Abu Dhabi ialah ibu negara kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan bandar yang kedua terkenal di dunia selepas Dubai. Dianggarkan lebih kurang 80% daripada 1.48 juta penduduk di UAE adalah orang asing. Penduduk asal UAE biasanya dipanggil Emerati. Bahasa kebangsaannya ialah bahasa arab dan bahasa inggeris pula menjadi bahasa perantaraan utama di sana. Majoriti penduduknya menganut agama Islam, diikuti agama Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain. Selain Abu Dhabi, terdapat 6 lagi negeri lain di bawah UAE, iaitu Dubai, Ajman, Fujairah, Sharjah, Ras Al-Khaimah dan Umm Al-Quwain.
Apa yang menarik tentang Abu Dhabi kepada saya. Pernah menetap di sana sebagai expat hampir 2 tahun (2014-2016). Ianya menjadi kenangan yang indah dan tidak dapat dilupakan. Pada pertengahan tahun 2014, suami saya telah diterima berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat petroleum terbesar di sana dikenali sebagai ADNOC (Abu Dhabi National Oil Company). ADNOC merupakan syarikat minyak yang dimiliki oleh UAE sendiri. Menurut Oil & Gas Journal, pada Januari 2015, UAE mempunyai simpanan minyak ketujuh terbesar di dunia. ADNOC merupakan syarikat minyak ke-12 terbesar di dunia dengan pengeluaran 3.1 juta tong sehari.
Tidak hairan lah, dengan kekayaan minyak yag dimiliki UAE, bandar-bandarnya juga memiliki bangunan yang cantik dan mencakar langit, khususnya di Dubai dan Abu Dhabi. Pertama kali menjejak kaki di sana, keadaan di Abu Dhabi tampak moden dan sangat padat. Sepanjang di sana, saya dan keluarga menetap di kawasan perumahan yang disediakan syarikat, jauh ke pedalaman sedikit, iaitu daerah kecil Ruwais. Keadaannya sangat jauh berbeza dengan Abu Dhabi dan Dubai. Jauh dari kemodenan dan kepadatan yang membingitkan. Sangat tenang dan kedesaan. Mengambil masa lebih kurang 2 jam perjalanan dari Abu Dhabi. Perasaan kali pertama melalui perjalanan dari Abu Dhabi ke Ruwais tidak dapat digambarkan. Menitiskan juga air mata tatkala melihat jauh kosong terbentangnya dataran padang pasirnya, tiada penghujung.
Walaupun begitu, saya agak suka dengan keadaan di Ruwais kerana lokasinya yang terancang memiliki kawasan perumahan, pusat perniagaan, pasaraya dan taman rekreasi. Walaupun berjauhan dengan keluarga, ikatan silaturahim di antara orang Malaysia yang menetap di sana sangat erat. Umpama saudara mara sendiri. Mereka sentiasa bersama dan aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan. Bagaikan tak terasa berada di perantauan. Juadah Malaysia masih lagi boleh dirasa dari air tangan mereka. Ada orag Malaysia yang membuat jualan bagi juadah tertentu. Apatah lagi, aktiviti kunjung-mengunjung di hari raya, ziarah, potluck dan lain-lain.
Sepanjang 2 tahun di sana, saya menjadi surirumah sepenuh masa dan hanya menjaga ank-anak di rumah. Walaupun begitu, banyak ilmu dan perkara yang saya belajar seperti, belajar memasak pelbagai juadah Malaysia. Selain memasak, kesempatan berada di tempat orang, suami juga sering membawa kami melawat tempat-tempat menarik di sana, di antaranya Abu Dhabi, Al-Ain, Dubai, Sharjah dan Fujairah. Saya juga mendapat pengalaman bersalin anak ketiga di Hospital Ruwais. Fasiliti dan kemudahan kesihatan di sana agak ekslusif dan lengkap. Saya menyenanginya kerana dapat memilih doktor perempuan. Tapi pada pendapat saya, dari segi pengurusan dan pengetahuan ilmu perubatan, Malaysia lebih berstruktur dan antara terbaik dunia.
Dari segi sosial, masyarakat di sana agak tertutup untuk bergaul rapat dengan orang asing. Seolah-olah terdapat satu tembok yang memisahkan, kemungkinan, disebabkan bahasa dan gaya hidup mereka yang high class. Mereka sering kelihatan memakai jubah putih (lelaki) dipanggil kandura besama guthra (kain yang dililit/menutup kepala) dan jubah hitam (perempuan) dipanggil abaya beserta shayla (selendang). Itulah pakaian rasmi dan traditional mereka. Wanitanya juga lebih banyak bergaul di antara kelompok mereka sahaja. Kebiasaannya wanita mereka berada di rumah dan tidak bekerja. Selain itu, kita sering dimomokkan media dengan wajah dan fizikal lelaki arab yang tinggi lampai, berkulit putih dan kacak berjambang. Sebenarnya terdapat juga lelaki arab yang mempunyai ketinggian seperti orang Asia dan berkulit sedikit gelap (keturunan dari Arab Badwi).
Dari sisi ekonomi, tidak dapat dinafikan mereka dilimpahi kekayaan yang lebih dari 7 keturunan pun takkan habis. Walaupun, tanahnya gersang, tapi isi buminya kaya dengan minyak petroluem yang berharga. Bandarnya mewah dan moden juga menjadi daya penarik utama kedatangan pelancong asing dari seluruh pelusuk dunia. Antara tempat menarik yang boleh dilawati di Abu Dhabi ialah Masjid Besar Syeikh Zayed, Abu Dhabi Mall, Yas Island, The Corniche dan banyak lagi. Jika di Dubai pula, Burj Khalifa, Dubai Mall, Dubai Creek, Wild Wadi Waterpark, Madinat Jumeirah, Dubai Miracle Garden, Global Village dan banyak lagi.
Makanannya pula lebih kurang sama dengan negara arab dari timur tengah yang lain. Yang pasti nasi arab (mandi, maglubah, kabsah dsbg) adalah yang paling popular dan biasa kita dengar. Pencuci mulut yang saya sukai adalah umm ali dan kunafa. Selain nasi, terdapat juga shawarma, shish tawouk sandwich, fattoush, tabbouleh, grilled kebab, falafel dan banyak lagi sebenarnya. Dari segi makanan, mereka sangat menggemari minyak zaitun, buah zaitun, kurma, madu, kekacang seperti badam, delima dan susu. Makanan-makanan ini juga dikenali sebagai makanan sunnah yang selalu dimakan oleh nabi kita, Nabi Muhammad SAW.
Sebenarnya banyak lagi ingin dikongsikan mengenai Abu Dhabi. Tapi tak terzahir untuk diluahkan di sini semuanya. Abu Dhabi sentiasa hadir di minda dan sentiasa dirindui. Banyak kenangan pahit dan manis ketika berada di sana. Walaupun hanya berada di sana dalam tempoh yang singkat, 2 tahun sahaja. Hakikahnya 2 tahun itu, banyak mengubah persepsi saya terhadap banyak perkara dalam hidup ini. Dengan mengembara, banyak ilmu yang kita perolehi.
Gambar-gambar ini adalah daripada koleksi simpanan peribadi ketika berada di sana sebagai kenang-kenangan untuk diimbau kembali.