Untuk mengelakkan kecacatan otak & saraf tunjang bayi, buat perkara ini seawal 3 bulan sebelum hamil.

 

Bakal bergelar ibu, pastinya teruja dan  gembira dengan kehadiran si kecil di dalam rahim. Tidak sabar rasanya untuk memeluk si kecil dalam dakapan.

Dalam kegembiraan ini, ibu pasti melakukan apa sahaja untuk si comel dalam kandungan. Pemakanan seimbang, rehat yang cukup dan pemikiran yang positif akan membantu ibu meneruskan proses kehamilan dengan baik.

Tahukah anda pembentukan organ utama janin seperti otak dan saraf tunjang berlaku dengan pesat pada awal kehamilan dan ini adalah waktu kritikal yang bakal menetukan tahap kesihatan bayi selepas dilahirkan. Semasa pembentukan organ-organ tersebut, janin memerlukan nutrisi terpenting iaitu Asid Folik.

Apa Itu Asid Folik ?

Asid Folik amat penting kepada wanita terutamanya yang merancang untuk hamil. Ia adalah sejenis vitamin B yang diperlukan oleh setiap sel dalam tubuh ibu bagi menampung tumbesaran dan pembesaran janin yang normal. Tablet Asid Folic walaupun bersaiz kecil, namun memberi impak yang besar kepada perkembangan janin.

Menurut DR. Siti Esah Bahari , Pakar Obstetrik & Ginekologi, KPJ Selangor Medical Centre, Asid Folik adalah vitamin B9 yang amat penting untuk badan terutamanya untuk ibu hamil kerana sel-sel memerlukan Vitamin B9 pada ketika ini. Ia terdapat dalam 2 bentuk iaitu folate dalam bentuk makan misalnya sayur-sayuran hijau, kekacang serta buah-buahan dan juga Asid Folik dalam bentuk suplemen.

” Semasa mengandung, akan terbentuk satu sel  atau neural tube yang akan kemudiannya menjadi otak dan saraf tunjang. Inilah sebab mengapa wanita memerlukan Asid Folik. Tanpanya, bayi boleh mengalami kecacatan pada otak dan saraf tunjang ” . kata Dr. Siti

Jenis-jenis saraf otak dan kecacatan saraf tunjang pada bayi.

Kecacatan otak dan saraf tunjang yang biasa dijumpai ialah: 

  1. SPINA BIFIDA :- penutupan saraf tunjang dan tulang belakang yang tidak sempurna.
  2. ANENSEFALI :- keadaan yang berlaku dimana pembentukan otak yang tidak sempurna semasa peringkat fetal.
  3. ENSEPHALOKEL :- kecacatan tabung saraf yang ditandai dengan adanya penonjolan selaput melalui satu lubang pada tulang tengkorak.

Kepentingan pengambilan Asid Folik dalam jumlah dan masa yang sesuai.

Pengambilan kurang daripada saranan mungkin menyebabkan badan anda tidak mendapat Asid Folik yang mencukupi manakala pengambilan yang melebihi saranan akan menyembunyi tanda-tanda kekurangan nutrisi yang lain.

Dos Asid Folik yang hanyalah 400mikrogram(mcg) sekali sehari dan pengambilan Asid Folik sebagaimana yang disyorkan boleh  mengurangkan risiko kecacatan tube neutral sehingga 70%.

Oleh kerana anda tidak tahu bila persenyawaan akan berlaku, maka bersiap sedialah dari awal apabila anda merancang untuk hamil seawal 3 bulan sebelum hamil atau jika tidak menggunakan sebarang alat pencegah kehamilan. Apabila telah hamil, teruskan pengambilan tablet ini untuk 12 minggu yang pertama kehamilan.

Wanita yang telah mempunyai seorang anak dengan kecacatan tiub neutral (NTD) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat seorang lagi anak dengan kecacatan yang sama. Dalam kes ini, preskripsi dos Asid Folik yang lebih tinggi diperlukan.

Jika anda mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti yang dipreskripsi untuk mengawal epilepsi, doktor anda mungkin mempreskripsikan dos Asid Folik yang lebih tinggi. Ini kerana ubat-ubatab itu menghalang keupayaan badan anda menyerap Asid Folik.

Susu & minuman berkafein ganggu penyerapan.

Cara pengambilan yang betul menggalakkan penyerapan Asid Folik yang berkesan. Ibu-ibu digalakkan mengambil Asid Folik setiap hari selepas sarapan pagi untuk mengelakkan anda terlupa untuk mengambilnya.

Elakkan mengambil tablet Asid Folik bersama dengan minuman berkafein atau susu  kerana ia juga menimbulkan gangguan kepada proses penyerapan. Atau anda boleh menjarakkan 3 jam sebelum atau selepas mengambil susu & minuman berkafein.