CERMIN DIRI

” Sakit hati semua nak luah,

Lebih sudu sampai tak cukup kuah,

Hati Hitam boleh tutup dengan jubah,

Kecam orang lain, sendiri tak nak ubah”

– Lagu EH – Zizi Kirana

 

Kebanyakan orang, apabila berlaku sesuatu perkara, lupa melihat cermin diri, tak tengok punca sesuatu perkara tu adakah datang puncanya dari diri kita sendiri. Perkara ini berlaku kadangkala bukan pada orang lain tapi berlaku juga pada diri kita sendiri. Jadi di ruangan ini saya tertarik ingin mengupas isu ini kenapa manusia sibuk cari kesalahan orang lain, sedangkan diri sendiri belum tentu betul.
Apa saja rasa tak puas hati hendak diluah di media sosial, perkara yang kecil menjadi besar. Apabila tersilap bicara, orang lain yang membaca dan mendengar tersalah tafsir pula.. maka bermulalah terjadi badai besar. Saling tuduh menuduh, mereka-reka cerita, menabur fitnah dan saman menyaman.
Bukan mudah menarik balik apa yang dah tersebar, nak membetulkan maklumat yang dah salah. Kita yang membaca ni pun laju aje beri komen, sedangkan cerita yang dikomen itu rupanya salah..  Yang tukar sebar cerita ni, sebarkan mengikut fahaman dan penilaian dia.  Apa yang termaktub dari kisah sebenar, orang tak ambil kisah.
Hidup jangan takut menyatakan kebenaran. Teguran itu boleh tetapi biarlah yang jelas tertera sahaja. Jangan segala rahsia disebalik tabir kain hendak disingkap, kisah yang lama-lama diungkit-ungkit. Bukan tugas kita untuk menilai orang. Orang pun berubah dan mungkin dia tersilap langkah. Kita tidak tahu apa yang termaktub dalam hati dan jiwa seseorang, mungkin tak sama dengan apa yang kita lihat. Orang hanya tunjuk apa yang dia ingin kita lihat, ada banyak sisi lain yang ditutup bukan untuk semua orang tahu.
Maka kita janganlah mudah sangat nak menghukum. Kawal kata-kata dan tindakan kita sendiri. Jangan kerana prasangka merosakkan silaturahim. Bukan semua orang boleh berlapang dada menerima ujian. Kelak kerana kata-kata badan binasa.