Select Page

Hari ini, tergerak hati ini untuk berkongsi pasal redha. Ya, untuk menyebutnya mudah, tapi untuk melakukannya terlampau payah. Sifat redha ini seharusnya hadir baik ketika menerima nikmat mahupun ketika ditimpa musibah. Malah redha ini amat rapat dan terkait dengan iman. Semakin kuat iman seseorang, makin tinggi redhanya ditanamkan dalam jiwa.

Jadi, bagaimana kita harus mendidik jiwa ini untuk redha.

Pertama sekali, kita perlu tanam sifat bersangka baik dengan Allah. Dengan bersangka baik pasti lebih banyak kebaikan yang kita dapat. Dia yang menjadikan kita, jadi Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Kedua, sentiasa muhasabah dan mencari hikmah di setiap ujian. Ujian boleh menjadikan kita lebih baik dan semakin dekat pada-Nya. Kita muhasabah dan perbaiki kelemahan diri dan cuba jadi lebih baik dari sebelumnya.

Ketiga, jangan putus berdoa. Senjata mukmin yang paling hebat adalah doa. Moga dengan doa kita ini, dapat menguatkan hati kita.

Keempat, membuang rasa ego dan penyakit hati. Hati kita perlu dibersihkan dari segala kekotoran. Jika hati baik, maka baiklah keseluruhan kita.

InsyAllah, belajar untuk redha. Dalam tempoh untuk redha itu, pasti akan diteguhkan lagi keimanan kita pada Allah. Apabila kita telah redha, pasti hati kita akan terasa lapang dan tenang. Ya, kita semua mampu untuk redha.

Sesungguhnya Dia tidak akan memberi ujian itu, sekiranya hamba-Nya tidak mampu.

Bukalah minda, lapangkan dada, terima kenyataan dan perbaiki kelemahan. Mudah-mudahan, hidup kita sentiasa diberkati dan dapat mengecapi nikmat kemanisan iman.