Apakah itu Phishing ?

Phishing adalah bertujuan untuk menipu selalunya dilakukan menerusi e-mel untuk mencuri maklumat peribadi seseorang. E-mel Phishing biasanya muncul seperti ianya daripada organisasi yang sangat dikenali dan meminta maklumat peribadi anda seperti nombor kad kredit, nombor akaun atau nama-nama login dan kata laluan. Di Malaysia, sebahagian besar serangan phishing dikesan mensasarkan kepada pengguna perbankan internet dan muslihat mereka adalah untuk mendapatkan maklumat kewangan mangsa.

Bagi membolehkan penjenayah Phishing mendapatkan maklumat peribadi anda, mereka akan mengarahkan anda ke laman web yang kelihatan seolah-olah seperti sebuah laman perbankan internet yang sah tetapi ianya adalah palsu. Hal ini dilakukan dengan menghantar e-mel yang menyamar datang dari bank anda dengan link(pautan) tersembunyi yang membawa anda ke laman web palsu  apabila  diklik. Apabila anda mengisi butiran dan menghantar melalui laman web palsu berkenaan, maklumat tersebut dapat diperolehi oleh para penjahat siber untuk mendapatkan akses ke akaun perbankan internet anda.