MENJEJAK WARISAN SENI BINA DAN BUDAYA DI KEPULAUAN RIAU

Seni bina dan budaya merupakan antara elemen penting yang membentuk ketamadunan sesebuah bangsa. Semenanjung Melayu mengunjur sejauh 1,355 km membentuk pengadang semula jadi di antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan, tempat pertembungan tamadun-tamadun besar dunia. Oleh kerana itu, banyak kerajaan Melayu lama yang muncul sepanjang Semenanjung ini. Langkasuka, Srivijaya dan Melaka adalah antara kerajaan-kerajaan Melayu yang telah meninggalkan kesan mendalam ke atas struktur sosio-politik Semenanjung Melayu (Astro Awani, Mohd Hazmi Mohd Rusli, November 24, 2020).

Pada 1824 Sejarah Kesultanan Johor berubah apabila terpisahnya pentadbiran dengan wilayah Riau dan Lingga. Pemerintahan moden Johor diasaskan oleh Sultan Abu Bakar (sebagai Temenggong) pada tahun 1862 menggantikan ayahandanya Temenggung Daeng Ibrahim. Pada tahun 1868, baginda telah menggunakan gelaran ‘Maharaja’ dan telah memerintah Johor dengan saksama serta menjadi pemerintah Melayu pertama yang berkelana ke Eropah dan seluruh dunia bagi menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara berdaulat lain, antaranya United Kingdom, Empayar Uthmaniyah, Liechtenstein, Prussia, Austria, Itali dan Hawaii.

Johor mempunyai seni bina yang sangat unik dan berbeza dengan seni bina konvensional Tanah Melayu pada ketika ianya dibina. Kunjungan ke Batam yang telah dilaksanakan pada 15hb-17hb bersama Pasukan Penyelidik UTM adalah untuk mendalami silang budaya di antara Johor dan Kepulauan Riau. Kami melawati kampung-kampung wisata yang didiami oleh masyarakat Melayu di sana. Selain itu, kami juga menyertai program yang diketuai oleh Dr. LAr. Muhammad Farid Azizul bin Azizui bersama dosen-dosen serta pelajar Arkitek Landskap UTM, pelajar Arsitek Universitas Riau Kepulauan (UNRIKA) dan pelajar Arsitek Universitas Internasional Batam (UIB) bagi program ‘International Green Community Workshop’ di UNRIKA. Pakar Penyelidik UTM diwakili oleh PM Dr. Mohd Hisyam bin Rasidi, LAr. Dr. Muhammad Farid Azizul bin Azizui, Dr. Shahrin bin Hashim dan Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman. Program ini juga disertai oleh Tuan Haji Kamdi bin Kamil. 

Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) adalah merupakan sebuah pusat penyelidikan yang bergiat aktif melaksanakan kajian mengenai seni bina dan budaya warisan mengunjur ke alam dunia Melayu secara amnya. Kajian awal ini sangat penting untuk membentuk jaringan kolaborasi penyelidikan ‘SIJORI’ di antara Singapura, Johor dan Riau. Usaha ini dipanjangkan melalui perbincangan yang telah dilaksanakan di Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru pada 21.3.2023

Kunjungan ke Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru. Dari kiri; Dr. LAr. Farid, PM. Dr. Hisyam Rasidi, PM. Dr. Robiah Suratman, En. Rizal, Ar. Noraslinda dan Dr. Shahrin.