Angin Ahmar/Strok

Angin ahmar/strok ialah masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian otak diganggu.

Bahagian otak tersebut tidak lagi menerima oksigen yang mencukupi dan oleh itu, sel-sel otak akan rosak atau mati, dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian otak itu tidak berfungsi. Angin ahmar ialah kecederaan saraf yang serius dan gejalanya ialah kehilangan fungsi saraf secara tiba-tiba.

Angin ahmar/strok adalah penyakit yang merbahaya yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal. Statistik hospital-hospital kerajaan menunjukkan peningkatan ketara pesakit Stroke/Angin Ahmar dan kematian akibat Strok/Angin Ahmar.

Di Hospital Kuala Lumpur data statistik mencatatkan 30-35 peratus kematian daripada 1000 kes penghidap Strok/Angin Ahmar yang dirawat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada Tahun 2001 terdapat 20.0 juta penghidap stroke seluruh dunia, 5.5 juta membawa maut.

Faktor risiko penyumbang yang tidak boleh diubahsuai adalah:

  • Umur – peningkatan umur anda, terutama apabila meningkat umur hingga 65 tahun ke atas, risiko mendapat strok/angin ahmar lebih tinggi.
  • Jantina Lelaki – lebih berisiko tinggi dari wanita.
  • Sejarah keluarga – Risiko anda lebih tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menghidap strok/angin ahmar atau angin ahmar ringan (Minor Stroke/Transient Ischaemic Attack)

Faktor risiko yang boleh diubahsuai adalah:

  • Tekanan Darah Tinggi
  • Kencing manis
  • Paras kolesterol tinggi
  • Merokok
  • Berat badan yang berlebihan
  • Cara hidup tidak aktif (sedentari)
  • Tekanan/stress
  • Pemakanan – kurang serat dan tinggi lemak
  • Minuman keras – minum minuman keras yang berlebihan

Bila anda mengalami salah satu atau lebih gejala strok/angin ahmar, sila berbincang dengan petugas kesihatan atau pergi mendapatkan nasihat di klinik kesihatan berhampiran. Doktor anda akan mengesahkan gejala yang anda alami dengan membuat pemeriksaan dan ujian tertentu. Selepas itu doktor akan menentukan diagnosa samada anda mengalami strok/angin ahmar bergantung pada hasil ujian dan pemeriksaan yang telah dilakukan.

Gejala agin ahmar/strok yang terjadi tiba-tiba termasuk yang berikut:

  • Rasa semut-semut dan kebas secara tiba-tiba pada sebahagian badan
  • Rasa lemah, kebas atau lumpuh bahagian muka, kaki atau tangan secara tiba-tiba
  • Celaru/keliru, susah bertutur atau memahami pertuturan orang lain secara tiba-tiba
  • Sakit kepala yang kuat tanpa sebab tertentu
  • Penglihatan kabur tiba-tiba pada sebelah mata atau kedua-dua mata
  • Sukar berjalan, pening atau hilang imbangan atau koordinasi secara tiba-tiba
  • Sukar menelan

Terdapat 2 jenis utama strok/angin ahmar:

  • Thrombotic/ischaemic stroke
    • Ia berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak tersumbat.
  • Haemorrhagic stroke
    • Ini berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak pecah

Seseorang yang disahkan mendapat strok/angin ahmar perlu :

  • Dimasukkan ke hospital untuk pengesahan punca strok dan mengenalpasti berapa luas tisu otak yang telah rosak
  • Dirawat dengan pemberian ubat jika perlu
  • Pembedahan untuk menghentikan perdarahan otak jika berkaitan
  • Mulakan rawatan pemulihan/rehabilitasi secepat mungkin seperti senaman menguatkan otot yang terlibat, latihan pertuturan dan penyesuaian kepada aktiviti harian(ADL)
  • Nasihat amalan pemakanan sihat

Faktor risiko yang menyumbang strok/angin ahmar boleh dikurangkan seperti :

  • Kawal tekanan darah
  • Kawal tahap Kolesterol
  • Kawal penyakit Diabetes
  • Amalkan cara pemakanan sihat
  • Berhenti merokok
  • Kerap bersenam
  • Menangani tekanan mental
  • Kurangkan pengambilan minuman keras

Rehabilitasi/pemulihan untuk pesakit angin ahmar/strok

Kesan angin ahmar ringan selalunya mudah diatasi tetapi jika sebaliknya, ia mungkin mengakibatkan hilang upaya yang teruk dan mungkin kekal.

Oleh kerana itu, sokongan dan bantuan emosi dari keluarga, kawan-kawan dan petugas kesihatan amatlah mustahak kerana ia boleh membantu dalam proses pemulihan pesakit angin ahmar. Petugas Kesihatan akan dapat membantu dalam proses rehabilitasi adalah seperti berikut :

  • Jurupulih Pertuturan
    • membantu mengekalkan dan memulihkan pertuturan serta menilai tahap kebolehan menelan
  • Jurupulih Cara Kerja
    • mengajar cara mengendali dan menunjuk ajar kemahiran baru, mencadangkan pengubahsuaian rumah bagi memudahkan pergerakan mengikut keupayaan pesakit strok/angin ahmar
  • Jurupulih Anggota
    • mengekalkan atau membantu meningkatkan pergerakan dan fungsi badan
See the source image
Rujukan Penyakit Strok

http://www.myhealth.gov.my/angin-ahmar-strok/

https://people.utm.my/norasiahsadek/