PROGRAM SERVICE LEARNING JOURNEY TO INNER PEACE BERSAMA RUMAH PERLINDUNGAN FITRAH QASEH

JOHOR BAHRU: Seramai 37 orang pelajar Kursus Budi Penyayang, ULRF2252, daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di bawah bimbingan pengajar Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, bersama komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh telah bergabung tenaga dalam menjayakan dan merealisasikan program pembelajaran servis iaitu Program Journey to Inner Peace yang telah diadakan di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Larkin, Johor Bahru, Johor pada 16 dan 22 Disember 2023 yang lalu.

Program berfokus anjuran UTM bersama dengan komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh itu bertujuan untuk melaksanakan program pemindahan ilmu dan aktiviti yang menyeronokkan, memulihara serta membina fasiliti rumah dengan tema “Mental Health Awareness”. Bagi program ini, fokus utama adalah untuk memenuhi hasrat komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh bagi membantu mereka menjalankan kehidupan yang lebih selesa dan tenang. Melalui kerjasama ini, para pelajar dan komuniti telah berjaya membangunkan satu sudut terapi yang dinamakan sebagai “Therapeutic Space”, inovasi ampaian mudah alih dan melalui program ini juga, lawatan ke Muzium Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor dapat dijalankan sebagai alternatif penambahan ilmu pengetahuan anak-anak di rumah perlindungan itu. Selain itu juga, aktiviti gotong-royong dijalankan di sekitar kawasan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh bagi membantu penghuni rumah itu menjalani kehidupan harian yang lebih selesa.

Cik Laila Azirah Binti A Jalil, selaku warden Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh berkata, beliau sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama terlibat dalam program itu, yang melibatkan 37 orang pelajar UTM dan 67 orang anak-anak Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.

“Kami bertuah kerana dipilih oleh pihak UTM sebagai rakan kerjasama dalam merealisasikan program pembelajaran servis ini. Program ini bukan sahaja dapat membina dan mewujudkan kerjasama antara pihak UTM dan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh tetapi juga dapat melestarikan kawasan persekitaran rumah perlindungan ini.”

“Program ini juga membuka mata anak-anak dan memberi mereka motivasi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ini juga sekaligus dapat memupuk semangat dan nafas yang baru kepada komuniti selepas menerima kemudahan baru yang disediakan oleh pihak UTM,”katanya.

Beliau berucap ketika majlis penutup dan penyerahan fasiliti program berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Dr. Mahyuddin Bin Arsat.

Impak positif yang diperoleh daripada program ini kepada komuniti dapat diperhatikan apabila penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh banyak menggunakan fasiliti yang baru dibina oleh para pelajar. Pembinaan Therapeutic Space dapat dikatakan memberi impak yang besar kepada anak-anak tersebut kerana mereka sering menggunakan ruang tersebut untuk meluahkan perasaan mereka yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Semua ini tidak akan terjadi sekiranya tiada sokongan dan kerjasama daripada semua pelajar dan tidak lupa juga para komuniti yang memberi kerjasama yang baik sepanjang kelangsungan program, mahupun sebelum, semasa dan juga selepas program,” kata Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, pensyarah Kursus Budi Penyayang, ULRF2252.

Melalui program kerjasama ini, pelajar dan komuniti diharap dapat memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang baru dalam bidang sains dan teknologi. Hubungan yang erat antara pihak Universiti dan komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh perlu diteruskan agar fasiliti yang dibina ini dapat memberi manfaat kepada komuniti secara berterusan dan berpanjangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *