PENGEMBARA DUNIA

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Sahabat pembaca yang dikasihi, sama-samalah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita hidup dan tinggal di atas muka bumi-Nya lagi pada hari ini. Manfaatkanlah peluang ini sebaiknya dengan memperbaiki diri serta memperbanyakkan bekalan untuk dibawa ke destinasi kehidupan hakiki. Kehidupan di dunia ini sifatnya fana. Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Berapa lama sekalipun umur seseorang, dunia tetap akan berakhir baginya. Hakikatnya, kita semua sedang menunggu giliran untuk menuju kehidupan abadi yang akan menjemput setiap insan tanpa mengenal usia, kesihatan serta tidak dapat diduga di mana dan bilakah saat kematian mereka akan tiba. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 34,

وَمَا تَدْرِيْ نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًاۗ وَمَا تَدْرِيْ نَفْسٌۢ بِاَيِّ اَرْضٍ تَمُوْتُۗ اِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ

Maksudnya:  Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Oleh itu, hadis di bawah ini memberikan peringatan kepada kita agar tidak memperpanjang angan-angan tentang dunia.

عَنْ ابْنِ عُمَرْ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبَيَّ فَقَالَ : كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ. وَكاَنَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ. [رواه البخاري]

Maksudnya:  Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a., beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. memegang kedua-dua bahu saya sambil bersabda: “Hiduplah engkau di dunia seolah-olah orang asing atau pengembara.” Ibnu Umar berkata: “Jika kamu berada di petang hari, jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan semasa) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu.” (Riwayat Bukhari)

Dunia seharusnya dimanfaatkan sebagai bekal menuju akhirat. Dunia umpama ladang persemaian dan akhiratlah tempat menuainya. Semailah sebanyak-banyaknya amal ibadah dan amalan soleh agar dapat dimanfaatkan kelak sekembalinya kita di akhirat nanti, menjadi bekalan agar selamat melewati titian sirat. Justeru hadis di atas mengingatkan kita agar sentiasa bersedia dan memanfaatkan waktu yang ada serta jangan melengah-lengahkannya. Bersegera dalam melakukan hal-hal kebaikan sepeti bersegera untuk bertaubat, tidak bertangguh untuk beribadah, berterusan berbuat kebaikan, sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan bersungguh-sungguh melaksanakan semua hal-hal kebaikan. Manakala jika ingin melakukan sesuatu yang munkar, gunakanlah formula ‘fikir’ dan ‘zikir’ sebagai jalan untuk mengintrospeksi (muhasabah) diri.

Sentiasalah bersedia sebagaimana seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan menuju ke satu destinasi. Pastinya perjalanan tersebut diawali dengan persiapan yang rapi seperti persediaan ilmu yang mantap dan bekalan yang mencukupi agar tidak tersesat dan tersasar dari landasannya serta berjaya sampai ke destinasi dengan selamat. Justeru, dunia ini adalah jambatan yang menjadi penghubung menuju akhirat. Manfaatkan setiap sudut dalam kehidupan ini agar segala apa yang dilakukan bernilai ibadah di sisi-Nya. Tidur, rehat, kerja, makan, belajar dan semua aktiviti kehidupan yang dilakukan akan dinilai sebagai ibadah jika dilandasi dengan keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya. Berdoalah kepada Allah agar dikurniakan keteguhan hati dalam keimanan dan ketaatan kepada-Nya. Akhir kalam, berikut adalah antara doa yang boleh diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”