serangan jantung?
Anda mungkin sering mendengar berkenaan serangan jantung, namun adakah anda mengetahui penyebab penyakit ini? Penyakit ini berlaku apabila pembuluh darah (arteri) menjadi sempit akibat penyumbatan plak lemak dan kolesterol mengakibatkan aliran darah terganggu dan tidak boleh mengalir ke jantung. Otot jantung akan mengalami kekurangan oksigen dan menyebabkan “ischaemia”. Jika penyumbatan pembuluh darah di tahap yang teruk (>75%) bekalan oksigen akan terhenti. Otot jantung yang terlibat akan mati. Ini boleh menyebabkan serangan jantung yang teruk dan boleh membawa kematian.
Keadaan ini dikenali sebagai Aterosklerosis yang menyebabkan Penyakit Arteri Koronari . Keadaan ini selalunya terjadi tetapi tidak disedari oleh ramai orang; meskipun telah meragut banyak nyawa. Aterosklerosis sebenarnya penyebab utama penyakit danpembunuh nombor satu di dunia. Di Malaysia, lebih ramai orang mati kerana aterosklerosis berbanding dengan kanser. Di Malaysia, sekitar 9% atau 4000 daripada 50 000 pesakit dirawat di hosiptal kerajaan meninggal akibat aterosklerosis pada tahun 2004 berbanding dengan kematian akibat kanser sebanyak 7%.
Darah mengalir melalui pembuluh darah (arteri) ke organ-organ penting seperti jantung dan otak. Plak kolesterol dalam arteri akan menyempitkan lumen dan mengganggu aliran darah. Ada ketika sumbatan ini boleh pecah dan menyebabkan pembentukan darah beku. Jika hal ini terjadi pada jantung, ia akan mengganggu aliran darah dan menyebabkan berlakunya serangan jantung.
Organ yang tidak menerima bekalan darah yang mencukupi akan rosak. Jika keadaan ini berlaku di dalam otak, ia akan menyebabkan angin ahmar (strok). Jika ia terjadi di periferi, maka ia akan menyebabkan “Penyakit Arteri Peripheral” dan mengakibatkan kerosakan atau kegagalan organl. Ramai pesakit, terutama yang berisiko tinggi tidak sedar akan adanya arterosklerosis terutama yang berisiko tinggi kerana tiada tanda awal tertentu yang boleh di kesan. Oleh itu saringan kolesterol adalah penting untuk intervensi awal.
Sayangnya, ramai orang tidak tahu bahawa kematian akibat aterosklerosis boleh dielakkan. Aterosklerosis menyebabkan 50% kematian pesakit akibat serangan jantung. Jika mereka dapat bertahan, 2 / 3 akan discaj dari hospital dengan kadar morbiditi yang tinggi dan 1 / 3 lagi boleh mengalami masalah lumpuh anggota badan akibat strok.
Apakah faktor risiko penyumbang terhadap serangan jantung?
Aterosklerosis terus meningkat di Malaysia dan Asia sebahagian besar disebabkan oleh gaya hidup tidak sihat. Jumlah penduduk dengan masalah obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi juga meningkat yang merupakan faktor risiko penting. Kurang amalan bersenam, tabiat pemakanan yang buruk dan merokok juga menyumbang terhadap risiko aterosklerosis.
Apa itu kolesterol?
Kolesterol adalah sejenis lemak (disebut sebagai lipid) yang diperlukan oleh tubuh untuk bekerja dengan baik. Badan anda boleh menghasilkan kolesterol dan juga mendapatkannya daripada sumber makanan. Terdapat jenis kolesterol ‘baik’ dan ‘buruk’.
Apakah kolesterol ‘buruk’?
Orang ramai sering berasa takut apabila di sogokkan dengan keburukkan kolesterol kerana mendapat maklumat yang salah. Namun kebenarannya adalah kolesterol merupakan sebahagian daripada kimia penting untuk tubuh. Kolesterol terdapat dalam setiap sel manusia dan haiwan. Selain kolesterol yang diperolehi daripada pengambilan makanan berasaskan haiwan, tubuh kita juga mempunyai kemampuan untuk menghasilkan semua kolesterol yang diperlukan untuk pelbagai fungsi badan.
Pengekalkan tahap kolesterol dalam peringkat yang disarankan (normal) adalah penting untuk memperolehi kebaikan maksima. Kolesterol digunakan untuk membuat cecair hempedu yang dihasilkan oleh hati. Ini adalah amat penting untuk melindungi saraf, membina sel-sel badan yang baru, dan menghasilkan hormon tertentu yang diperlukan untuk perkembangan normal dan fungsi tubuh manusia.
Kolesterol secara semulajadi seperti lilin yang dibuat oleh hati. Ia merupakan kombinasi daripada lemak dan steroid. Kolesterol kurang/tidak larut dalam air dan lipoprotein tertentu diperlukan untuk mengangkut kolesterol dalam pembuluh darah.
Jenis lipoprotein :
- Low density lipoprotein (LDL)
- Trigliseride merupakan komponen utama
- Very low density lipoprotein (VLDL)
- High density lipoprotein (HDL)
Low density lipoproteins(Kolesterol Buruk)
Low Density Lipoproteins juga dikenali sebagai (LDL) atau kolesterol buruk kerana mereka mempunyai kecenderongan untuk melekat di dinding arteri.Ini menyebabkan pembentukan bahan tebal dan keras dipanggil plak kolesterol. Menurunkan paras kolesterol LDL akan mengurangkan risiko daripada penyakit jantung.
Adakah menurunkan kolesterol LDL mencegah penyakit jantung koronari?
