Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.
Bunga siantan di tepi beca,
Indah warnanya bagaikan bara;
Selamat datang para pembaca,
Dengan izin dimulakan bicara.
Alhamdulillah bersyukur sebenarnya masih lagi diberikan nikmat untuk bernafas hari ini dan masih lagi mampu menaip bait bicara di post kali ini. Perkongsian istimewa hari ini adalah mengenai blog pertama saya. Kursus blog yang pertama saya hadiri adalah pada 26 Jun 2014 yang diadakan di Institut Ibnu Sina (IIS) dan fasilitatornya ialah Puan Zarina Junet, selaku Pegawai IT di IIS. Pada waktu itu, tujuan mempelajari blog ini adalah untuk meningkatkan ranking webometrik IIS.
Beliau bukan sahaja mengajar saya menulis artikel untuk blog pertama saya, malah banyak berkongsi pengalaman nasihat dan pedoman tentang kehidupan ini. Sebenarnya impian untuk menulis blog ini sudah lama saya impikan. Asalnya dahulu saya memang sangat berminat menulis diari dan sajak. Saya sangat berharap dengan setiap perkongsian saya ini dapat memberi inspirasi dan bermanfaat pada orang lain. Dalam masa yang sama, menjadi amal jariah yang berpanjangan. Malah, dengan penulisan ini saya dapat meluahkan apa yang saya rasa.
Rentetan daripada kursus blog itu, terhasillah blog peribadi pertama saya yang banyak berkongsi mengenai kisah hidup, kisah anak-anak, kerjaya dan resepi-resepi masakan. Siapa sangka, selepas beberapa ketika blog tersebut terkubur, akhirnya kini saya memulakan semula untuk menulis. Untuk blog saya yang ini, saya cuba kongsikan lebih formal dan lebih bersesuaian dengan kerjaya saya. Masih banyak lagi perlu saya pelajari bagi memperbaiki gaya penulisan yang baik dan menarik supaya maksud yang ingin disampaikan mudah difahami semua pembaca.
Bermula pada tahun 2019, saya mula mengikuti semula kelas blog yang diajar oleh En Noranizam Demin, Penolong Pegawai IT CSNano. Selepas beberapa siri kelas blog, masih banyak lagi yang perlu dipelajari sebenarnya. Dan ianya memerlukan banyak masa bagi memahirkan penggunaan Theme Builder Divi, khususnya. Pemilihan konsep blog saya kali ini, saya telah menggunakan Canva dalam menghasilkan design yang simple dan menarik. Warna merah jambu menatari page Home yang melambangkan permulaan, kelahiran semula, berbunga, kemunculan kehidupan baru, dan transformasi.