Select Page

Bagaimana kami terjebak dalam program ini??? Kisahnya bermula selepas kami menonton cara bersahaja bekas PP SKA, Puan Saidatul Akmar ketika menyampaikan perkongsian beliau dalam program seumpama ini. Nampak menarik kisah buku yang dikongsi beliau yang bertajuk Projek Bibliofil ditulis oleh Zahrah Yunos. 

Tetiba Prof Mohammad Ismail mencadangkan kepada saya dan Ezat untuk menyertai program ini, hati pun terus berdebar-debar. Puas saya dan Ezat menepis-nepis untuk mengelak, Prof tetap ingin kami mencuba juga. Prof terus berhubung dengan pegawai perpustakaan menerangkan maksud beliau yang tersurat. Hampir juga pengsan kami dibuatnya.

Terus terang saya bukanlah seorang yang gemar membaca maka susah untuk saya tetapkan buku apa untuk dikongsikan bersama penonton. Pilih punya pilih maka teringat buku Diari Umrah Pertamaku. Buku ini antara beberapa buku yang berjaya saya baca lengkap hingga selesai, itu pun kerana pada ketika itu saya sedang membuat persediaan untuk menunaikan ibadah umrah saya buat kali pertama.

Balik pada cerita sesi read & relax tadi, waktu yang hendak dielak-elakkan tiba juga. Berbagai doa sudah dibaca, selawat sudah beribu-ribu kali diucapkan akhirnya kaki tiba juga di Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM. Kami disambut oleh staf perpustakaan yang mesra. Tetiba rasa mcm personaliti yang akan muncul di tv hehehe tapi yang ni personaliti cabuk lah kiranya.

Kami diberikan penerangan serba sedikit tentang apa yang perlu kami lakukan dan tepat jam 11 program pun bermula. Saya adalah pengulas ketiga, selepas sahaja diberi peluang bercakap, rasa gugup itu hilang dan timbul pula rasa bersemangat ingin berkongsi kandungan buku tersebut sambil diselitkan dengan pengalaman sewaktu mengerjakan umrah yang lepas.

Selesai sahaja program, saya sangat bersyukur, Allah beri kelancaran bercakap dan hilangkan segala gundah yang bermain di minda. Akhirnya berjaya juga melawan rasa takut dan rasa tidak yakin pada diri sendiri. Saya sangat berterima kasih khasnya kepada keluarga, kepada rakan-rakan SKA 8-5siblings saya serta semua yang mendoakan dari jauh dan dekat. Semoga lebih ramai lagi kawan-kawan saya yang akan menyertai program seperti ini di masa akan datang.