Tag Archives: Budi Penyayang

PROGRAM SERVICE LEARNING RUMAH BARU, HARAPAN BAHARU: PROJEK KEBAJIKAN RUMAH PERLINDUNGAN FITRAH QASEH

JOHOR BAHRU: Seramai 35 orang pelajar Kursus Budi Penyayang UKQF 2312/ULRF2252, daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di bawah bimbingan pengajar Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, bersama-sama komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh telah bergabung tenaga serta bekerjasama dalam menjayakan dan merealisasikan program pembelajaran servis iaitu Program Rumah Baru, Harapan Baharu: Projek Kebajikan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang telah diadakan di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor pada 15 Mac dan 7 Jun 2024 yang lalu.

Program berfokus anjuran UTM bersama dengan komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh ini bertujuan untuk melaksanakan program pemindahan ilmu dan aktiviti yang menyeronokkan, memulihara serta membina fasiliti rumah dengan tema “DreamBuilders: Crafting Futures”. Bagi program ini, fokus utama adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang bermakna kepada penduduk Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, dengan penekanan khusus dalam meningkatkan kualiti hidup mereka secara keseluruhan.

Bagi fasa pertama bertarikh 1 Jun 2024 para pelajar UTM telah menjalankan aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan rumah yang melibatkan komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dalam aktiviti gotong-royong agar mereka memahami kepentingan menjaga kebersihan disekitar kawasan rumah serta berjaya mengubahsuai dua bilik yang lebih selesa untuk mereka seperti mengecat dinding, menambahkan beberapa fasiliti seperti tempat untuk menggantung beg sekolah mereka agar lebih kemas serta menambah rak buku dinding untuk mereka meletakkan buku-buku agar kelihatan lebih tersusun.

Pada fasa kedua iaitu bertarikh 7 Jun 2024, merupakan  Knowledge Transfer Program dijalankan oleh pelajar UTM bagi mengajar serta membuat demonstrasi kepada komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dalam menggunakan fasiliti-fasiliti yang telah disediakan agar mereka mempelajari sesuatu perkara yang baharu iaitu cara bagaimana cara untuk menyusun serta menggantung beg sekolah mereka dengan lebih tersusun dan kemas serta penggunaan rak buku dinding. 

Encik Ahmad Ikhlas Solehin bin Ali yang merupakan warden Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh berkata, beliau sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama terlibat dengan program yang dijalankan yang melibatkan seramai 35 orang pelajar UTM dan 29 orang anak-anak Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.

“Kami bertuah kerana dipilih oleh pihak UTM untuk yang keberapa kalinya sebagai rakan kerjasama dalam merealisasikan program pembelajaran servis ini. Program ini bukan sahaja dapat membina dan mewujudkan kerjasama antara pihak UTM dan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh malahan dapat melestarikan kawasan persekitaran rumah perlindungan ini agar anak-anak disini dapat tinggal dengan lebih selesa”

“Saya juga berharap agar pihak UTM terutamanya Kelab Budi Penyayang agar tidak terputus hubungan dan tidak lupakan kami semua disini dan dialu-alukan untuk menjenguk kami dan bekerjasama dengan kami lagi untuk sesi yang akan datang. Saya juga dapat melihat senyuman anak-anak disini kerana mereka gembira atas usaha dan kerjasama Kelab Budi Penyayang kerana dapat mengubahsuai dua bilik dirumah ini yang dapat memberi keselesaan kepada anak-anak disini” katanya.

Beliau berucap ketika majlis penutup dan penyerahan fasiliti program berkenaan yang disempurnakan oleh pensyarah Kelab Budi Penyayang, Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani.

Impak positif yang diperoleh daripada program ini kepada komuniti dapat diperhatikan apabila penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dapat menggunakan fasiliti yang baru dibina oleh para pelajar. Usaha pengubahsuaian dengan menambah fasiliti seperti penggantung bag dan rak buku dinding di kedua-dua bilik yang dilakukan dapat memberi impak yang besar kepada anak-anak tersebut kerana mereka dapat belajar cara untuk menguruskan barang mereka dengan lebih sistematik agar tidak berlaku pertukaran barang dan seterusnya boleh membantu menjadikan kawasan didalam bilik lebih tersusun rapi.

