Kanser paru-paru terjadi apabila sel-sel normal melalui satu proses transformasi yang mengakibatkan sel-sel membiak luar kawalan. Sel-sel ini akan membentuk suatu tumbuhan atau tumor yang berlainan daripada tisu asal.
Tumor adalah merbahaya kerana ia menggunakan oksigen, nutrien dan ruang sel-sel sihat seterusnya merebak, akibatnya, ia merosakkan atau mengurangkan upaya tisu berfungsi secara normal.
- Di dalam badan, tumor boleh merebak ke kelenjar berdekatan atau menular ke anggota lain melalui perjalanan darah. Proses ini dipanggil “metastasis”.
- Apabila merebak atau bermetastasis, tumor di dalam paru-paru dipanggil tumor primari dan tumor di bahagian badan yang lain dikenali dengan tumor sekunder atau tumor metastatik.
Epidemiologi
Ianya merupakan salah satu penyebab utama kematian di Malaysia. Pada tahun 2007 secara keseluruhan, ia adalah kanser ketiga selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Di kalangan lelaki ia menduduki tempat pertama dan adalah di tempat kelima di kalangan wanita. Sebanyak 2948 kanser paru-paru telah dilapurkan pada tahun 2006 (1445 di kalangan lelaki dan 603 di kalangan wanita). Walaupun kadar hidup setelah di diagnosis pada peringkat awal adalah 49% tetapi, hanya lebih kurang 2% sahaja yang telah merebak ke bahagian lain di dalam badan masih hidup setelah 5 tahun.
Jenis
Kanser biasanya dibahagi mengikut 2 kumpulan besar bergantung kepada jenis-jenis sel iaitu:
- “Non-small cell lung cancer” (NSCLC) yang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:
- Adenocarcinoma (30-40%)
- Squamous cell carcinoma (30%)
- Large cell cancer (10%)
- Small cell lung cancer” (SCLC) (20%), jenis ini jarang didapati, tetapi sel-sel kanser membiak secara sangat pantas dan telah merebak ke bahagian badan yang lain semasa didiagnos.Jenis-jenis lain kanser yang jarang ditemui ialah “carcinoid tumor” dan “lymphoma” (5%)
Penyebab
Menghisap rokok (90%), sama ada aktif atau pasif, adalah penyebab utama kanser paru-paru . Penyelidikan sejak tahun 1950an telah menunjukkan dengan jelas kaitan rokok dan kanser.
- Asap rokok mengandungi lebih dari 4,000 bahan kimia, banyak daripadanya telah dikenalpasti penyebab.
- Menghisap 20 batang rokok sehari berisiko sebanyak 20 hingga 25 kali ganda mendapat kanser jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.
- Apabila seseorang berhenti merokok, risiko mendapat kanser beransur kurang. Lebih kurang setelah 15 tahun berhenti merokok, risiko mendapat kanser berkurangan sama seperti seseorang yang tidak pernah merokok.
- Menghisap curut serta paip juga meningkatkan risiko mengidap kanser.
Sebab-sebab lain ialah:
- Pencemaran udara dari asap kereta, asap kilang dan lain.
- Pendedahan kepada asbestos memberi risiko mendapat kanser sebanyak 9 kali ganda. Gabungan antara asap rokok dan asbestos meningkatkan risiko setinggi 50 kali ganda. “Mesothelioma” (kanser yang asalnya dari selaput paru-paru) adalah berkait rapat dengan pendedahan kepada asbestos.
- Penyakit paru-paru seperti tuberkulosis dan “chronic obstructive pulmonary disease” (COPD) juga meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat kanser paru-paru.
- Pendedahan kepada radon/radium (bahan yang terjadi daripada uranium) juga adalah risiko kanser paru-paru.
- Pekerjaan yang terdedah kepada arsenic, kromium, nikel, hidrokarban aromatik dan eter juga boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.
Apakah Simptom Kanser Paru-Paru?
Anda mungkin tiada simptom atau anda mengalami gejala seperti batuk atau sesak nafas yang mungkin anda kaitkan dengan sistem pernafasan. Walaubagaimanapun, simptom kanser paru-paru termasuk:
- Batuk atau batuk yang tidak hilang. Memang diketahui perokok mengalami batuk yang kronik akibat dari asap rokok, tetapi perubahan atau batuk yang bertambah teruk adalah satu gejala penting.
- Sakit di bahagian dada, bahu dan belakang berpanjangan dan lebih sakit jika menarik nafas panjang.
- Nafas berbunyi.
- Sesak nafas.
- Suara serak.
- Batuk berdarah.
- Bengkak di bahagain leher atau muka.
- Hilang selera makan dan badan susut.
- Berasa terlalu letih dan lemah
- Kerapkali mendapat jangkitan paru-paru atau “pneumonia”.
