnya sangat membantu penulisan kita jika dibandingkan dengan kaedah secara tradisional (menulis menggunakan tangan dan kertas). Dalam komputer, terdapat aplikasi yang membantu membetulkan susunan ayat, tatabahasa, perkataan dan format penulisan. Tambahan lagi, dengan menggunakan komputer, kita boleh menyimpan hasil penulisan kita dan dapat disemak oleh orang lain dengan cepat. Untuk memahami dan menggunakan aplikasi-aplikasi komputer secara maksimum, kita perlu sentiasa menulis dan mencuba dengan sendiri aplikasi-aplikasi tersebut. Gunakanlah kemudahan yang diberikan iaitu menulis menggunakan komputer bagi meningkatkan kemahiran penulisan anda. Kemahiran penulisan saintifik dapat ditingkatkan dengan cara kita berusaha mencuba untuk menulis dan terus menulis dan terus menulis tanpa henti sehingga laporan dapat dilaporkan, tesis dapat disiapkan dan artikel penyelidikan dapat diterbitkan.
Cara yang terbaik untuk meningkatkan penulisan secara saintifik ialah dengan banyak membaca bahan bacaan yang relevan dengan penyelidikan kita. Jadi, M yang kedua iaitu “membaca” juga turut penting bagi memastikan kejayaan dalam kerja penyelidikan kita. Dalam konteks penyelidikan saintifik, membaca adalah salah satu daripada proses bagi menjayakan penyelidikan dan keutamaannya diletakkan pada permulaan kerja penyelidikan iaitu kajian literatur. Kajian literatur adalah kajian keatas literatur-literatur atau pembacaan dan pemahaman keatas bahan bacaan artikel-artikel penyelidikan yang berkaitan dengan penyelidikan kita. Kita akan mendapati kajian literatur sangat penting apabila kita ingin menyediakan cadangan penyelidikan dan juga tesis. Dalam kajian literatur, penyelidik dikehendaki membaca sebanyak mungkin artikel-artikel atau kertas kerja penyelidikan yang lepas yang telah diterbitkan terutamanya dalam jurnal berimpak tinggi yang berkaitan dengan skop kajian yang kita jalankan.
Faedah utama kajian literatur ialah bagi memastikan kajian yang kita jalankan tidak sama dengan kajian yang telah dilakukan oleh penyelidik lain diserata dunia. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan daripada masalah plagiarism iaitu peniruan terhadap hasil kerja orang lain. Selain itu, dalam kajian literatur terutamanya terhadap bahan bacaan yang terbaru dan terkini akan membantu kita mengenalpasti permasalahan terbaru yang timbul dan juga teknologi yang terkini digunakan oleh para saintis seluruh dunia. Banyak idea-idea yang terkini yang kita akan perolehi apabila kita membuat kajian literatur yang relevan dengan skop penyelidikan kita. Jadi, buatlah kajian literatur dengan baik supaya penyelidikan yang dijalankan dapat dimudahkan.
Saya mempunyai teknik tersendiri dalam proses kajian literatur. Pertamanya, sebelum membaca artikel penyelidikan yang berkaitan, pencarian dan pemilihan artikel adalah penting bagi memastikan artikel tersebut relevan dengan skop penyelidikan kita. Daripada skop penyelidikan kita, “katakunci” (keywords) perlu dikenalpasti. Katakunci ini biasanya hanya satu perkataan atau gabungan perkataan yang membawa maksud istilah sesuatu perkara. Sebagai contoh, bagi kajian yang berkaitan dengan penggunaan karbon teraktif sebagai bahan penjerap logam berat dalam air, antara katakunci yang berkaitan ialah “karbon teraktif”, “bahan penjerap”, “logam berat”, “pencemaran”, “rawatan air” dan “penjerapan”. Katakunci inilah digunakan dalam pencarian maklumat dan artikel penyelidikan menggunakan enjin pencarian melalui internet. Bagi mendapatkan lebih banyak maklumat atau literatur berkaitan, katakunci-katakunci ini boleh digabungkan mengikut kesesuaiannya seperti gabungan antara “karbon teraktif” dan “logam berat”, gabungan “penjerapan” dan “rawatan air” dan sebagainya. Dengan menggunakan kaedah ini, kita tidak akan lari daripada mendapatkan maklumat yang terlalu luas atau tidak relevan dengan skop penyelidikan kita.