Menurunkan Kolesterol LDL akan dapat mengurangkan risiko penyakit jantung. Dalam keadaan tertentu, pengambilan ubat-ubatan akan disarankan untuk pencegahan sekunder pada pesakit yang pernah diserang penyakit jantung. Ia juga untuk pencegahan primer, iaitu pada mereka yang mempunyai faktor risiko penyakit jantung koronari.
Selain ubat-ubatan, melakukan perubahan gaya hidup tertentu seperti bersenam secara teratur, mengikut diet yang rendah lemak tepu dan kolesterol, menurunkan berat badan berlebihan dapat membantu menurunkan paras kolesterol.
High density lipoproteins(Kolesterol Baik)
High density lipoproteins juga dikenali sebagai (HDL) atau kolesterol baik kerana ia menjalankan fungsi mengeluarkan kolesterol dari pembuluh darah dan membawanya kembali ke hati. HDL juga membantu dalam mencegah pembentukan plak kolesterol dalam pembuluh darah. Bersukan atau bersenam secara teratur dan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat boleh membantu dalam meningkatkan tahap HDL.[/01]
Trigliseride
Trigliseride adalah bentuk lemak yang dibuat dalam tubuh. Paras trigliseride yang tinggi boleh disebabkan oleh masalah obesiti, merokok, kurang aktiviti fizikal dan pengambilan alkohol. Mereka yang mempunyai tahap trigliseride tinggi biasanya mempunyai tahap Jumlah Kolesterol (Total Cholesterol) yang tinggi termasuk tahap LDL yang tinggi dan tahap HDL rendah. Kebanyakan individu yang mengidap penyakit diabetes atau jantung biasanya mempunyai tahap trigliseride yang tinggi.
Siapa yang memerlukan ujian saringan kolesterol?
Setiap individu boleh mengalami masalah tahap kolesterol tinggi tanpa mengira usia atau jantina. Tiada tanda-tanda dan gejala yang akan membantu seseorang individu untuk mengetahui beliau mempunyai tahap kolesterol tinggi atau sebaliknya. Hanya pemeriksaan darah rutin akan membantu anda mengesan tahap kolesterol dalam darah anda. Paras tinggi kolesterol hanya diberikan perhatian jika ada beberapa masalah utama lain yang perlu dinilai.
Disarankan bagi mereka yang berumur atas 35 tahun harus menjalani ujian saringan sekurang-kurangnya satu pemeriksaan perubatan pada setiap tahun. Jika anda mempunyai kolesterol tinggi, harus diulang setiap 2 ke 6 bulan. Di sarankan ujian kolesterol di ulang selepas kaunseling dan perlaksanaan intervensi di lakukan.
Apa tahap disarankan?
Total Cholesterol – di bawah 200 mg (5.1 mmol / L)
Kolesterol LDL – di bawah 70 mg (1.8 mmol / L) untuk pesakit yang mempunyai penyakit jantung. Tahap bawah 100 mg (2.6 mmol/L) jika mempunyai faktor risiko penyakit kardiovaskular dan bawah 130 mg (3.4 mmol / L) untuk orang normal dan tidak ada faktor risiko.
Wanita umumnya memiliki paras HDL lebih tinggi berbanding lelaki dan mereka dilindungi oleh hormon sampai menopause. Paras HDL dan risiko penyakit jantung mereka menjadi sama dengan lelaki setelah menopause.
Apakah gejala kolesterol tinggi?
Kebanyakan orang dengan kolesterol tinggi tidak mempunyai tanda-tanda atau gejala. Anda dan doktor anda tidak akan dapat mengesannya, walau bagaimana pun antara gejala yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:
- Angina iaitu sakit dada atau ketidakselesaan akibat aterosklerosis pembuluh darah koronari Intermittent claudication iaitu rasa sakit pada bahagian betis apabila berjalan pada jarak tertentu.
- Hal ini berlaku kerana aterosklerosis pembuluh darah di kaki yang menyebabkan penyumbatan di salur darah dan seterusnya menghalang pengedaran darah yang lancar.
- Stroke atau mini stroke berlaku apabila darah beku atau pendarahan (salur darah pecah) di bahagian tertentu otak. Ini menyebabkan bahagian otak yang terlibat akan hilang fungsi dan kelumpuhan anggota berlaku.
- Plak pecah boleh menyebabkan berlakunya trombosis koronari dan penyumbatan aliran darah ke jantung iaitu serangan jantung
- Xanthoma iaitu ketulan kuning pada kulit terutama di sekitar mata. Ketulan kuning ini disebabkan oleh penggumpulan lemak dan biasanya menyebabkan kolesterol tinggi dalam darah. Xanthoma selalunya terjadi terutama di kalangan mereka dengan hiperkolesterolemia familial.
Bagaimana seseorang individu boleh mencegah kolesterol tinggi?
Faktor keturunan dan diet mempunyai pengaruh penting terhadap paras HDL, LDL dan total cholesterol seseorang. Diet yang tinggi lemak tepu dan kolesterol meningkatkan paras kolesterol LDL dalam darah. Kebanyakan individu dapat mencegah kolesterol tinggi dengan mengikuti saranan berikut:
- Berhenti merokok
- Makan lebih produk susu.
- Makan makanan berserat tinggi (sayuran, gandum, kekacang dan buah-buahan), rendah lemak (mengelakkan daging merah dan kuning telur) dan karbohidrat rendah (mengelakkan gula ringkas).
- Menurunkan Berat Badan (Capai Body Mass Index yang optima. Beri tumpuan untuk mengurangkan lemak di perut).
- Senaman 30 minit sehari, sekurang-kurangnya 5 hari seminggu
- Makan ubat yang disyorkan oleh doktor
- Ubat untuk menurunkan paras kolesterol harus diambil hanya selepas konsultasi doktor.
Sumber Rujukan : http://www.myhealth.gov.my/pencegahan-sakit-jantung/