KALAM ANJUR BENGKEL BERSAMA JABATAN WARISAN NEGARA

Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) telah menganjurkan Bengkel Training for Trainers– Kepentingan Teknologi dalam Kerja Pemuliharaan Bangunan Warisan bersama KALAM pada 4hb-7hb Julai 2023. Bengkel ini telah diadakan di GALERIA KALAM, UTM bersama-sama dengan 15 orang pegawai yang diketuai oleh Puan Mas Ayu Mohd Tahir; Kurator dari Jabatan Warisan Negara (JWN). Pelaksanaan bengkel tersebut diterajui oleh Pengarah KALAM, Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman selaku Ketua Program serta dibantu oleh pasukan Pengurusan KALAM. Program bengkel ini dimulakan dengan lawatan ke Galeri UTM di Bangunan Canselori Sultan Ismail bagi menelusuri sejarah warisan penubuhan institusi tersebut. Kemudian, peserta juga berpeluang melawat Institute of Bioproduct Development (IBD), Rumah Tropika UTM, Istana Diraja Abu Bakar, Masjid Sultan Abu Bakar, Kompleks Warisan Johor, Forensic Engineering Centre(FEC) dan UTM Construction Centre (CRC). Peserta program juga didedahkan dengan penggunaan laser cutter dalam penghasilan model fizikal Bangunan Sultan Ibrahim. Ia merupakan kesinambungan penyelidikan warisan yang telah dilaksanakan oleh Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman bersama penyelidik lainnya. UTM adalah institusi yang sentiasa menyokong kepada usaha memelihara dan memulihara khazanah warisan negara.