“Walaupun fasiliti yang disediakan oleh pelajar-pelajar UTM ini tidak seberapa, tetapi saya harap anak-anak di rumah ini dapat menggunakan fasiliti tersebut dengan sebaiknya. Semua ini tidak akan terjadi sekiranya tiada sokongan dan kerjasama daripada semua pelajar dan tidak lupa juga para komuniti yang memberi kerjasama yang baik sepanjang kelangsungan program ini dijalankan mahupun sebelum, semasa dan juga selepas program.” kata Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, pensyarah Kursus Budi Penyayang, UKQF 2312 / ULRF2252.

Melalui program kerjasama ini, pelajar dan komuniti diharapkan dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang baru dalam bidang sains dan teknologi. Hubungan yang erat antara pihak Universiti dan komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh perlu diteruskan agar fasiliti yang dibina ini dapat memberi manfaat kepada komuniti secara berterusan dan berpanjangan serta dapat memberikan keselesaan kepada anak-anak dirumah tersebut untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

PROGRAM SERVICE LEARNING JOURNEY TO INNER PEACE BERSAMA RUMAH PERLINDUNGAN FITRAH QASEH

JOHOR BAHRU: Seramai 37 orang pelajar Kursus Budi Penyayang, ULRF2252, daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di bawah bimbingan pengajar Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, bersama komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh telah bergabung tenaga dalam menjayakan dan merealisasikan program pembelajaran servis iaitu Program Journey to Inner Peace yang telah diadakan di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Larkin, Johor Bahru, Johor pada 16 dan 22 Disember 2023 yang lalu.

Program berfokus anjuran UTM bersama dengan komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh itu bertujuan untuk melaksanakan program pemindahan ilmu dan aktiviti yang menyeronokkan, memulihara serta membina fasiliti rumah dengan tema “Mental Health Awareness”. Bagi program ini, fokus utama adalah untuk memenuhi hasrat komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh bagi membantu mereka menjalankan kehidupan yang lebih selesa dan tenang. Melalui kerjasama ini, para pelajar dan komuniti telah berjaya membangunkan satu sudut terapi yang dinamakan sebagai “Therapeutic Space”, inovasi ampaian mudah alih dan melalui program ini juga, lawatan ke Muzium Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor dapat dijalankan sebagai alternatif penambahan ilmu pengetahuan anak-anak di rumah perlindungan itu. Selain itu juga, aktiviti gotong-royong dijalankan di sekitar kawasan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh bagi membantu penghuni rumah itu menjalani kehidupan harian yang lebih selesa.

Cik Laila Azirah Binti A Jalil, selaku warden Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh berkata, beliau sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama terlibat dalam program itu, yang melibatkan 37 orang pelajar UTM dan 67 orang anak-anak Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.

“Kami bertuah kerana dipilih oleh pihak UTM sebagai rakan kerjasama dalam merealisasikan program pembelajaran servis ini. Program ini bukan sahaja dapat membina dan mewujudkan kerjasama antara pihak UTM dan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh tetapi juga dapat melestarikan kawasan persekitaran rumah perlindungan ini.”

“Program ini juga membuka mata anak-anak dan memberi mereka motivasi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ini juga sekaligus dapat memupuk semangat dan nafas yang baru kepada komuniti selepas menerima kemudahan baru yang disediakan oleh pihak UTM,”katanya.

Beliau berucap ketika majlis penutup dan penyerahan fasiliti program berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Dr. Mahyuddin Bin Arsat.

Impak positif yang diperoleh daripada program ini kepada komuniti dapat diperhatikan apabila penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh banyak menggunakan fasiliti yang baru dibina oleh para pelajar. Pembinaan Therapeutic Space dapat dikatakan memberi impak yang besar kepada anak-anak tersebut kerana mereka sering menggunakan ruang tersebut untuk meluahkan perasaan mereka yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Semua ini tidak akan terjadi sekiranya tiada sokongan dan kerjasama daripada semua pelajar dan tidak lupa juga para komuniti yang memberi kerjasama yang baik sepanjang kelangsungan program, mahupun sebelum, semasa dan juga selepas program,” kata Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, pensyarah Kursus Budi Penyayang, ULRF2252.

Melalui program kerjasama ini, pelajar dan komuniti diharap dapat memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang baru dalam bidang sains dan teknologi. Hubungan yang erat antara pihak Universiti dan komuniti Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh perlu diteruskan agar fasiliti yang dibina ini dapat memberi manfaat kepada komuniti secara berterusan dan berpanjangan.