World Mental Health Day disambut pada 10 Oktober setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan mental di seluruh dunia serta menggerakkan usaha bersepadu dalam menyokong kesihatan mental. Statistik yang dikeluarkan oleh World Federation for Mental Health menunjukkan seramai 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap tahun, iaitu tindakan membunuh diri berlaku setiap 40 saat. Bagi setiap kejadian membunuh diri, terdapat lebih dari 20 orang lagi cuba membunuh diri setiap tahun.
Bunuh diri merupakan punca kematian kedua terbesar dalam kalangan belia yang berusia diantara 15 hingga 29 tahun di seluruh dunia pada tahun 2016. 79% daripada bunuh diri di seluruh dunia berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana pada tahun 2016.
Kebanyakan bunuh diri berlaku secara impulsif ketika berlaku krisis. Ini adalah kerana individu berasa tidak berkeupayaan untuk berhadapan dengan tekanan kehidupan, seperti masalah kewangan, putus hubungan atau sakit yang kronik. Dianggarkan bahawa sekitar 20% daripada bunuh diri di seluruh dunia adalah disebabkan racun serangga, gantung diri dan senjata api.
Bunuh diri dan percubaan membunuh diri memberi kesan yang besar kepada keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja, komuniti setempat dan ahli masyarakat. Bunuh diri boleh dicegah. Pelbagai perkara boleh dilakukan untuk mencegah bunuh diri pada tahap individu, komuniti dan nasional. Diharapkan dengan usaha yang digembleng secara bersama ini dapat mengurangkan stigma yang mengelilingi kecelaruan mental dan bunuh diri dalam masyarakat. Seterusnya, meningkatkan usaha individu untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.
“Bersama Mencegah Bunuh Diri”