Jelajah ke bandar-bandar di Johor

Sempena cuti umum Thaipussam, saya sempat menjelajah ke beberapa daerah & bandar di Johor. Pilihan pertama adalah Pantai Timur Johor iaitu sekitar Kota Tinggi-Mersing. Namun saya telah mengubah perancangan untuk ke sebelah Pantai Barat Johor iaitu Kluang-Muar-Ayer Hitam. 

Perjalanan ke Kluang hanya mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit melalui lebuhraya PLUS. Setibanya di sana sudah tentu kopi Kluang terkenal di Stesyen KTMB di pusat bandar menjadi pilihan. Kini kedai kopi di stesyen kayu tersebut beroperasi setiap hari dari pagi sehingga petang. Menu utama sudah semestinya kopi, roti bakar & telur separuh masak walaupun jam telah menunjukkan pukul 2 petang! Rancangannya saya ingin menaiki kereta api dari JB terus ke sana. Ikutkan jadual jam 10am. Namun apabila memikirkan saya terpaksa menunggu sehingga jam 5pm untuk kembali ke JB, akhirnya saya memandu sahaja. Seperti mana bandar-bandar lama di Semenanjung Malaysia, rumah-rumah kedai tradisional masih jelas kelihatan di sekitar pusat bandar Kluang. Sungai Mengkibol merentasi bandar yang mendapat nama dari sejenis haiwan dari keluarga kelawar iatiu kluang. 

Dari Kluang saya terus ke Bandar Maharani Muar yang kini telah diiktiraf sebagai Bandar DiRaja pada 2012. Di Semenanjung Malaysia terdapat 9 buah bandar yang telah diiktiraf ‘Bandar DiRaja’. Lazimnya bandar-bandar tersebut terbentuk di muara sungai & menjadi pusat pemerintahan sejak zaman kesultanan Melayu awal. Namun di Muar, bandar tersebut diiktiraf sebagai Royal Town apabila Sultan Johor menitahkannya. Walaupun institusi Diraja Johor berpusat & tertumpu di Johor Bahru, Muar yang kaya dengan sejarah tempatan yang tersendiri & boleh dijejaki kewujudannya sekitar siri peperangan Portugis-Melaka sekaligus melayakkannya diiktiraf sebagai Bandar Diraja. Bandar ini tersusun mengikut tebing Sungai Muar mengandungi barisan rumah kedai tradisional, bangunan warisan (pejabat & masjid) dan perkampungan Melayu yang masih terpelihara. Kesesakan trafik di pusat bandar menunjukkan ia masih berfungsi dan menjadi pusat tumpuan sejak sekian lama. Kini kawasan utara di seberang Sungai Muar telah dijadikan daerah baru Johor iaitu Daerah Ledang. Sungai tersebut telah menjadi saksi kepada perkembangan bandar tersebut sejak zaman awal penubuhannya oleh Muhammad Salleh Perang pada 1885.

Semalamam di Muar, saya meneruskan ke Ayer Hitam. Sebuah pekan kecil yang tertumpu di persimpangan empat. Pekan ini menawarkan pelbagai pusat jualan barangan berasaskan seramik, hiasan rumah dan perkahwinan pada harga yang sangat berpatutan. Jika di Negeri Sembilan dengan kawasan Nilai, Johor juga boleh berbangga dengan Pekan Ayer Hitam! Pengkhususan aktiviti ekonomi seperti ini telah membentuk identiti setempat tersendiri kepada sesebuah kawasan. Pekan Ayer Hitam terkenal dengan jolokan ‘pekan seramik’ kerana kepelbagaian produk seramik yang boleh didapati di sini.