- Bentuk hujung jari tangan atau kaki berubah serta membonjol.
Diagnosa
Setelah mendapatkan simptom dan mendapatkan riwayat, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal. Selepas itu, ujian-ujian akan dijalankan untuk memastikan diagnosa dan juga untuk mengenalpasti komplikasi-komplikasi yang terdapat
Ujian-ujian itu adalah seperti berikut iaitu pemeriksaan:
- Darah
- Kahak
- X-ray dada –tidak semua yang abnormal di dalam x-ray dada adalah kanser, misalnya parut, jangkitan kuman dan pengumpulan kalsium
- Scan bahagian dada (thorax) – ujian ini boleh melihat paru-paru secara tiga dimensi, ia juga boleh mengukur saiz kanser selain dari itu ia boleh mengesan penularan kanser ke organ-organ lain seterusnya memberi gambaran tahap atau stage kanser paru-paru
- Bronkoskopi adalah satu prosidur di mana satu tiub fleksible di mana di hujungnya terdapat sebuah lampu yang disambung ke sebuah kamera. Ini membolehkan doktor melihat di dalam saluran pernafasan dan jika terdapat sesuatu bonggol atau tumbuh, ia akan dibiopsi untuk mengenalpasti jenis sel kanser paru-paru
- Pleuroskopi – Ini adalah satu prosidur yang dilakukan apabila terdapat cecair berlebihan dalam selaput paru-paru yang boleh disebabkan oleh kanser paru-paru, samada primari atau metastatic. Pleuroskop adalah satu tiub dan di hujungnya terdapat lampu disambungkan ke kamera. Selain daripada mengeluarkan cecair belebihan untuk dihantar ujian, biopsi juga boleh dilakukan untuk mengenalpasti jenis sel kanser.
- Positron Emission Tomography” (PET) scan dilakukan bukan sahaja untuk mengelpasti kanser tetapi boleh mengesan metastasis.
- Imbasan tulang sekarang jarang dilakukan setelah adanya ujian-ujian lain seperti di atas.
- Mediastinskopi dahulunya dilakukan untuk mengenalpasti metastas tetapi sekarang jarang dilakukan kerana terdapat ujian-ujian seperti di atas yang kurang invasif.
- Ujian paru-paru dilakukan untuk mengukur fungsi pernafasan seseorang.
Rawatan
Rawatan yang selalu digunakan adalah:
- Pembedahan – untuk kanser peringkat awal
- Kimoterapi
- Radioterapi
- Kemoterapi dan radioterapi
- Terapi secara target (targeted therapy) untuk kanser paru-paru yang di mana, sel-sel kanser terdapat “epidermal growth factor receptor (EGFR)”. Untuk kanser jenis ini rawatan secara pengubatan diberikan dengan ubatan “tyrosine kinase inbihitor” (TKI). Contoh-contoh ubat ini ialah gefitinib dan erlotinib. Ia akan diambil oleh pesakit secara oral sekali sehari.
- Paliatif untuk peringkat kanser yang sangat teruk
Rawatan susulan
- Selepas sesuatu kanser peringkat awal telah dibuang melalui pembedahan, ada risiko untuk kembali selalunya dalam masa dua tahun.
- Ujian dilakukan secara berkala untuk mengenalpasi kanser berulang
Rawatan Paliatif
Rawatan paliatif bermaksud rawatan secara medikal atau “nursing care” untuk mengurangkan simtom dan kesengsaraan dan bukanlah rawatan penyembuhan. Oleh kerana hanya sebilangan kecil sahaja pesakit kanser dapat sembuh, tujuan utama rawatan adalah untuk melegakan simtom. Rawatan paliataif termasuk:
- Mengurangkan rasa sakit
- Mengurangkan sesak nafas
- Mengurangkan rasa cemas
- Memudahkan tidur
- Rawatan kemurungan
Ini semua dilakukan supaya seseorang pengidap kanser boleh menghabiskan sisa-sisa hidup dengan kualiti hidup yang baik dan boleh melakukan perkara-perkara asas seperti bersolat, sedikit riadah ringan supaya ia tidak berasa terasing daripada keluarga dan masyarakat.
Pencegahan
Buat masa ini tiada cara kos efektif yang boleh mengesan kanser pada peringkat awal dan pesakit biasanya datang pada peringkat yang lewat. Oleh yang demikian, pencegahan yang paling berkesan adalah tidak terdedah pada asap rokok sama ada merokok secara aktif atau pasif. Pada mereka yang merokok, dinasihatkan berhenti merokok. Pendedahan pada anasir-anasir yang boleh menyebabkan kanser juga disarankan.
Sumber Rujukan : https://care.upm.edu.my/kandungan/rawatan_kanser_paru_paru-26836%20?L=bm