GALERIA KALAM UTM adalah sebuah projek inovasi yang signifikan dan memberi impak kepada UTM melalui inovasi idea, konsep dan strategi baharu untuk meningkatkan sistem penyampaian yang lebih cekap sekaligus menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence- CoE). Penubuhannya adalah untuk memperkasa Pusat Penyelidikan Universiti sebagai salah satu destinasi berasaskan edu-pelancongan melalui pembangunan GALERIA KALAM UTM. Tidak sekadar menjadi Pusat Penyelidikan semata, fungsinya menjadi lebih serius apabila Galeria ini ditubuhkan untuk menyimpan, mengumpul, memelihara dan memulihara artifak-artifak berharga yang berkait dengan seni bina. GALERIA KALAM UTM menyasarkan ekosistem Quadruple-Helix (GUCI- Government, University, Community, Industry) selaras dengan pendekatan enVision Moonshot. Inisiatif penubuhannya adalah bertujuan menjadi pemangkin kepada penubuhan sebenar MUZIUM UTM di masa akan datang. Kini, GALERIA KALAM UTM telah menjadi penanda aras kepada banyak institusi tempatan dan antarabangsa dalam mewujudkan Muzium Universiti.
LATAR BELAKANG
GALERIA KALAM UTM ditubuhkan untuk menyokong kelestarian Pusat Kecemerlangan agar ia kekal dominan untuk menjadi pemacu pusat penyelidikan negara yang berorientasikan teknologi seni bina. Seni bina secara asasnya adalah ‘seni’ yang ‘terbina’. Ianya berkait rapat dengan budaya, warisan dan teknologi dalam membentuk sesebuah tamadun. Bersamanya, terdapat elemen-elemen dan artifak-artifak yang menyokong sekaligus menjadi pembuktian sebuah gaya kehidupan. Di GALERIA KALAM UTM tidak hanya dokumen sahaja yang disimpan malah pelbagai khazanah ketara juga dipelihara seperti artifak, arca, cebisan struktur, surat perjanjian, perabot lama, pakaian warisan serta banyak lagi. Namun, banyak bahan-bahan warisan tersebut diancam kerosakan dan kemusnahan yang perlu diberi perhatian. Disinilah inovasi idea, konsep dan strategi baharu bermula iaitu mewujudkan GALERIA KALAM UTM. Ternyata, projek inovasi galeria tersebut mampu memartabat khazanah negara sebagai sebuah usaha untuk menyelamatkan bahan warisan negara dengan menyimpan, memelihara dan memulihara sesuai pada ‘haknya’ bagi mengekalkan martabat warisannya.
KUMPULAN SASAR & SKOP LIPUTAN
GALERIA KALAM UTM menyasarkan ekosistem Quadruple-Helix (GUCI- Government, University, Community, Industry) selaras dengan pendekatan enVision Moonshot antaranya melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan melalui aktiviti pengajaran dan penyelidikan di Pusat Penyelidikan ini. Tambahan, GALERIA KALAM UTM adalah medan peneraju penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan terfokus dalam bidang seni bina sekaligus mencapai keunggulan global sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara berasaskan teknologi dalam seni bina warisan.
OBJEKTIF
- Untuk menyelamatkan khazanah warisan negara yang diancam kemusnahan dan kerosakan yang disebabkan oleh kaedah penyimpanan dan penyusunan yang tidak kondusif.
- Untuk memperkukuh reputasi UTM sebagai Universiti Penyelidikan tersohor negara serta menjadi peneraju pusat penyelidikan warisan dan teknologi berasaskan seni bina.
- Untuk menjadi medium pendidikan dan penyelidikan dalam memperkenalkan khazanah warisan negara sekaligus memberikan inspirasi kepada pengunjung agar dapat menanam sifat cintakan warisan dan budaya Malaysia.
