DARI sudut pembahasaan, ejen pemasaran dalam industri kewangan merupakan wakil sah berlesen di bawah mana-mana akta di Malaysia, yang diberi kuasa oleh muwakkil (prinsipal), untuk melaksanakan urusan pemasaran produk dan perkhidmatan kewangan.

Mereka, terutamanya ejen kewangan Islam akan membantu para pelanggan mengambil langkah proaktif dalam kegiatan perancangan kewangan dan yang penting menyemaikan disiplin untuk menyimpan dan mengurus wang dengan baik.

Ini dapat membantu memperkembangkan pengetahuan berkenaan produk-produk Islam kepada seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Kontrak yang terbentuk antara ejen dan prinsipal adalah wakalah. Sifat khusus yang wujud daripada kontrak wakalah ialah ia berasaskan amanah kontrak di mana wakil dianggap sebagai pemegang amanah (amin) yang akan bertindak dalam apa yang telah dibenarkan kepadanya oleh muwakkil.

Ejen pemasaran kewangan Islam di Malaysia sememangnya dilatih untuk mempunyai sifat yang seiring dengan kehendak syariah di mana mereka mesti beramal dengannya. Akidah atau tauhid menjadi asas utama dalam membentuk akhlak seseorang Muslim.

Berbudi dengan harta, tenaga, sikap, nasihat yang baik, simpati, bermanis muka dan berbahasa halus merupakan kelebihan manusia sebagai makhluk Allah yang terindah dan paling sempurna.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab sebagai seorang Islam dalam menjalankan peranan sebagai seorang ejen pemasaran amnya mestilah mempunyai akhlak yang baik dan berbudi bahasa.

Antara sifat-sifat baik yang harus diterapkan ialah:

BERSIFAT BENAR

 Allah SWT dan Rasulullah SAW telah memerintah umat Islam agar bersifat benar. Benar yang diutamakan ialah dalam percakapan, tutur kata, dan dalam menunaikan janji. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada para ejen supaya bersifat benar dalam apa jua keadaan. Sifat ini sudah tentu dapat meningkatkan profesionalisme seorang ejen pemasaran dan mampu menarik minat prospek mereka sama ada Islam atau bukan Islam.

AMANAH

Sifat amanah telah dihayati dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sehingga baginda digelar al-Amin. Oleh itu, dengan menghayati dan mengamalkan sifat ini, ia dapat membentuk peribadi Muslim yang baik. Jika berjanji, maka haruslaH ditepati, dan sebagai seorang ejen yang telah diamanahkan oleh pelanggan dan prinsipal, maka wajib ke atas mereka untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Menurut hadis Rasulullah SAW, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga: bila ia bercakap dia berdusta, bila ia berjanji dimungkiri dan bila diberi amanah, ia khianat” (Hadis riwayat Imam Muslim).

MENYAMPAIKAN

Adalah wajib atas para ejen pemasaran untuk menyampaikan apa jua ilmu berkenaan kewangan Islam pada orang ramai tanpa mengharap sebarang balasan. Jika tiada pelanggan yang berminat kepada produk ditawarkan, tidak perlu berkecil hati tetapi para ejen harus mempunyai hati yang ikhlas dalam mengembangkan pengetahuan kewangan Islam itu sendiri. Setiap Muslim juga wajib percaya bahawa rezeki itu datang dari Allah dan kita harus berusaha dengan baik untuk mendapatkannya. Usaha kita buat, hidayah Allah anugerah.

BIJAKSANA

Para ejen harus mendalami dan mempertingkatkan pengetahuan kewangan Islam setiap masa sama ada melalui pembacaan, seminar atau dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh agensi dan autoriti. Perancangan yang bijaksana dapat membentuk ejen pemasaran yang cemerlang.

SABAR

Sabar dikaitkan dengan keupayaan untuk berdepan dengan ujian Allah seperti penderitaan dalam melaksanakan ibadat khusus iaitu solat, puasa dan sebagainya; atau ibadat yang umum termasuk berbudi, berbakti dan halus serta baik dalam berbahasa. Orang yang sabar dapat terus bertutur dengan sopan serta menyenangkan dalam apa jua keadaan. Dalam menjalankan tugas sebagai seorang ejen pemasaran, kita tidak terkecuali daripada berhadapan dengan keadaan yang tegang dan juga kesulitan. Namun sifat sabar dapat menahan perasaan marah yang akan menyebabkan seseorang mengeluarkan kata-kata kasar dan kesat. Kesusahan merupakan ujian pada manusia untuk menguji kesabaran dan keimanan seseorang.

DEDIKASI

Allah telah mewajibkan agar umat Islam rajin bekerja dan berdedikasi tinggi. Sebagaimana firman Allah: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi ini (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah. Serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat) (Surah al-Jumu’ah: 10).

Rasulullah SAW bukan sahaja telah memperlihatkan teladan yang terbaik sebagai seorang yang rajin bekerja. Baginda mempunyai dedikasi yang tinggi apabila bekerja, daripada seorang pengembala kambing hinggalah sebagai seorang peniaga yang berjaya.

Islam tidak menggalakkan umatnya hanya mengharapkan jasa serta budi daripada orang lain. Apa yang diutamakan ialah menggalakkan umat Islam mencari rezeki dari hasil titik peluh dan bukannya menggalakkan mereka menadah tangan meminta simpati. Para ejen juga harus punyai sifat dedikasi yang tinggi dalam menjalankan tanggungjawab mereka dan mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah.