JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan pelan data internet 10GB percuma untuk pelajar B40 yang mengikuti pembelajaran sesi 2020/2021 di institusi berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof Dr Durishah Idrus, berkata data internet itu diperuntukkan kepada lebih 6,500 pelajarnya berdasarkan permohonan dibuat.
“Seramai kira-kira 3,500 pelajar baharu daripada golongan B40 sesi pengajian 2020/2021 layak memohon bantuan pelan data internet percuma ini.
“Menerusi pelan data internet percuma ini, penerima akan mendapat akses tanpa had ke laman web dan aplikasi yang ditetapkan termasuk Zoom, Cisco Webex dan UTM elearning, yang boleh digunakan selama dua bulan.
“Jika ada keperluan untuk menambah kuota jika kehabisan data, ia akan ditentukan kemudian berdasarkan keperluan.
“Pelan data ini sudah diagihkan sejak 9 Jun lalu untuk fasa pertama hingga ketiga dan sudah membantu seramai 2,500 pelajar B40,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, UTM dilaporkan menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di kampus Skudai dan Kuala Lumpur.
Pejabat Naib Canselor UTM dalam kenyataan dilaporkan memaklumkan, semua pelajar tidak perlu hadir ke kampus untuk membuat pendaftaran dan pembelajaran.
Seramai 8,177 pelajar prasiswazah dan pasca siswazah dijadual mendaftar pengajian yang sebelum ini dijadual pada 10 hingga 13 Oktober.
Durishah berkata, terdapat 1,276 pelajar lama membabitkan pelajar ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda selain pelajar antarabangsa, masih kekal di kampus.
Beliau berkata, pelajar memerlukan juga sentiasa dibantu menerusi pelbagai inisiatif termasuk UTM Prihatin.
“Bagi pelajar yang mempunyai masalah kewangan boleh membuat permohonan bantuan kewangan melalui Unit Wakaf, Unit Zakat, Unit Endowmen dan Unit Alumni,” katanya.
Maklumat lanjut dan terkini berhubung Semester Satu 2020/2021 akan dimuat naik dari semasa ke semasa di http://www.utm.my/faq-qq-sem-1-2020-2021/ atau talian hotline +6011-118687022 UTMJN dan +6010 4040277 UTMKL.