- Untuk membantu Penyelidik dan Pelajar UTM memperkasa 7P (Pengajaran, Penyeliaan, Penyelidikan, Penulisan, Penerbitan, Perundingan, dan Pengkomersilan) melalui suasana ruang yang kondusif di GALERIA KALAM UTM.
- Untuk memperkasa Pusat Penyelidikan Universiti sebagai salah satu destinasi berasaskan edu-pelancongan melalui pembangunan GALERIA KALAM UTM.
GALERIA KALAM UTM ditubuhkan dengan merujuk nilai teras UTM iaitu sinergi, kecemerlangan, integriti dan kelestarian. Melalui projek inovasi ini, ianya mampu menyemai semangat berpasukan, menerima kepelbagaian dan menghargai perbezaan yang ada diantara kepakaran penyelidik. Sekaligus membantu meningkatkan kecemerlangan dalam aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, inovasi, pengkomersilan dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh KALAM UTM. Sebagai warga UTM, integriti sangat penting dalam melaksanakan amanah yang diberi. Ianya dapat dibentuk melalui kerjasama antara pasukan penyelidik KALAM UTM bagi memperkukuh prinsip etika. Penubuhan GALERIA KALAM UTM adalah strategi untuk menjadikan pusat penyelidikan kekal relevan dan lestari dalam menyampaikan mutu perkhidmatan yang cemerlang.
KREATIVITI
GALERIA KALAM UTM adalah penyelesaian kreatif untuk memelihara dan memulihara khazanah warisan negara yang diancam kemusnahan dan kerosakan. Warisan yang tidak dipelihara dan dipulihara sebaiknya akan hilang begitu sahaja. Maka, GALERIA KALAM UTM ditubuhkan dengan konsep yang bukan sekadar sebagai sebuah ‘muzium norma baharu’ malah Galeria tersebut juga menjadi medan pusat kesarjanaan dalam membentuk idea-idea baharu oleh para cendekiawan. Ianya berperanan sebagai sebuah pusat rujukan pengumpulan bahan khazanah warisan negara untuk rujukan komuniti, pelajar, penyelidik, pelancong dan pengunjung berkenaan warisan serta teknologi seni bina. GALERIA KALAM UTM adalah peneraju Pusat Penyelidikan berasaskan seni bina dan sering menjadi penanda aras kepada institusi tempatan dan antarabangsa sebagai tempat pengumpulan data yang komprehensif. Ianya unik kerana mengetengahkan sejarah, budaya dan teknologi seni bina. Selain itu, ruangan ini juga digunakan untuk mengkaji dan memahami dunia Melayu yang mengunjur luas di benua Asia dan kepulauan Pasifik bagi mendalami faktor-faktor yang mempengaruhi hubungan alam bina dan budaya-budaya yang terdapat di dunia Melayu. Ruang GALERIA KALAM UTM adalah bentuk inovasi dengan menjadikan Pusat Penyelidikan sebagai dwi-fungsi. Ianya bukan sekadar ruang penyelidikan, namun fungsinya menjangkau sebagai Pusat Edu-pelancongan (Edu-tourism) yang memainkan peranan penting dalam memperkaya pengalaman pendidikan dengan menggabungkan aspek pelancongan ke dalam proses pembelajaran. Pelancongan pendidikan ini membawa manfaat dalam memperluas wawasan, memahami budaya, dan memberi kesedaran mengenai teknologi seni bina kepada pengunjung. GALERIA KALAM UTM terbukti merapatkan jurang antara penyelidik dengan agensi melalui kolaborasi penyelidikan dan perundingan. Rata-rata pihak industri yang berkunjung ke GALERIA KALAM UTM mampu memahami dengan jelas kepakaran yang ditawarkan oleh penyelidik yang terlibat. GALERIA KALAM UTM adalah strategi baharu kearah meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan dengan lebih santai dan bersahaja untuk menarik minat orang yang mengunjunginya.
