..:::Tips Bagi Pencari Kerja:::..

Lumrah kehidupan kini yang taraf hidupnya tinggi walau di mana jua kita berada.Persaingan yang sengit antara para graduan juga kian meningkat setiap tahun.Siapa yang cepat dan pantas serta bijak mengambil peluang akan terlebih dahulu diambil bekerja di mana-mana sektor sama ada swasta atau kerajaan. Jangan sesekali kata tiada peluang pekerjaan kerana peluang tersebut sebenarnya banyak dan faktor memilih jenis pekerjaan dan inginkan gaji yang tinggi setaraf kelulusan adalah punca ramai graduan menganggur pada masa kini.

Baiklah, sedikit tips atau petua yang saya boleh kongsikan kepada para pencari kerja di luar sana.Ianya berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam membina laluan kerjaya.

Pertama, harus berani mencuba dan rajin berusaha.Apabila diri sudah boleh membuat keputusan dan punya pilihan serta minat tertentu dalam sesuatu jenis pekerjaan yang diidamkan, teruskan berusaha memohon jawatan tersebut melalui pelbagai cara.Mohon sebanyak mungkin yang boleh samada melalui atas talian atau permohonan melalui borang.Walaupun baru tamat belajar, jangan takut, percayalah rezeki tidak akan salah alamat.Perlu juga yakin dengan diri sendiri.Rezeki juga tidak datang bergolek.

Kedua, jangan hanya duduk menunggu jawapan, sebaiknya cuba untuk mencari pekerjaan di kawasan berhampiran.Saya akan berusaha menghantar  ‘resume’ dan menghadiri temuduga terbuka dimana jua yang diadakan termasuk di pameran kerjaya.Ini adalah suatu peluang dan pengalaman yang agak mahal untuk kita juga.Sekurangnya, jika terpilih kita sudah diberi peluang untuk menimba pengalaman di dalam alam pekerjaan.Ia juga suatu pengalaman yang amat berharga.Jangan sesekali  meminta  gaji yang tinggi jika tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja sebelum ini.Mula dari bawah dan jangan pernah serik untuk belajar sesuatu yang baru.

Ketiga, jangan berputus asa jika gagal disenarai pendek untuk peperiksaan atau temuduga sebelum memasuki alam pekerjaan.Jika diiklankan lagi jawatan kosong di tempat yang sama dan jawatan yang sama juga, teruskan memohon.Jika kalian memohon secara atas talian, pastikan maklumat diisi dengan lengkap, resume juga lengkap dan teratur serta kemas.Begitu juga jika memohon menggunakan borang, maklumat harus diisi dengan lengkap dan segala salinan dokumen yang diminta harus dihantar sekali.Semakin banyak permohonan yang kita hantar semakin tinggi peluang kita untuk dipanggil temuduga atau disenarai pendek oleh mana-mana majikan. Jangan kedekut untuk keluarkan wang bagi proses penghantaran borang kerana duit boleh dicari tetapi peluang tidak selalu datang.

Keempat,ketepikan minat jika terlebih dahulu ditawarkan pekerjaan yang kita tidak minat.Ini kerana minat boleh dipupuk.Selain itu, pembelajaran yang berterusan dengan kawan sekerja yang lebih berpengalaman akan membantu kita dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.Ringankan mulut untuk selalu bertanyakan soalan jika kurang faham dalam melaksanakan tugas.Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana manusia biasa akan lebih belajar daripada kesilapan.Dengan cara ini, kita akan lebih kekal lama bekerja di sesuatu tempat tersebut kerana sentiasa mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan saling tolong-menolong.Jika terlalu kerap bertukar tempat kerja adalah sesuatu yang tidak bagus.

Kelima, sentiasa berdoa dan meminta ibu dan bapa serta adik beradik juga kawan-kawan mendoakan supaya kita dipermudahkan mendapat pekerjaan. Ini kerana kita tidak tahu doa siapa yang akan terlebih dahulu dimakbulkan oleh Allah.Sesungguhnya rezeki Allah itu luas dan kita harus terus berusaha untuk mendapatkannya.

Sekian, terima kasih.