“Sebelum kita membuat sesuatu perkara – tanyalah KENAPA”

  • You Can, George Matthew Adams –

 

Dalam buku motivasi hasil penulisan George Matthew Adams bertajuk You Can (Anda Boleh), beliau menegaskan bahawa bertanya kenapa mengenai perkara yang kita jalankan akan membantu kita berjaya dalam kehidupan. Dengan bertanyakan kenapa kepada perkara yang ingin kita lakukan, kita akan sentiasa peka dengan situasi yang dilakukan samaada ia memberikan kebaikan atau sebaliknya atau ia akan memberikan kesan positif atau negatif kepada diri kita. Persoalan-persoalan yang timbul dalam kehidupan seharian kita akan dipermudahkan sekiranya kita mengetahui jawapannya. Sebagai contoh, kenapa kita perlu berkahwin? Dan jawapannya ialah untuk memdapatkan kebahagiaan hidup kepada diri sendiri, kerana sudah fitrah manusia untuk hidup bersama, kerana ingin menambahkan zuriat, kerana inginkan teman dan sebagainya. Persoalan inilah yang yang perlu dijawab dan kita perlu tahu jawapannya. Perkara ini juga boleh diaplikasikan semasa kita menjalankan kerja penyelidikan supaya penyelidikan yang kita jalankan juga akan beroleh kejayaan.

 

Apabila kita menjalankan penyelidikan saintifik, kita perlu faham perkara yang ingin kita buat atau perkara yang kita sedang buat. Dengan bertanya “kenapa” kepada setiap perkara yang dilakukan dalam kerja penyelidikan kita, kita akan lebih memahami kerja yang dilakukan dan kerja yang tersebut akan dipermudahkan. Banyak situasi yang boleh ditanyakan kenapa dan sebenarnya persoalan tersebut telah mempunyai jawapan. Akan tetapi, kebanyakan daripada penyelidik tidak menyedari jawapan tersebut sehingga kita merasai sendiri realiti bagi jawapan tersebut.

 

Contoh persoalan secara umum, kenapa seorang penyelidik perlu menghabiskan banyak masa untuk membuat kajian literatur? Jawapannya ialah kerana kajian literatur dapat membantu memahami kajian yang dibuat, kerana kajian literatur dapat memberikan maklumat mengenai penyelidikan yang telah dilakukan, kerana ia akan memudahkan tugasan yang ingin dijalankan, kerana ia dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai kajian yang sedang dijalankan dan berbagai-bagai jawapan akan dikeluarkan daripada persoalan ini. Contoh yang lain, kenapa seorang penyelidik perlu menyediakan kertas kerja cadangan penyelidikan sebelum menjalankan penyelidikan tersebut? Jawapannya, kerana ia akan membantu perancangan penyelidikan yang akan dibuat, kerana ia akan memberikan pemahaman kepada penyelidik lain mengenai penyelidikan yang akan dijalankan, kerana kita akan dapat mencari kaedah penyelidikan yang sesuai dengan penyelidikan yang akan dijalankan, kerana untuk memastikan penyelidikan yang dijalankan relevan dengan situasi zaman sekarang dan sebagainya.

 

Selain itu, bertanyakan kenapa juga perlu diamalkan kepada eksperimen-eksperimen yang kita ingin rancangkan. Contohnya, kenapa kita perlu menggunakan alatan/instrumen/apparatus/kaedah ini? Kenapa teori ini mengatakan bahawa parameter A dan B adalah berkadar terus? Kenapa kita perlu menyediakan larutan asid yang pekat? Kenapa kita perlu menggunakan kaedah A dalam penentuan bahan B? dan berbagai-bagai lagi persoalan yang spesifik terhadap bidang penyelidikan kita. Daripada persoalan-persoalan inilah kita perlu mengetahui jawapannya dengan cara memahami dengan lebih mendalam perkara yang ingin disoalkan.

 

Bertanyakan kenapa kepada setiap perkara yang ingin dilakukan tidak perlu untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Kebanyakan daripada jawapan kepada persoalan ini berada dalam kotak fikiran kita. Kebiasaannya kita akan menjawab persoalan ini apabila ada orang lain yang bertanya. Sekiranya kita sudah tahu jawapan daripada persoalan tersebut dan kita faham secara mendalam perkara tersebut, kita akan menjawab persoalan tersebut dengan mudah dan akan memberikan penjelasan dengan baik. Jadi, sentiasalah bertanya kenapa terhadap perkara yang dibuat dan carilah jawapannya dengan memahami secara mendalam perkara tersebut.