Kerjasama FGHT-MARA-MRSM Tun Ghafar Baba Anjur Program Pemindahan Teknologi MRSM Geoinovasi

Jasin, 9 April 2018 – Fakulti Geoinformasi Dan Harta Tanah (FGHT) telah menganjurkan program Transformasi Teknologi Geospatial Merentas Komuniti: MRSM Geoinovasi yang bertempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin.

Program yang dirasmikan oleh Dekan FGHT, Prof. Sr Dr. Mohd Razali Mahmud ini turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Raya (MARA) dan MRSM Tun Ghafar Baba. Program ini bertujuan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang teknologi geospatial kepada komuniti khususnya murid-murid di MRSM Tun Ghafar Baba. Terdapat tiga modul pembelajaran yang didedahkan iaitu Modul Pemanasan Global, Modul Teknologi Geospatial dan Modul Astronomi.

Turut hadir, Puan Siti Rahil Ismail (Timbalan Pengarah MARA), En. Mohd Bukhari Hamed (Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar yang menjalankan tugas Pengetua), Prof. Madya Sr Dr. Zulkepli Majid (Ketua Jabatan Geoinformasi FGHT), Prof. Madya Dr. Anuar Ahmad (Pengurus Pasca Siswazah FGHT) dan Sr Dr. Nurul Hazrina Idris (Pengarah Program MRSM Geoinovasi). Program ini telah dijayakan oleh 16 orang staf FGHT yang terdiri dari kalangan pensyarah akademik, staf makmal dan staf pentadbiran, serta 40 orang mahasiswa dan mahasiswi jurusan Geomatik, Remote Sensing, Geoinformatik, Pengurusan Harta Tanah dan Pentadbiran Tanah.

 

Majlis Perasmian Program Transformasi Teknologi Geospatial Merentas Komuniti: MRSM Geoinovasi di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin Melaka

Penyerahan cenderahati berbentuk peta MRSM Tun Ghafar Baba dari cerapan drone oleh Anak Sains MARA Jasin yang terdiri dari kalangan staf akademik FGHT kepada pihak Maktab

Program ini memberi peluang kepada seramai 400 orang murid MRSM Tun Ghafar Baba mengaplikasi ilmu sains dan matematik terhadap bidang geospatial menerusi ekplorasi saintifik di luar bilik darjah. Pelbagai aktiviti menarik dilakukan antaranya penentuan arah kiblat dan arah utara, pemetaan muka bumi menggunakan teknologi drone, penentududukan (bering dan jarak) menggunakan teknologi cerapan ukur tanah, pemantauan perkembangan pokok menggunakan teknologi Sistem Informasi Geografi, kaedah pengurusan sampah secara lestari, mini ekperimen kesan rumah hijau dan banyak lagi.

Aktiviti penanaman pokok dan pemantauan perkembangan pokok menggunakan Sistem Informasi Geografi

Pelajar sedang menjalankan mini eksperimen kesan rumah hijau

Taklimat dan demonstrasi teknologi drone

Diharapkan jalinan kerjasama kesemua pihak dapat diteruskan bagi mengembangkan pengetahuan tentang teknologi geospatial kepada pelbagai lapisan komuniti masyarakat.