Bengkel Sistem Pelayaran Satelit.. 17th April 2017

Bengkel ini telah dilaksanakan di Jabatan Laut Malaysia (JLM), Bandar Hilir, Melaka dengan kerjasama pihak JLM dan UTM.

Sistem Pelayaran Satelit (SISPELSAT) adalah sistem bantuan pelayaran Nasional berasaskan Differential Global Positioning System (DGPS) yang dikawal selia operasinya oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM). SISPELSAT juga merupakan infrastruktur bertaraf dunia mengikut garis panduan International Association of Lighthouse Authorities (IALA) dalam julat frekuensi 283.5-325 kHz. Bagi tujuan keselamatan pelayaran, sistem DGPS seperti SISPELSAT perlu memenuhi empat (4) kriteria kebolehpercayaan (reliability) iaitu kewibawaan (integrity), ketepatan (accuracy), ketersediaan (availability) dan keberterusan (continuity) terhadap sistem.

Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan maklumat terkini mengenai fungsi dan status pengoperasian SISPELSAT kepada umum serta output penyelidikan yang dilaksanakan oleh pihak UTM. Bengkel ini juga telah memberikan penerangan teknikal penggunaan peralatan berasaskan DGPS dengan berbantukan SISPELSAT.

Seramai 40 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah mengikuti bengkel ini seperti Jabatan Perikanan Malaysia, ANGKASA, NAHRIM, JUPEM, UiTM Arau, West Port, North, JMG, Petronas Carigali, APMM, SEAFDEC, Lembaga Pelabuhan Kelang, Akademi Laut Malaysia, ACD Global Mapping, Pusat Hidrografi Nasional, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, UMT Trengganu dan Lembaga Pelabuhan Kuantan.