Jiwa Seorang Akademia

Dalam memupuk dan membina jiwa sebagai seorang academia yang sebenar, saya perlu mempunyai satu pegangan secara holistik yang menggabungkan falsafah pendidikan kebangsaan dan falsafah pendidikan islam. Ini kerana, terdapat persamaan yang nyata dalam penerapan kedua-dua falsafah tersebut iaitu yang melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Saya percaya, dengan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan dan agama di aras yang tertinggi, boleh menjadi pendorong dan panduan untuk saya berusaha menjadi seorang hamba Allah yang amanah, taat dan patuh terhadap segala suruhan-Nya. Secara tidak langsung, pegangan ini juga menjadi motivasi kepada saya agar sentiasa positif, bertanggungjawab dan jujur terhadap segala perbuatan agar ianya mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.

Dalam kerjaya pendidikan ini, tugas seorang pendidik bukan hanya perlu mendidik, namun juga perlu menyantuni para pelajar supaya berjaya menghasilkan insan yang holistik merangkumi kecemerlangan dalam pendidikan, kerjaya dan sahsiah diri. Memiliki kerjaya bukan hanya untuk mendapatkan gaji bulanan, namun lebih kepada amanah yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab, beretika dan semangat, serta harus percaya, bahawa ia adalah penyumbang kepada tahap keberadaan diri kita di akhirat kelak.

Passion dan kepuasan yang dibawa oleh seorang academia boleh diterjemahkan apabila anak didiknya berjaya menjadi insan yang lebih berjaya daripada dirinya sendiri.  Sementara masyarakat ghairah mengejar kemajuan duniawi, pembentukan insan yang beriman dan bersahsiah mulia merupakan pemangkin kepada kejayaan di masa hadapan. Peranan ini adalah satu amanah yang perlu dipikul bagi memastikan kelangsungan generasi yang bercirikan insan berjaya meliputi kecemerlangan jasmani, emosi, kerohanian dan insaniah.

Apalah maknanya sekiranya kecemerlangan dalam kerjaya tidak seiring dengan kecemerlangan dalam kehidupan. Meletakkan keseimbangan dalam kedua-dua perkara ini amat penting bagi saya untuk kelangsungan ‘kehidupan’ di dunia dan akhirat kelak. Menjaga hubungan sosial yang baik dengan rakan sekerja tanpa mengira rupa paras, darjat dan pangkat juga merupakan pendorong kepada pemupukan jiwa yang tulus sebagai seorang academia. Dalam usaha untuk berjaya dalam kerjaya, tidak perlu disertai dengan sifat hasad dengki, penindasan, fitnah memfitnah, zalim dan lain-lain sifat mazmumah. Di sinilah nilai ibadah dalam pekerjaan itu amat dipraktikkan bagi memastikan seorang pendidik tidak tergolong dalam golongan yang tidak beretika.

Justeru, wajarlah untuk seorang academia sentiasa berpegang kepada kata-kata pujangga, “Segala sesuatu itu bermula daripada diri kita dahulu”.  Perlu diingat, profesionalisme sebagai seorang pendidik perlu dihayati dan didokong dengan sepenuh jiwa dan raga, tanpa rasa berbelah bahagi. Rasa kebertanggunjawaban ini mendorong kepada sikap integriti serta akauntabiliti dalam melaksanakan segala tugasan dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi.

Bunga raya lambang tersemat,
Rukun dikelek agama dipikul,
Falsafah negara berpaksi syariat,
Teras intelek motivasi terunggul. 
Jati diri mendukung varsiti,
Tekad mendidik mengukir intan,
Etika diri penuh integriti,
Wawasan holistik memacu watan.
Ku tabur janji ke langit atas,
Kupasak erat seiring iman,
Akhlak terpuji sandaran teratas,
Empati diangkat sejajar kemajuan.
Akad kita, akad bertongkat,
Tongkat ditempa tujuh petala,
Setinggi mana darjat diangkat,
Takkan kulupa teras bermula.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.