Keyword: TNB, Microgrid
RAJA NUR FAZNIE AIDA | | 18 November 2021
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/173201/BERITA/Nasional/TNB-rancang-labur-RM22-bilion-bangunkan-grid-masa-depan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM22 bilion bagi tempoh 2022-2024 di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), tertakluk pada kelulusan kerajaan untuk terus membangunkan grid masa depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, bagi menyokong matlamat negara untuk beralih daripada menggunakan bahan api kepada 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025, grid nasional mesti bersedia menerima RE untuk menyokong aliran tenaga dua hala dinamik, sambil mengekalkan kestabilan voltan.
“Menyedari komitmen TNB untuk terus mengutamakan pelaburan dalam memodenkan grid nasional ke arah grid masa hadapan, langkah ini dapat mewujudkan sistem grid yang kekal berdaya harap, berdaya tahan, pintar dengan teknologi digital di samping fleksibel dalam memenuhi keperluan negara untuk peralihan tenaga.
“Dalam memenuhi keperluan ini, pulangan munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengekalkan perbelanjaan modal yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan ‘International Conference on Learning and Development’ (ICLAD2021) di Bangsar, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah Ali, ia juga akan dilaksanakan dengan menghubungkan keseluruhan rantaian nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehingga ke premis-premis pelanggan.
“Pelanggan sudah pun menikmati grid masa depan sejak beberapa tahun lalu melalui pelaburan modal TNB dan juga di bawah IBR,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Roslan Ab Rahman pula berkata, TNB terus komited untuk melabur ke arah peralihan tenaga, selaras usaha-usaha menyediakan sokongan ekonomi kepada kerajaan.
Ulas beliau, isu perubahan iklim menjadi keutamaan utama pelaburan TNB di samping menyokong dan merangsang agenda pemulihan ekonomi negara.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/173201/BERITA/Nasional/TNB-rancang-labur-RM22-bilion-bangunkan-grid-masa-depan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf