Huraian Surah Al-Baqarah (2:153)
Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.
Allah SWT mengajarkan para hamba-Nya agar menjadikan dirinya tempat memohon pertolongan dengan melaksanakan solat terhadap apa sahaja kesusahan yang menimpa mereka di samping menjelaskan tentang kedudukan orang yang mati syahid di jalan Allah SWT.
Imam Ibn al-KathirĀ berkata bahawa setelah Allah SWT menerangkan perintah untuk bersyukur kepada-Nya, maka melalui ayat ini Dia menjelaskan perihal sabar dan hikmah yang terkandung dalam masalah menjadikan sabar dan solat sebagai penolong serta pembimbing. Oleh kerana sesungguhnya seorang hamba itu adakalanya berada dalam kenikmatan, lalu ia mensyukurinya; atau berada dalam cubaan, lalu ia bersabar menanggungnya.
Jika ditimpa musibah, kita perlu kembali kepada Allah dengan melakukan solat 2 rakaat dan mengadu kepadaNya. Jika dapat nikmat pula, kita perlu bersyukur dan mengucapkan Alhamdulillah serta melakukan sujud syukur.
Sabar itu ada dua macam, iaitu sabar dalam meninggalkan hal yang diharamkan dan dosa, serta sabar dalam mengerjakan ketaatan dan amal yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jenis yang kedua-dua inilah yang lebih utama, mengingatkannya merupakan tujuan utama manusia diciptakan. Adapun jenis sabar lainnya, iaitu sabar dalam menanggung berbagai macam musibah dan cubaan, jenis ini pun hukumnya wajib; perihalnya sama dengan istigfar atau memohon keampunan daripada segala macam bentuk kecelaan.
Sa’id bin Jubair menyatakan bahawa sabar itu merupakan pengakuan seorang hamba kepada Allah SWT atas apa yang menimpanya, dan ia jalani hal ini dengan penuh ketabahan kerana mengharapkan pahala yang ada di sisi-Nya. Adakalanya seorang lelaki itu berkeluh kesah, tetapi dia tabah dan tiada yang kelihatan dari dirinya melainkan hanya kesabaran semata.
Kelebihan yang kita dapat sekiranya bersabar ketika ditimpa musibah ialah dapat memasuki syurga tanpa hisab.
(Nota tazkirah ini disalin dari Program Kerohanian FSSH UTM Siri 11)

