Suatu ketika, Timbalan Menteri Luar Hamas, Dr. Ghazi Ahmad Hamad sewaktu melawat Malaysia pernah me­nyatakan: “Malaysia berada di landasan yang betul dalam mengisi keperluan rakyat, justeru tuntutan kononnya kerajaan sedia ada perlu dijatuhkan demi sebuah perubahan adalah tidak sesuai sama sekali.”

Pandangan Dr. Ghazi yang juga pejuang intifada itu amat menarik untuk direnung. Dengan melihat Malaysia yang maju, aman dan berdaya saing dalam ekonomi, tentu beliau melihat Malaysia salah sebuah negara Islam yang boleh membantu membangunkan Palestin secara berkesan.

Keutamaan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk memerlukan dasar-dasar seimbang. Agenda Islam yang sedang berjalan mengambil kira faktor masyarakat bukan Islam supaya bahasa mereka tidak terpinggir dan mereka bebas bersuara dan menyatakan pandangan selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan.

Bank Rakyat yang operasinya patuh syariah ­umpamanya amat diminati pelabur dan peminjam bukan Islam. Asas­nya adalah wujud kestabilan dan keuntungan. Produk halal umpamanya disertai majoriti dalam kalangan peniaga bukan Islam. Asas ini kalau dapat dikembangkan dengan berhemah dan bijaksana jangka panjangnya boleh menghasilkan sistem ekonomi Islam.

Hal sama juga berlaku dalam dunia pendidikan. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mula menerima pelajar bukan Islam untuk mengikuti kursus yang ada. Dan penubuhan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia yang di­umumkan oleh kerajaan beberapa tahun lalu adalah suatu testimoni kerajaan untuk melaksanakan pendidikan Islam secara komprehensif.

Apabila ekonomi berkembang secara Islami dan pendidikan berjalan secara sepadu, ia bakal menghasilkan sumber daya atau modal insan yang mampu masuk ke dalam sistem. Sistem dan dasar akan menjadi lebih baik kerana ia dikendalikan oleh orang yang lebih berwibawa.

Bayangkan sistem pendidikan kita yang mampu menghasilkan para pelajar menekuni bidang syariah dan memahami juga bidang konvensional bakal menyumbang ke arah memperkasa sistem perundangan dan syariah di Malaysia.

Agenda ini terjadi kerana kita ada sebuah kerajaan yang mengambil kira agenda umat. Umat Islam ketinggalan dan lemah dalam banyak perkara. Kalaulah kuasa hilang daripada umat dan ia menjadi dominasi pihak yang ingin memper­kenalkan konsep ‘sama rata’ dan ‘sama rasa’ di samping faha­man sosialis demokratik yang tidak mengambil kira kepentingan Islam, ditambah pula dengan fahaman liberal dan pluralisme agama songsang, berselindung di sebalik gerakan evangelis sudah tentu agenda utama umat akan menghadapi masalah. Asas agenda umat yang telah terbina memerlukan penerusan. Penerusan hanya boleh berlaku sekiranya kuasa politik berada di tangan umat Islam. Sekiranya umat Islam pecah dominasi pihak ketiga akan terjadi. Umat Islam adalah teras di samping bekerjasama dengan pihak lain dan keadilan diberikan kepada mereka.

Jika ini berlaku, untuk mendapatkannya kembali adalah suatu hal yang payah. Jangan biarkan kata pepatah, nasi menjadi bubur atau sudah terhantuk baharu tengadah kerana kesannya amat tidak baik bagi umat Islam. Ambil pendekatan, ‘berhati-hati bila meniti, berhemat bila memanjat’. Sekali tergelincir padahnya buruk, sekali terjatuh payah untuk bangun kembali’.

Agenda umat masih belum selesai. Generasi muda Islam mempunyai peluang luas dalam bidang pendidikan. Para usahawan yang terlibat dalam bidang tijarah atau bisnes terus diperkasakan. Faktor daya saing dalam kalangan warga umat harus diperkukuhkan.

Globalisasi yang ada dan kebangkitan China sebagai suatu kuasa besar memerlukan Malaysia yang berdaya maju supaya model Islam dapat diketengahkan untuk mengatasi kemelut manusia dan kemanusiaan yang me­njadikan materalisme segala-gala. Malaysia boleh berperanan ke arah cita-cita ini.

source