Gunung Pulai: Permata Alam di Johor yang Wajib Didaki
Merancang… sudah lama. Merealisasikan? Akhirnya, pada 25 Oktober 2025.
Aku mula bertanya kepada kawan-kawan siapa yang berminat. Hanya tiga orang yang respon nak join. Disebabkan ini gunung pertama aku, berteman itu perlu.

Gambar 1: Dari kiri, Adah, aku, Fatin dan Mai.
Persediaan awal aku agak ringkas. Dalam beg galas, aku bawa air mineral dan sebotol Hundred Plus, dua bungkus roti dan tiga ulas pisang. Makanan aku masukkan dalam bekas sebab ada orang cakap tak boleh bawa plastik. Aku juga siap sedia bawa ponco, takut-takut hujan.
Kami berjanji jumpa di parkir Gunung Pulai jam 8.00 pagi. Untuk masuk ke kawasan kampung gunung, perlu bayar RM1 tunai. Tiada bayaran QR — kecuali kalau nak parkir di dalam, ada caj tambahan RM3. Kawasan parkir agak teratur dan meriah.
Dari kereta, kami berjalan sedikit menuju gerbang masuk kawasan gunung. Di situ ada beberapa orang penjaga yang bertugas menyemak beg para pendaki. Mereka maklumkan kami tidak dibenarkan membawa sebarang botol plastik.
Terkedu kami sekejap. Mujur Fatin dan Mai membawa botol air logam, jadi kami berkongsi air sepanjang perjalanan.
Berdasarkan cerita orang yang pernah naik, aku target masa mendaki sekitar 2 jam. Tapi di sinilah silap aku! Tahap kecergasan aku tak sama dengan mereka. Akhirnya, masa sebenar untuk naik dan turun jadi 3 jam.
Yang aku tak sangka, laluan berbentuk ular dengan cerun sekitar 45 darjah sepanjang 5.9 km (mengikut Strava). Masa mendaki zigzag masih boleh tahan, tapi bila turun… memang mencabar lutut! Aku terpaksa ubah gaya berjalan buat bentuk “V” dan berjalan secara terbalik atau menghadap belakang.

Gambar 2: Hampir ke puncak jalan lagi pacak menegak!
Jam 11.30 pagi, kami tiba di puncak. Dengan lelah dan bekalan air yang hampir habis, kami hanya berehat seketika sambil menunggu giliran bergambar dengan papan tanda. Tepat jam 12.00 tengah hari, kami mula turun dan tiba semula di bawah sekitar 3.00 petang.

Gambar 3: Aku bersama signage Gunung Pulai.

Gambar 4: Banyak pitstop di tepi jalan. Kredit gambar oleh Fatin.
Pendakian ke Gunung Pulai mungkin nampak mudah pada pandangan orang lain, tapi bagi aku, ia pengalaman yang mengajar banyak perkara. Bukan sekadar sampai ke puncak, tapi tentang kesabaran, semangat, dan kebersamaan. Bila sampai di atas, rasa penat terus hilang diganti dengan rasa syukur. Gunung Pulai bukan sekadar destinasi, tapi satu perjalanan kecil untuk kenal diri sendiri.
Bae, 28 Oktober 2025.