‘Akademia’.
Pertama kali saya mendengar perkataan ‘Akademia’ ialah pada Hari Akademia 2019 dimana pada ketika itu saya menonton video ucapan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Ucapan yang cukup menggetarkan jiwa walau pada ketika itu saya hanya seorang pelajar PhD. Ketika itu, saya memahami makna ‘Akademia’ sebenar.
“Aspirasinya sangat besar dan sangat mencabar. Kita tidak mahu lagi wujudnya hempawa atau vakum yang menjurangi keberadaan para intelektual dengan masyarakat. Lumpur permasalahan masyarakat harus digeluti, gawat dan desah mereka harus menjadi persoalan dalam lambak jurnal dan kertas-kertas penyelidikan kita, daya fikir para intelektual harus membumi, harus terus menawarkan penyelesaian yang tuntas, menyeluruh dan berusia panjang. Inilah sikap seorang ilmuwan pencerah atau apa yang disebut oleh Almarhum Dr. Ali Shariati sebagai: rausyanfikir. Inilah juga peranan para cendekiawan, yang menjadi lidah, mata, telinga dan otak serta nadi masyarakat. Para intelektual harus menjadi cendekiawan yang membumi dan bersama dengan masyarakat awam, serta bukan lagi menduduki menara gading nun jauh dari lapangan, dan mendabik dada sebagai ‘cendekiawan’.” – Dr. Maszlee Malik
Bait-bait kata yang bermakna disusun begitu mendalam. Bermula ketika itu, saya merasakan begitu bermotivasi untuk menjadi seorang ahli akademik walaupun saya dapat membayangkan betapa besar dan mencabarnya peranan seorang ahli akademik.
Ahli akademik haruslah mempunyai ‘Jiwa Akademia’, yang menjadi lidah, mata, telinga, otak dan nadi masyarakat.
Saya amat bersetuju bahawa ahli akademik yang mempunyai ‘Jiwa Akademia’ harus dekat dengan masyarakat, menggunakan kesarjanaan dalam ilmu untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat dan penyelesaian tersebut perlu diwar-warkan dalam penerbitan supaya ianya dapat diguna pakai oleh generasi akan datang. Ianya selari dengan apa yang dikatakan sebagai ‘rausyanfikir’, iaitu ilmuwan pencerah. Apa hebatnya kesarjanaan ilmu sekiranya tidak digunakan dalam menginovasikan penyelesaian dalam komuniti? Ahli akademik yang mempunyai ‘Jiwa Akademia’ harus menjadikan resmi padi ‘semakin berisi semakin tunduk’ sebagai ikutan, bukan mendabik dada sebagai cendekiawan.
Selain itu, ahli akademik yang ber’Jiwa Akademia’ juga perlu mempunyai jati diri yang kukuh, berprinsip, berani mencuba dan menjaga integriti. Di UTM, elemen-elemen di atas amat dititik beratkan dalam diri setiap staff. Ianya ibarat akar pada sebatang pohon. Sekiranya akar ini tidak kukuh, manakan dapat menghasilkan batang, dahan dan daun merimbun.
Sebagai seorang ahli akademik, saya juga bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar di dalam kelas. Saya percaya ahli akademik yang ber’Jiwa Akademia’ bukan sahaja mengajar ilmu pengetahuan, malah perlu berasa ikhlas dan bertanggungjawab untuk mendidik para pelajar dengan nilai-nilai seperti adab dan sahsiah yang baik, serta menjadi penunjuk jalan kepada mereka untuk me’mahal’kan diri supaya menjadi aset negara yang berkualiti.
Akhir kata, saya meletakkan matlamat untuk menjadi ahli akademik ber’Jiwa Akademia’ yang menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
-Dr. Nur Fatihah binti Raimi