KEBERKESANAN
Penubuhan GALERIA KALAM UTM diuji berkesan serta mampu mendatangkan faedah kepada warga UTM melalui potensi kolaborasi bersama pihak-pihak pemegang taruh contohnya Jabatan Warisan Negara (JWN), Yayasan Warisan Johor (YWJ), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain pihak berkepentingan. Ianya menunjukkan hasil yang ketara apabila penyelidik dan pelajar memperoleh geran penyelidikan daripada pelbagai pihak antaranya JWN, YWJ, JKR dan lain-lain yang bertujuan untuk mengembangluaskan penyelidikan berasaskan seni bina warisan. Selain itu, GALERIA KALAM UTM adalah produk ketara yang diketengahkan untuk mendapatkan kerjasama strategik dari pelbagai agensi untuk bersama-sama memelihara warisan antaranya dengan pihak Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Sekolah. GALERIA KALAM UTM juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan pembelajaran untuk pelajar menjadi Pembantu Penyelidik di KALAM bagi menyertai pelbagai aktiviti penyelidikan berasaskan warisan dan teknologi. Inovasi penubuhan Galeria ini dilihat berpotensi menjadi peneraju pusat penyelidikan berasaskan warisan sekaligus mampu menjadi penanda aras (benchmarking) kepada institusi, agensi, industri dan komuniti. Tambahan, penubuhan GALERIA KALAM UTM mampu menarik minat kumpulan sasar bagi meningkatkan pemahaman dan penerimaan idea baharu berkaitan warisan dan seni bina. Ianya juga menjadi medan kolaborasi untuk mempertingkat kepentingan komuniti agar warisan khazanah negara sentiasa dijaga dan dipelihara.
RELEVAN
GALERIA KALAM UTM memartabat khazanah negara dengan penglibatannya dalam memelihara dan memulihara artifak-artifak warisan yang ada di pusat penyelidikan tersebut. Ianya merupakan projek inovasi yang dapat memenuhi agenda UTM dan Negara untuk menggalakkan kerjasama ekosistem Quadruple Helix yang melibatkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, akademia, komuniti dan industri (G-U-C-I: Government, University, Community, Industry). Penubuhan GALERIA KALAM UTM sangat relevan dalam mengenal pasti seni bina warisan yang berpotensi untuk diangkat sebagai produk Edu-pelancongan bagi kategori bangunan warisan di peringkat kebangsaan dan kategori-kategori lain yang diiktiraf sebagai warisan tempatan dan antarabangsa. Acapkali hasil penyelidikan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang awam disebabkan oleh jurang antara penyelidik dengan komuniti. Namun, melalui penubuhan GALERIA KALAM UTM ianya adalah sebuah medium untuk saling memahami permasalahan dan keperluan yang diperlukan oleh kedua-dua belah pihak dengan menunjukkan secara jelas hasil penyelidikan serta impak penggunaan teknologi yang berkesan sekaligus bertujuan memenuhi ekspektasi serta kehendak pihak yang terlibat. Tambahan, ianya juga menyumbang secara langsung kepada Sustainable Development Goals (SDG) melalui penubuhan GALERIA KALAM UTM iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti. SDG 4 bertujuan untuk memastikan akses kepada pendidikan yang berkualiti, inklusif, dan saksama, serta untuk mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi semua. Dalam konteks penubuhan GALERIA KALAM UTM, aspek pendidikan berkualiti menjadi penting dalam menyokong pembangunan mampan dan peningkatan kemahiran serta pengetahuan dalam kalangan individu. Melalui inisiatif inovasi GALERIA KALAM UTM, usaha untuk meningkatkan akses maklumat berorientasikan warisan, seni bina dan teknologi kepada pendidikan berkualiti dan pembelajaran yang berterusan dapat diperkukuhkan, sejajar dengan matlamat SDG sekaligus relevan untuk masa kini dan akan datang.
