Select Page

Kasih sayang merupakan satu anugerah untuk disebarkan sesama manusia dan makhluk.

Kenapa kita menunjukkan kasih sayang kita?

  1. Kerana Allah, sifat Allah itu sendiri yang Maha Berkasih Sayang
  2. Kerana sunnah Rasulullah, Rasulullah merupakan suri teladan dan contoh buat kita. Baginda sangat penyayang dan suka menyebarkan kasih sayang terutamanya kepada anak yatim, orang tua, jiran tetangga dan fakir miskin
  3. Kerana ia menjadikan kehidupan manusia menjadi lebih teratur, sumber ketenangan dan kebahagiaan
  4. Kerana ia dapat mengelakkan kacau bilau dalam masyarakat seperti berlakunya kes jenayah

Bagaimana caranya untuk kita menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak?

  1. Peluk dan cium anak-anak. Cara ini dapat menghilangkan ketaktenteraman dalam hati kita. Selain itu, kita dapat menunjukkan kasih sayang kita kepada mereka. Jadi, anak-anak akan belajar dan mempraktikkan dalam kehidupan mereka juga.
  2. Usap kepala kanak-kanak. Hal ini turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW yang selalu mengusap dan mendoakan kanak-kanak, terutamanya anak yatim. Baginda penuh dengan kasih sayang dan berlemah lembut.
  3. Usap pipi anak-anak. Baginda akan mengusap pipi kanak-kanak satu per satu apabila bertemu mereka. Hal ini penting dalam membantu pembesaran anak-anak kerana mereka mengetahui yang diri mereka disayangi.
  4. Panggilan yang baik dan mulia. Sentiasa menggunakan nama panggilan yang elok dan mendoakan yang baik-baik kepada anak-anak.
  5. Sabar melayani anak-anak. Cucu Baginda pernah memanjat di belakang Baginda ketika Baginda solat. Tapi reaksi Baginda hanya membiarkan cucu-cucu Baginda bermain sehingga akhirnya mereka sendiri turun.

Bagaimanapun manusia yang tidak ada kasih sayang dalam dirinya akan hilang keseimbangan diri dan mudah untuk bertindak kasar atau berfikiran negatif terhadap apa juga bentuk cabaran yang dihadapi. Mereka yang gersang hatinya dan jauh dari nilai kasih sayang sesama manusia, biasanya gagal membuat pertimbangan yang menggunakan akal dan hati kurniaan Allah SWT, sebab itulah adakala kita dapat melihat orang-orang yang bertindak ganas dan kejam sesama insan.

Manusia yang dibesarkan dalam keadaan tidak ada kasih sayang, tidak mendapat penghargaan, tidak menerima pujian atau tidak dilayan dengan baik, lebih cenderung untuk bertindak kasar, tidak menyayangi sesama insan, tidak mempedulikan orang lain, malah mereka ini akan lebih dekat dengan perbuatan jahat. Sebagai pendidik, ibu dan bapa, penting bagi kita mendidik anak-anak dengan perasaan penuh kasih dan sayang dan menerapkan nilai kebaikan, kecintaan, dan kasih sayang sesama ahli masyarakat supaya kita dapat membina tali persaudaraan sesama kita dengan seutuh yang mungkin.

Malah, manusia yang hati kemanusiaannya telah terkunci rapat untuk membina nilai kasih sayang menyebabkan ia mudah melakukan penderaan, keganasan, penganiayaan dan keganasan ke atas orang lain. Manakala sekiranya suami atau bapa yang mati nilai kasih sayang maka ia akan cenderung melakukan penderaan ke atas isteri dan anak-anaknya. Begitu juga seorang ibu yang kurang nilai kasih sayang akan membesarkan anak-anak dengan kata-kata kesat dan bagaimana akhlak seorang anak yang dibesarkan dengan kata-kata yang kasar yang merupakan doa apabila ia keluar dari mulut seorang ibu.

Justeru, marilah kita menyuburkan nilai kasih sayang dalam diri supaya kita dapat membina akhlak diri sebagaimana Rasulullah saw yang bicaranya amat lemah lembut, kata-katanya tidak menyakitkan hati, nasihatnya penuh hikmah, dan segala perbuatan baginda tidak pernah datang dari perasaan dendam walaupun ada yang membencinya.

Malah fitrah manusia itu sendiri yang sangat dekat dengan kebaikan dan sebenarnya sukakan perkara yang baik, marilah kita menyuburkan kasih sayang dalam diri supaya dengannnya kita dapat membina keharmonian rumahtangga yang penuh mahabbah, dan seterusnya membina kelestarian ummah dan keamanan sebuah negara bangsa negara. Mudah-mudahan nilai kasih sayang yang kita tanam dalam setiap diri menjadi tiket untuk kita memperolehi syurga Allah swt di negeri akhirat yang kekal abadi.