Oleh Mohammad Asyraf Khalib – Oktober 23, 2020 @ 8:55am
APABILA sesebuah negara semakin pesat membangun, kadar permintaan terhadap keperluan sumber tenaga juga semakin tinggi.
Pertambahan populasi dan gaya hidup rakyat yang mahukan kehidupan lebih baik turut mempengaruhi kadar penggunaan tenaga di negara ini.
Sebagai pembekal bekalan elektrik utama negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited mempelbagaikan usaha demi memastikan kelangsungan sumber tenaga hijau untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Tenaga hijau
Sehingga kini TNB memainkan peranan penting dalam melaksanakan agenda kelestarian yang utuh menerusi pelaburan dalam tenaga hijau di peringkat domestik dan antarabangsa.
Ia merangkumi usaha mempelbagaikan sumber penjanaan tenaga TNB untuk tenaga boleh diperbaharui (RE). Inisiatif ini juga bakal menyumbang sebanyak 20% dalam sasaran kerajaan bagi kapasiti penjanaan campuran RE menjelang 2025.
Selain itu, anak syarikat runcit tenaga hijau milik penuh TNB, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) turut menyediakan kemudahan pemasangan panel solar dengan kos berpatutan yang berupaya menawarkan lebih penjimatan kepada semua, tidak kira untuk kediaman atau perniagaan.
Contoh terbaharu adalah kerjasama GSPARX dengan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) untuk pemasangan panel solar pada empat bangunan syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dengan penawaran pemasangan panel solar yang lebih mudah seperti ini, GSPARX telah menjadi sebahagian penyumbang kelestarian negara.
Universiti pintar
Selain itu, komitmen TNB dalam menerajui masa depan lestari juga dapat dilihat menerusi pelaburan dalam pendidikan tinggi, universiti pintar sebagai makmal sebenar untuk penyelesaian bandar pintar.
Penubuhan institusi itu juga bertujuan menambah baik pengalaman pelajar, kakitangan dan pelawat di kampus melalui pengaplikasian teknologi untuk peningkatan gaya hidup, mengurangkan jejak karbon dan menjadi penyelesaian inovatif dalam industri tenaga.
Pilihan pintar untuk pengguna
Selain pendidikan, TNB turut menawarkan manfaat kepada pelanggan TNB menerusi program Meter Pintar, iaitu pelanggan boleh menguruskan penggunaan tenaga dengan lebih cekap sekali gus mengurangkan bil elektrik dan jejak karbon.
Bukan itu sahaja, TNB juga memperkenalkan Rumah Sifar Tenaga berintegerasikan RE dan teknologi cekap tenaga di Cyberjaya untuk menggerakkan kediaman pintar.
Ini termasuk teknologi RE seperti panel solar photovoltaic (PV), bateri simpanan RE dan stesen mengecas kenderaan elektrik (EV) yang dikuasakan oleh grid.
Tenaga mesra alam
TNB juga komited dalam meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar menerusi pelaksanaan pembangunan lestari seperti loji jana kuasa bertenaga arang batu ‘ultra-supercritical’ (USC), di Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz, Negeri Sembilan.
Teknologi USC ialah teknologi pembakaran arang batu yang cekap dan mesra alam, dengan 40 peratus lebih kecekapan berbanding loji jana kuasa arang batu konvensional dengan kecekapan 36 peratus.
Flora dan fauna terjaga
Seiring dengan objektif melestarikan alam sekitar, syarikat utiliti nasional itu turut melaksanakan pelbagai program untuk memelihara serta memulihara flora dan fauna di negara ini.
Antaranya ialah pemuliharaan wilayah dan perhutanan seperti projek pemeliharaan Royal Belum, ikan kelah dan hutan bakau yang diterajui TNB sejak sekian lama.
Selain itu TNB juga cekap dalam pengurusan biodiversiti, misalnya pembinaan Stesen Hidroelektrik di Hulu Terengganu yang membantu memulihara kawasan hutan yang terjejas.
Stesen Hidroelektrik Sungai Perak juga memberi pelbagai manfaat seperti meningkatkan pengurusan sumber ikan serta mewujudkan limpahan sosioekonomi yang memanfaatkan masyarakat setempat.
Menerangi kehidupan komuniti
– FOTO TNB
Sejak awal penubuhannya lagi, TNB banyak melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berfokus kepada masyarakat setempat.
Sebagai contoh, Projek Lampu Jalan Kampung dilancarkan pada 2002 berjaya memastikan kawasan awam di kampung terpencil seperti balai polis, rumah ibadat dan jalan raya diterangi lampu jalan pada waktu malam, di samping menyediakan persekitaran yang lebih selamat kepada komuniti.
TNB turut membiayai dua projek amal iaitu Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi membuktikan komitmen berterusan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dari segi pembinaan rumah, bantuan pemilikan rumah, bantuan membaik pulih serta menaik taraf kediaman dan melakukan pendawaian semula kediaman.
Komuniti cekap tenaga
Lebih tujuh dekad membekalkan tenaga di negara ini, TNB terus komited meningkatkan kecekapan kos tenaga di semua ibu negeri di seluruh Semenanjung.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penggantian lampu jalan jenis Tekanan Tinggi Natrium (HPSV) ke Diod Pemancar Cahaya (LED). Setakat ini, sebanyak 326,053 lampu berjaya dipasang.
– FOTO TNB
TNB Energy Services (TNBES) juga menjalankan beberapa inisiatif untuk memasang kelengkapan RE di bangunan komuniti yang merangkumi pemasangan sistem PV solar pintar seperti di Pusat Jagaan Harian Demensia, Perak sebagai sokongan skim Pemeteran Tenaga Bersih, Net Energy Metering (NEM).
Inisiatif ini dijangka menghasilkan sekitar 3,900kWh sebulan dengan penjimatan kos lebih kurang RM2,000 dari bil elektrik bulanan. Pusat jagaan harian itu juga akan dilengkapi dengan sistem pemantauan tenaga dalam talian oleh Maevi.
Hari Tenaga Sedunia TNB
Sempena sambutan Hari Tenaga Sedunia TNB, segala inisiatif dan komitmen yang dilaksanakan oleh syarikat utiliti nasional itu wajar dihargai oleh semua pihak.
Selain membantu menerangi rumah dan tempat kerja, menyalurkan tenaga kepada kilang dan industri, TNB juga telah memberi kembali kepada negara menerusi sokongan dan sumbangan besarnya kepada masyarakat, antara lain, menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, pelaburan dalam pendidikan seperti penyediaan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar.
Dari segi sejarah dan tradisi, TNB amat dekat di hati rakyat Malaysia kerana bagi tempoh lebih 70 tahun syarikat utiliti nasional ini setia ‘menyalurkan tenaga kepada negara’, sekali gus mewarnai dan menerangi kehidupan semua.