SIGNIFIKAN
Penubuhan GALERIA KALAM UTM adalah signifikan kerana ia memberi peluang untuk memperluaskan pemahaman dan minat terhadap sejarah serta budaya Dunia Melayu melalui pameran dan aktiviti pendidikan. GALERIA KALAM UTM memainkan peranan penting dalam menyokong pendidikan formal dan tidak formal dengan menyediakan platform untuk pengalaman langsung dan pembelajaran yang mendalam mengenai sejarah negara, khususnya dalam konteks Dunia Melayu. Melalui pameran dan inisiatif pendidikan, GALERIA KALAM UTM membantu dalam memperkaya pengetahuan dan kesedaran terhadap warisan budaya serta sejarah Dunia Melayu, sejajar dengan matlamat untuk mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai identiti dan perkembangan sejarah negara. Hanya bermodalkan bahan sediada serta inovasi idea, GALERIA KALAM UTM telah menghasilkan pulangan melalui perolehan geran-geran penyelidikan dan perundingan. Ianya sangat penting bagi memastikan kelestarian pusat penyelidikan ini. GALERIA KALAM UTM sangat penting untuk dipelihara dan dipulihara kerana ianya mampu menawarkan alternatif penyelesaian kepada isu-isu semasa berkaitan dengan teknologi seni bina khasnya bidang teknologi pembinaan. Inovasi yang dilaksanakan mampu menyelamatkan bahan-bahan warisan daripada musnah atau pupus dek arus masa. Ianya adalah suatu usaha untuk terus meletakkan warisan pada ‘haknya’ dan ‘martabatnya’. Bahan-bahan warisan yang ada haruslah diletakkan di ruangan yang kondusif bagi mengekalkan keasliannya. Hanya dengan inovasi penubuhan ruangan tersebut, ianya mampu memberi penjimatan sumber yang optimum dan akan menghasilkan pulangan maksimum pada masa akan datang. Bak kata pepatah, bahan-bahan warisan yang ada di GALERIA KALAM UTM “tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas”.
PENCAPAIAN, PENGIKTIRAFAN DAN PERANCANGAN MASA HADAPAN
GALERIA KALAM UTM memartabat khazanah negara. Ianya telah menerima pengiktirafan daripada pelbagai pemegang taruh apabila pusat penyelidikan ini menjadi pakar rujuk dan penanda aras oleh pelbagai pihak termasuk universiti, agensi, industri dan komuniti. Penubuhan GALERIA KALAM UTM membantu Pusat Penyelidikan KALAM UTM sebagai entiti penyelidikan yang unggul dan prestij. Dibuktikan apabila KALAM UTM telah menerima pengiktirafan berturut-turut dan terkini adalah Anugerah Kualiti Penyelidikan dan Inovasi Kategori Pusat Kecemerlangan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Fakulti Alam Bina dan Ukur bertarikh 26 November 2023 yang lalu. Walaubagaimanapun, GALERIA KALAM UTM masih berusaha dan sentiasa komited untuk memperbaiki mutu perkhidmatan yang ditawarkan. Projek GALERIA KALAM UTM ini hanyalah sebagai ‘pemula’ kepada projek yang lebih besar dan berimpak di masa akan datang. GALERIA KALAM UTM haruslah diiktiraf oleh UTM sebagai sebuah projek inovasi pusat kecemerlangan kerana selepas ini iainya akan dikembangkan untuk menjadi MUZIUM UTM melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Johor (MOTAC JOHOR), Tourism Johor, Jabatan Warisan Negara, Yayasan Warisan Johor, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain pihak. Penubuhannya bertujuan untuk menyebarluaskan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan kepada pelajar, penyelidik, pemegang taruh, pihak berkepentingan serta masyarakat umum. Kesimpulannya, projek inovasi GALERIA KALAM UTM adalah pemangkin kepada penubuhan sebenar MUZIUM UTM di masa akan datang.
UTM akan menjadi pemangkin kewujudan Muzium Universiti!