Kanser ovari merupakan kanser yang timbul daripada ovari , iaini sepasang organ yang menghasilkan benih dan hormon wanita. Ia biasanya berlaku di kalangan wanita berusia 40-an ke atas dan memuncak di kalangan umur 55 ke 60 tahun tetapi ia juga boleh berlaku di kalangan wanita remajakurang dan pada 20 tahun.
Ianya merupakan kanser yang timbul daripada permukaan ovari (epithelial cancer) dan sebahagian kecil berasal daripada sel-sel benih telur (germ cell cancer). Ia lambat dapat dikesan kerana kedudukan organ itu yang letaknya jauh di dalam pelvis berbanding pangkal rahim (serviks) dan juga endometrium (dinding rahim).
Ini menjadikan proses saringan (screening) tidak dapat dilakukan. Kanser cenderung berlaku kepada wanita yang mempunyai ibu atau adik-beradik yang menghidapi kanser tersebut. Ia juga cenderung berlaku di kalangan wanita yang mencapai akil baligh awal dan lewat menopos serta wanita yang tidak pernah hamil (ovari direhatkan semasa kehamilan).
Selain daripada itu wanita yang hamil pada usia lewat serta wanita yang mempunyai kumpulan darah ‘A’ juga dikaitkan dengan kanser ovari.
Penyebab
Tiada siapa yang tahu apa punca sebenar. Sejak dahulu lagi penggunaan bedak (talcum powder) yang disapu pada kemaluan wanita sering dikaitkan. Ini timbul daripada kajian yang dibuat di Afrika Selatan.
Bedak yang digunakan tersebut sebenarnya mengandungi kandungan asbestos yang tinggi. Bedak-bedak yang ada pada masa ini tidak lagi mengandungi asbestos, maka ianya selamat digunakan.
Gejala / Tanda
Biasanya tidak mempunyai sebarang gejala yang spesifik pada peringkat awal. Kebanyakan wanita mempunyai rasa kembung perut, ada juga yang mengalami cirit ataupun sembelit.
Selalunya keadaan ini disangkakan adalah kerana masalah usus dan tidak diberi perhatian yang wajar. Bengkak di perut pada peringkat awal biasanya disangkakan adalah pertambahan berat badan yang biasa.
Sakit yang kuat adalah sangat jarang, kecuali terdapat ketumbuhan ovari yang terpulas atau berlaku perdarahan di dalam ovari tersebut. Ada juga pesakit yang perutnya membesar/membusung kerana cecair (ascites) yang dihasilkan oleh kanser ovari.
Cecair ini membuatkan perut pesakit menegang dan besar. Selalunya kanser ovari sudah pun merebak ketika ianya diketahui.