Kurang arif guna  LPG   risiko kebakaran Rahmat menunjukkan pengatur gas ketika menjelaskan keselamatan penggunaan gas domestik dan industri di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Bahru. Skudai: Ribuan pengguna domestik gas petroleum cecair (LPG) di negara ini berdepan risiko kebakaran dan letupan akibat kurangnya kesedaran berhubung pengendalian dan keselamatan penggunaan gas memasak.Dianggarkan hanya sebilangan kecil pengguna di negara ini yang arif berkaitan pengendalian gas LPG selain melakukan pemeriksaan berkala pada hos dan pengatur gas.
Dekan Fakulti Petroleum dan Tenaga Diperbaharui (FRPEE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ir Dr Rahmat Mohsin, berkata pengguna gas LPG domestik mengambil mudah pengendalian dan pemeriksaan peralatan gas memasak.  Katanya, kebanyakan pengguna tidak menyedari perlunya penggunaan hos dan pengatur gas yang mendapat kelulusan SIRIM dan pihak berwajib.

Tukar tempoh tiga tahun

“Hos dan pengatur gas memasak perlu ditukar dalam tempoh dua hingga tiga tahun bagi memastikan tiada kebocoran yang menjadi punca kebakaran. Pengguna sepatutnya memeriksa hos dan pengatur gas sebulan sekali bagi tujuan keselamatan.  “Gas memasak mempunyai elemen yang mudah terbakar jika berlaku kebocoran termasuk penggunaan suis elektrik dan telefon bimbit. Kemasukan barangan (hos dan pengatur gas) yang tidak mendapat kelulusan pihak berwajib juga dikhuatiri meningkatkan risiko ini,” katanya kepada BH, semalam.  Rahmat berkata, walaupun kes membabitkan kebakaran dan letupan akibat kebocoran gas memasak jarang berlaku di negara ini, langkah keselamatan perlu dititikberatkan kerana risikonya besar.

“Ramai hanya tahu untuk petik suis dapur saja tanpa mengambil berat soal keselamatan ketika memasak. Sepatutnya hos dan pengatur gas perlu diperiksa sebulan sekali menggunakan buih sabun yang dibasahi dengan kain. “Ada juga pengguna yang meletakkan tong gas memasak dalam kedudukan yang salah. Sebenarnya perbuatan ini berbahaya dan lebih berisiko kerana tong gas tidak direka dalam kedudukan baring,” katanya.  Katanya, beliau berharap pengguna gas domestik lebih mengutamakan keselamatan penggunaan gas bagi mengelakkan letupan.