Setelah membaca 30 esei mengenai motivasi dalam menjalankan penyelidikan daripada buku ini, sekarang ini tibalah masanya untuk DIRI ANDA memikirkan yang terbaik bagi mencapai kejayaan dalam penyelidikan saintifik yang dijalankan. Sekiranya kesemua 30 elemen ini sudah pun dikuasai dalam diri anda, pertingkatkannya lagi dari hari ke hari. Sekiranya anda merasakan diri anda perlu berubah demi untuk kebaikan anda, ubahlah diri anda sekarang ini kepada yang lebih baik.

 

“Kita tidak mampu dan tiada kuasa untuk mengubah orang lain atau situasi, tetapi kita mampu dan berkuasa mengubah diri sendiri kerana kitalah yang memiliki diri sendiri”

~ Nik Ahmad Nizam Nik Malek ~

 

Membuat perubahan dalam diri tidak akan berlaku dalam masa beberapa hari sahaja, ianya akan memakan masa yang lama dan sentiasa perlu dikemaskini. Membuat perubahan dalam diri perlukan komitmen yang sepenuhnya dan perlu diberikan perhatian setiap masa. Membuat perubahan dalam diri perlu dilakukan secara realitinya dan bukan hanya berkata-kata atau dalam bentuk lisan atau merancang sahaja tetapi perlulah berusaha melakukannya. Kadang-kala, membuat perubahan dalam diri perlukan banyak pengorbanan daripada segi masa, duit, perhubungan dan sebagainya, tapi pengorbanan ini hanyalah sementara dan akhirnya membuahkan kejayaan. Apabila anda ingin membuat perubahan, anda perlu percaya bahawa anda mempunyai kelemahan dan terimalah kelemahan anda dengan hati yang terbuka supaya perubahan yang ingin dilakukan dapat dilakukan dengan baik.

 

Dalam 30 esei motivasi ini, banyak ditekankan mengenai peningkatan motivasi dalam diri sendiri, bukannya orang lain atau situasi lain. Motivasi perlu dibentuk dalam diri dengan cara cuba untuk mengambil peluang yang baik, mempunyai sifat keteguhan (perseverance), mengenali personaliti diri anda dengan lebih dekat dan memahaminya, sentiasa berdoa kepada Tuhan dengan meminta kejayaan daripada yang Maha Kuasa, sentiasa memikirkan objektif yang ingin dicapai semasa memulakan sesuatu perkara (Begin with the End in Mind), merancang objektif dengan bijak dan teratur (“SMART” Kriteria), sentiasa menyusun tempat bekerja, sabar dalam menghadapi cabaran, berani untuk menghadapi kegagalan, sentiasa berimaginasi perkara yang berkaitan dengan penyelidikan, fokus dengan apa yang anda ingin capai, terus lakukan (Just Do It) perkara yang sudahpun dirancang, berusaha untuk mengemaskini buku log eksperimen dengan baik, tingkatkan tahap kompetensi anda, sentiasa berfikiran positif terhadap sesuatu perkara, tanamkan sifat ingin tahu terhadap sesuatu yang baru, sentiasa proaktif dalam menjalankan tugas, mempunyai sifat kebertanggungjawaban yang tinggi, memberikan sesuatu perkara atau menjalankan tugas lebih daripada yang sepatutnya kerana ingatlah ungkapan ini “lagi banyak bagi, lagi banyak dapat”, yakin pada diri sendiri, berusaha untuk menangani masalah dengan bijak dan berhemah, memahami asas dan perincian penyelidikan yang dilakukan, sentiasa mudahkan sesuatu perkara dan jangan susahkan perkara tersebut, sentiasa mengamalkan 3M (Membaca, Mengira dan Menulis) sepanjang penyelidikan, berfikiran secara saintifik, sentiasa bertanyakan kenapa kepada perkara yang dijalankan, jangan menangguh perkara yang perlu dilakukan dan akhirnya, sentiasa bersifat terbuka dan fleksibel semasa penyelidikan yang dijalankan.

 

Kesemua elemen motivasi yang diberikan ialah elemen yang ada pada setiap orang yang sudahpun berjaya dalam kehidupan dan elemen-elemen ini juga perlu digunapakai oleh penyelidik dalam memastikan penyelidikan yang dijalankan berjaya pada akhirnya. Akhir sekali, DIRI ANDAlah yang akan menentukan kejayaan dalam menjalankan penyelidikan dengan mengambil pengajaran daripada elemen-elemen motivasi ini.