Adab & Etika
Kepentingan adab & etika bagi profesion sebagaiĀ pensyarah universiti
Saya, Dr Norsyahida binti Zulkifli selaku pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memandang serius untuk memperjuangkan nilai murni UTM iaitu integriti, sinergi, kecemerlangan dan kelestarian (ISES). ISES ini berkait rapat dengan adab dan etika bagi profesion sebagai pensyarah university. Empat nilai murni ini sangat penting bagi memastikan pensyarah bertindak dengan jujur dan telus, membina kepercayaan di kalangan pelajar dan rakan sekerja. Ini mendorong budaya akademik yang positif dan menyokong nilai-nilai etika yang tinggi. Adab yang baik membantu mewujudkan persekitaran kerja dan kolaborasi yang berkesan antara pensyarah dan pelajar atau staf yang lain. Kecemerlangan dalam pengajaran dan penyelidikan pula memerlukan komitmen terhadap standard etika yang tinggi. Pensyarah yang mengamalkan adab dan etika yang baik secara konsisten cenderung untuk mencapai hasil yang lebih baik. Hal ini dapat memberi manfaat dan menyumbang kepada masa depan pelajar, institusi dan masyarakat.
Bagaimana adab & etika mempengaruhi ekosistem akademik dari aspek kepercayaan, prestasi pelajar & kredibiliti pensyarah?
Adab dan etika mempengaruhi ekosistem akademik. Pensyarah perlu membina kepercayaan dengan menunjukkan integriti, kejujuran, dan rasa hormat dalam interaksi. Pelajar akan lebih cenderung untuk berkomunikasi dan terlibat secara aktif dalam pembelajaran jika berada dalam persekitaran yang positif. Amalan mempamerkan adab dan etika yang baik dapat memberi kesan terhadap prestasi pelajar. Sifat ambil cakna pensyarah terhadap perkembangan pelajar mampu meningkatkan motivasi dan pencapaian akademik mereka. Pensyarah yang mempunyai etika dan adab yang tinggi akan dihormati, dipercayai, dan disegani oleh pelajar, sekaligus membuktikan kredibiliti seorang pensyarah. Kesimpulannya, adab dan etika yang baik adalah asas penting dalam membentuk ekosistem akademik yang positif, produktif, dan berdaya saing.
Apakah cabaran adab & etika yang dihadapi oleh pensyarah? Bagaimana untuk mengatasi cabaran tersebut?
Salah satu cabaran ialah membentuk pembelajaran dan interaksi secara berkesan dengan pelajar. Bagi mengatasi cabaran ini, penting untuk menentukan peraturan dan harapan yang jelas mengenai interaksi di dalam dan luar kelas supaya dapat mencipta suasana yang profesional dan kondusif untuk pembelajaran. Selain itu, penglibatan pelajar secara aktif di dalam kelas seperti perbincangan kumpulan, projek, dan kajian kes, pensyarah dapat dapat membina hubungan yang lebih baik dengan pelajar dan meningkatkan keberkesanan pengajaran. Cabaran dalam penyelidikan pula adalah penyalahgunaan hasil penyelidikan. Oleh itu, institusi Pendidikan perlu membentuk system pemantauan yang efektif untuk mengaudit dan menilai hasil penyedikan bagi mengesan sebarang penyalahgunaan. Penyediaan bengkel berterusan mengenai integriti penyelidikan kepada pensyarah dan juga pelajar juga sangat penting.
Cabaran dalam adab dan etika bagi pensyarah di universiti memerlukan perhatian serius dan langkah-langkah proaktif perlu diambil. Dengan menekankan kepentingan integriti dan komunikasi yang jelas, pensyarah dapat membina ekosistem akademik yang positif dan produktif.