RUMAH TROPIKA UTM

Senario pelancongan di Malaysia dilihat mampu memberi kesan Ekonomi yang besar melalui penjanaan pendapatannya rentetan perkembangan industri pelancongan dalam pelbagai aspek. Sektor pelancongan jelas menyumbang kepada pendapatan negara apabila jumlah kedatangan pelancong meningkat tahun demi tahun. Antara jenis pelancongan yang semakin menarik minat pelancong adalah pelancongan berkonsepkan Pelancongan Pendidikan ataupun dikenali sebagai Edu-Pelancongan. Pelancongan pendidikan dapat didefinisikan sebagai program pelajar yang berpotensi berpindah ke lokasi tertentu dengan tujuan mendapatkan pengetahuan baru yang berkaitan dengan disiplin mereka (Bodger,1998). Para pelajar yang pergi ke negara luar bagi tujuan melanjutkan pelajaran mereka dianggap sebagai pelajar antarabangsa. Pelajar tersebut disifatkan sebagai pelancong pendidikan kerana kehidupan mereka di negara-negara tuan rumah adalah kompleks dengan menggabungkan kedua-dua pengalaman pendidikan dan pelancongan (Huang, 2008). Langkah pihak Business Management Division (BMD) untuk menaiktaraf Rumah  Tropika UTM sebagai sebuah Pusat Informasi yang wajib dikunjungi oleh para pelancong dan pelawat merupakan suatu tindakan yang proaktif dalam mengangkat Universiti Teknologi Malaysia sebagai sebuah Kampus Edu-Pelancongan di mata dunia. Bagi melaksanakan hasrat ini, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) bekerjasama dengan barisan pakar sebagai pihak awal yang bertanggungjawab dalam mencadangkan perlaksanaan projek menaiktaraf rumah tropika tersebut dari segi susunatur ruang dalaman.

> Pembinaan Rumah Tropika

Rumah Tropika UTM merupakan projek fasa pertama bagi pembinaan Taman Tropika sebagai taman rekreasi dan telah siap sepenuhnya pada tahun 2000. Lokasinya yang terletak di bahagian pintu masuk utama  UTM juga diharapkan mampu menarik minat pengunjung untuk datang dan melakukan aktiviti rekreasi di sekitarnya. Tambahan pula dengan pembangunan tasik dan taman-taman lain di sekitar lingkungan Taman Tropika menjadikan rumah ini istimewa dan wajar dipelihara dan diselenggarakan pada setiap masa. 

> Konsep Rumah Tropika

Konsep Rumah Tropika telah direka dan dirancang berdasarkan kriteria percampuran elemen antara Seni Bina Tropikal dan Seni Bina Vernakular. Selain itu, pengaruh cuaca dan keadaan sekitar Laman Tropika turut diambil kira dalam membangunkan Rumah Tropika ini.

> Penggunaan Ruang

Ruang di dalam Rumah Tropika terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Anjung, Rumah Utama dan Rumah Belakang. Kawasan Anjung yang terletak di bahagian hadapan rumah merupakan sebuah kawasan terbuka yang tidak mempunyai dinding. Mengikut adat orang Melayu, Anjung merupakan tempat dimana tetamu lelaki dilayan memandangkan ruang ini lebih terbuka dan selesa. Tingkap dan dinding kayu yang digunakan dalam rumah ini juga mampu memberi keselesaan kepada pengunjung kerana adanya pengudaraan yang baik.Terdapat juga pelantar yang dibina tanpa bumbung yang memberi fokus kepada aktiviti rekreasi dan pemandangan sekitar.

> Struktur dan Bahan Binaan

Sistem pembinaan yang digunakan pada bangunan ini adalah sistem tiang dan alang yang lazim digunakan pada rumah tradisional yang lain. Struktur utama bangunan ini menggunakan kayu ‘resak’ dan kayu ‘cengal’. Kayu-kayu ini juga ada digunakan pada struktur lain seperti bumbung yang direka berdasarkan seni bina bangunan vernakular. Tingkap yang ada telah menerangi keseluruhan rumah dan penggunaan sisipan tebuk angin adalah pelengkap kepada pembinaan dinding yang terdapat dalam seni bina vernakular ini.

> Hiasan

Motif yang digunakan dalam pembinaan hiasan pada rumah ini adalah motif yang sering digunapakai dalam rumah-rumah tradisional yang lain seperti motif flora dan geomatrik. Hiasan ini menambah nilai estetika pada rumah serta memberikan pengudaraan yang baik di dalam rumah. Sebuah kolam air yang lengkap dengan air terjun turut memberikan ketenangan kepada pengunjung yang singgah di rumah ini.

Merujuk Pelan Induk UTM Kampus Edu Pelancongan (2020-2030) telah menyenaraikan sebanyak 21 produk pelancongan sebagai destinasi tarikan program ‘EduTourism Campus’ di UTM. Antara 9 produk Eco-Adventure yang disenaraikan; Hutan Rekreasi, Balai Cerap, UTM Trails, Pusat Ekuin, Taman Rusa, Tasik Ilmu, Tasik Desa Bakti serta Lata Jernih, Taman Tropika juga tersenarai sebagai salah satu tarikan Eco-Adventure sekaligus menjadikan seni bina Rumah Tropika ini sebagai ikon kawasan tersebut.