Select Page

Musim persekolahan akan bermula tidak lama lagi dan saban tahun, pastinya ibu bapa telah bersedia untuk menghadapinya. Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan semua keperluaan persekolahan anak-anak adalah cukup, terutamanya jika baru masuk ke darjah 1.  Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu bersedia lebih awal. Usah bimbang, berikut dikongsikan beberapa tips dan contoh senarai bagi ibu bapa yang ingin menyiapkan keperluan persekolahan anak-anak.

1. Bersedia awal. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai, dinasihatkan bersedia setahun lebih awal dengan menyimpan setiap bulan bagi persediaan persekolahan mereka.

2. Letakkan bajet awal anda bagi semua perbelanjaan bagi keperluan sekolah anak, termasuk yuran sekolah, pembelian buku, pakaian, beg sekolah dan alat tulis. Bajet mestilah mengikut kemampuan kita.

3. Kenalpasti keperluan anak. Beli mengikut keperluan, bukan kehendak. Sebelum mula membeli, susun dan sisih barang sekolah anak yang sediada. Mungkin ada yang masih boleh digunakan, contohnya uniform yang masih elok. Hanya tambah yang perlu sahaja.

4. Senaraikan semua keperluan anak dan hanya membeli mengikut senarai yang ditulis sahaja bagi memastikan tidak melebihi bajet awal kita.

5.  Tinjau kedai yang menawarkan harga yang lebih murah dan kualitinya masih elok. Tidak perlu berlebihan dan membeli barangan yang berjenama dan harganya terlalu mahal melampaui jangkauan bajet kita.

6. Sentiasa awasi perbelanjaan kita semasa berbelanja. Boleh menggunakan excel melalui telefon bimbit bagi memastikan bajet kita tidak lari seperti dianggarkan.

7. Cekalkan hati untuk sentiasa mengikut senarai semak yang telah kita tulis. Jangan terikut permintaan anak-anak jika mereka menginginkan sesuatu di luar keperluan mereka.

8. Berikut adalah contoh perbelanjaan persekolahan anak-anak saya mengikut keperluan anak di sekolah rendah, tadika dan juga taska.

Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.