Pekerjaan, merujuk Kamus Dewan (2000) membawa erti, sesuatu yang dilakukan secara berterusan kerana mencari nafkah. Manakala, kerjaya pula didefinisi sebagai profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah. Oleh itu, kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama dan tiada percanggahan.
Manakala, menurut Islam pula, pekerjaan ini membawa pengertian yang lebih luas dan bukan semata-mata mencari nafkah. Ini kerana matlamat pekerjaan hanya untuk kesenangan dunia semata-mata. Sebaliknya, Islam berpandangan setiap perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan oleh seorang muslim merupakan ibadah. Malah mencari nafkah untuk diri dan keluarga merupakan kewajipan. Dalam waktu yang sama, Islam membenci umatnya yang meminta-minta, mengemis dan sentiasa berharap kepada orang lain.
Manusia secara tabi’e/semulajadi dijadikan oleh Allah untuk memakmurkan dunia kerana manusia adalah khalifah Allah, pemegang amanah di muka bumi ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab manusia untuk memakmurkannya dengan kerja-kerja yang baik dan berfaedah, kerana kerja itu sebagai satu ibadah kepada Allah. Seterusnya, membentuk masyarakat dan negara yang bertamadun, maju dan harmoni.
Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat ke 105 ; Maksudnya ; “Dan Katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan- Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan“.
Firman-Nya di dalam surah Az-Zalzalah ayat ke 7 – 8 ; Maksudnya; “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula“.
Seorang muslim perlu memperbetulkan niat yang ikhlas bahawa kerja tersebut adalah sebagai satu bentuk ibadahnya kepada Allah, demi mencari keredaanNya. Oleh itu, proses pembetulan niat di hati adalah suatu yang penting dan perlu dibimbing. Setiap pekerja Muslim hendaklah ingat bahawa kerjaya yang mereka pilih merupakan amanah yang mesti disempurnakan dengan baik dan jujur kerana meyakini bahawa amanah tersebut akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Setiap pekerja tertakluk dengan peraturan dan ‘standard’ kualiti yang telah ditetapkan oleh organisasi mereka. Oleh yang demikian, segala peraturan yang tidak bertentangan dengan Syariat Islam hendaklah dipatuhi dengan disiplin dan komitmen yang tinggi. Kepatuhan kepada peraturan termasuklah patuh kepada ketua akan memudahkan objektif organisasi dapat dicapai.
Dalam menyempurnakan tugasan dengan cemerlang, semangat kerjasama semua anggota sama ada pekerja bawahan ataupun atasan amat diperlukan. Oleh itu, sikap bertolak ansur sesama rakan sekerja, pemaaf, bertolak ansur dan juga sesi perbincangan (syura) seharusnya kerap diadakan bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Pekerja yang cemerlang semestinya mempunyai daya kreativiti dan ketekunan yang tinggi selain memiliki daya inovasi dan produktiviti yang boleh menguntungkan diri sendiri dan organisasi.
Pekerja Muslim seharusnya menunjukkan peribadi unggul dan mulia berbanding pekerja lain.Ini kerana selain daripada pekerja Muslim dikawal oleh peraturan kerja dan undang-undang umum, mereka juga meyakini bahawa mereka sentiasa di bawah pemerhatian Allah dan para MalaikatNya. Oleh yang demikian, sifat-sifat mulia ini seharusnya menjadi amalan biasa setiap pekerja Muslim. Antara sifat-sifat mulia tersebut ialah sifat rajin, tekun, bersabar, malu untuk melakukan kesalahan jenayah, mesra, akrab, bertanggungjawab, menghorrnati orang lain, qana’ah, bertawakal, bersyukur, menghargai masa, menepati janji dan sebagainya.