Setelah memperoleh artikel-artikel saintifik yang berkaitan, biasanya saya akan membuat pemilihan terlebih dahulu, saya akan mulakan dengan membaca artikel-artikel yang sangat berkaitan dengan kerja penyelidikan saya. Bersama-sama dengan saya semasa saya membaca artikel tersebut ialah pen penyerlah (highlighter) berbagai warna, buku nota, penanda dan pen berbagai warna. Apabila membaca, saya akan menanda ayat yang penting menggunakan pen penyerlah dan daripada ayat-ayat penting tersebut saya rumuskan menggunakan ayat sendiri dan ditulis dalam buku nota. Saya akan cuba untuk mengeluarkan isi-isi penting daripada artikel tersebut yang berkaitan dengan skop penyelidikan saya. Sebenarnya, apabila kita membaca dan terus menulis isi-isi penting dengan menggunakan ayat sendiri, kita lebih memahami dengan lebih mendalam perkara yang diterangkan dalam artikel berkenaan. Isi-isi penting yang ditulis dalam buku nota ini juga sangat membantu dalam penulisan hasil kajian saya samaada dalam penulisan laporan, artikel penyelidikan dan juga tesis. Bahagian yang penting dalam penulisan tersebut adalah semasa menulis kajian literatur. Cara sebegini juga boleh mengelakkan daripada isu plagiarisma kerana saya merumuskan apa yang artikel tersebut terangkan menggunakan ayat sendiri tanpa meniru penerangan yang ditulis dalam artikel tersebut. Kemudian, semasa saya ingin menulis kajian literatur dalam tesis atau artikel, saya akan menulis semula isi-isi penting yang dikeluarkan daripada artikel yang dibaca dengan menggunakan ayat dan perkataan tersendiri mengikut pemahaman sendiri. Dengan cara inilah sebenarnya dapat membantu meningkatkan pemahaman mengenai penyelidikan yang dijalankan.
Dalam kerja penyelidikan, ada dua jenis pembacaan utama yang penting iaitu membaca jurnal-jurnal atau artikel-artikel penyelidikan dan membaca buku-buku asas sesuatu perkara. Dalam topik sebelum ini bertajuk “Faham”, saya ada menerangkan mengenai kepentingan membaca buku-buku asas seperti buku asas kimia, fizik, biologi dan matematik. Pembacaan buku ini sangat penting bagi memahami dengan lebih mendalam kajian yang dijalankan dan memudahkan kita apabila bertemu dengan masalah dalam eksperimen yang dijalankan.
“M” yang terakhir iaitu “Mengira” juga sangat penting dilakukan dalam penyelidikan saintifik. Dalam penyelidikan saintifik, “mengira” adalah berkaitan dengan penggunaan asas matematik seperti penggunaan statistik, penghasilan graf dan persamaan-persamaan tertentu. Dalam penyelidikan saintifik terdapat dua kaedah penentuan dan eksperimen iaitu samaada secara kualitatif dan kuantitatif. Kebiasaannya, penyelidikan yang bermutu tinggi akan melibatkan kedua-dua kaedah dimana hasil daripada kaedah kualitatif akan menyokong hasil kaedah kuantitatif yang diperolehi atau sebaliknya. Dalam keadaan tertentu, kaedah kuantitatif digunakan untuk mendapatkan hasil secara kualitatif. Kaedah kuantitatif sangat penting dalam kajian saintifik kerana ia sebenarnya dapat membezakan antara kajian atau penyelidikan secara saintifik atau bukan saintifik. Jadi, apabila melakukan penyelidikan saintifik dan inginkan kejayaan dalam kerja penyelidikan tersebut, anda juga perlu memasukkan elemen mengira iaitu kaedah asas matematik dalam eksperimen yang dirancangkan dan dilaksanakan.
Pada tahap ini (penyelidikan saintifik), asas mengira boleh dikategorikan sebagai tahap yang tinggi kerana ianya melibatkan aplikasi asas-asas matematik yang tinggi. Sebagai contoh, apabila kita ingin mendapatkan kaitan antara parameter A dan B samaada ia berkadar langsung atau tidak, kita boleh buat graf linear X melawan Y dimana persamaan graf adalah seperti ini: Y=mX + C dimana m adalah kecerunan dan C adalah pintasan-Y. Bagi melihat samaada X dan Y mempunyai korelasi yang tinggi, parameter korelasi (r2) boleh dilihat dimana ianya hampir dengan nilai 1. Contoh kaedah ini adalah yang paling mudah digunakan. Terdapat berbagai-bagai persamaan lain yang boleh digunakan bagi menguatkan hasil kajian secara kuantitatif dan kaedah matematik dan statistiklah yang banyak membantu meningkatkan kualiti penyelidikan saintifik yang dijalankan. Dengan penggunaan komputer dan berbagai-bagai perisian komputer seperti Microsoft Excel atau SPSS, perisian ini dapat membantu meringankan beban kita dalam mendapatkan hasil secara kuantitatif. Cubalah fikirkan penggunaan kaedah mengira iaitu asas matematik dalam kerja penyelidikan dan tingkatkanlah kemahiran ini, ia pasti membantu anda menghasilkan hasil kajian yang baik dan hebat.
Oleh yang demikian, kemahiran 3M (Menulis, Membaca dan Mengira) pada tahap kesesuaian sebagai penyelidik atau pada tahap tinggi perlu ditingkatkan dengan sentiasa mengamalkan kaedah ini secara bijak. Ianya sama seperti kita berada di zaman prasekolah dimana kita disuruh oleh cikgu-cikgu untuk sentiasa amalkan asas-asas menulis, membaca dan mengira secara berterusan sehingga kita pandai melakukannya.