HUKUM ZIARAH KUBUR SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

Sumber (http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/perkhidmatan/unit-fatwa/kemusykilan-agama-islam/sosial/427-hukum-ziarah-kubur-sempena-hari-raya-aidilfitri)

Soalan: Apa hukum ziarah kubur sempena aidilfitri seperti yang menjadi adat bagi sesetengah ahli masyarakat? 

Jawapan: Mengenai hukum ziarah kubur bersempena aidilfitri, sukalah saya menyebut terlebih dahulu hukum asalnya iaitu disunatkan ziarah kubur pada bila-bila masa.

Sabda Nabi s.a.w: كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَن زِيَارَةِ القُبُور فَزُورُهَاMaksudnya:“Adalah aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah” (Riwayat Muslim)Hadith lain berbunyi: استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت Maksudnya:           “Aku meminta izin daripasa Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”. (Riwayat Muslim) Maka secara umumnya, disunatkan menziarahi kubur tanpa mengira masa. Namun wujud perbahasan mengenai amalan menziarahi kubur pada hari raya aidilfiri.

Ada dua pandangan dalam isu ini iaitu: 

Pendapat Pertama: Hukumnya adalah harus sebab tiada nas khusus yang larang. Justeru hukumnya adalah dibolehkan. Antara ulama yang berpendapat begini ialah para ulama mazhab Hanafi. Antaranya tercatat dalam kitab al-Fatawa al-Hindiyyah: وكذلك في الأزمنة المتبركة كعشر ذي الحجة والعيدين وعاشوراءMaksudnya: “Maka begitu juga (sunat ziarah kubur) pada waktu-waktu berkat seperti sepuluh hari awal bulan Zulhijjah, dua hari raya dan hari Asyura’.” 

Pendapat Kedua: Hukumnya adalah tidak digalakkan. Maka berdasarkan pandangan ini, tidak sunat ziarah kubur bersempena aidilfitri, bahkan ianya makruh. Antara hujahnya ialah: 1-        Tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. 2-        Baginda SAW pada hari raya aidilfitri menzahirkan kegembiraan.  Dalam Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyah disebutkan: وليس للزيارة وقتٌ مُعَيَّن، والأمر في ذلك واسع، إلا أن الله تعالى جعل الأعياد للمسلمين بهجة وفرحة؛ فلا يُستَحبُّ تجديد الأحزان في مثل هذه الأيام Maksudnya: “Tiadalah masa ziarah kubur ditentukan. Ia adalah luas. Cuma hari raya dijadikan hari gembira, maka tidak disunatkan melakukan perkara yang mengembalikan dukacita pada hari-hari sebegini”.Berkata Syeikh Dr. Majdi Asyur, Setiausaha Dar al Ifta al Misriyah: لكن عند بعض الناس يأخذون من العيد كأنه يوم لزيارة الأموات فحسب وهذا لا شيء فيه فى الأصل يعنى لا حرج ولكن الحرج أن نقلب الأفراح وهو يوم العيد يوم الفطر بعد الصيام….. إذا صاحب زيارة القبور هذه الأشياء فالزيارة هنا مكروهة…. ونجعل العيد للفرحة والبهجة وإدخال السرور ولا ننسى أمواتنا من الدعاء 

Maksudnya: “Di sisi sesetengah orang, mereka seolah-olah jadikan hari raya hari ziarah kubur. Ianya tidak mengapa pada hukum asal. Tetapi yang masalahnya ialah ia boleh bertukar kegembiraan (menjadi sedih)….. Sedangkan aidilfitri hari gembira selepas ibadat puasa. Kalau ini yang berlaku sebagai kesan ziarah kubur, ia adalah makruh…kita boleh sambut raya dengan gembira tetapi tidak lupa berdoa kepada orang yang telah meninggal dunia.” Apapun, di musim PKPB ini, umat Islam di Terengganu tidak digalakkan menziarahi tanah perkuburan pada Aidilfitri ini. Ini bagi mengelakkan perhimpunan. Ia juga satu pendekatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.