Akhirnya, jawapan tetamu-tetamu Nabi Lut a.s. memberikan perkhabaran sebuah hakikat. Bala menimpa amatlah dahsyat. Bumi Sadum dan Amurah diangkat, dihujani batu-batu menimpa setiap pelaku maksiat. Tanah diterbalikkan dihempap rapat!

Apakah perasaan sebenar seorang Nabi tatkala itu? Malu, segan, runsing, hairan, marah, keliru dan tertekan. Kesemuanya berselirat dalam jiwa seorang pendakwah melihat rapuhnya iman dimamah nafsu. Perlakuan jahat seumpamanya yang tidak pernah ada sesiapapun melakukannya sebelum itu.

Namun, perkara ini tidak terhenti di situ. Azab yang turun seolah-olah tiada siapa yang mahu ambil tahu. Kini, ia bukan lagi sekadar satu isu. Tetapi ia telah menjadi satu ‘budaya’ yang diperjuang haknya. Pentasnya adalah di persada undang-undang dan hak asasi manusia!

Kini umat menanggung azab dan tekanan kemodenan. Dunia semasa terisi dengan umat yang bukan lagi sekadar cinta sejenis. Malah lebih parah, mereka menukar asal jenis dengan yang berlawanan jenis. Meskipun telah diciptakan sempurna. Inilah yang menjadi barah dalam masyarakat ia semakin membesar.

Syaraful Hayah cuba mengulas isu ini dengan harapan ada ruang untuk mendidik dan menasihati.

Tidak dinafikan, kejadian Allah dan penciptaan-Nya sentiasa menjadi misteri di sebalik realiti. Golongan yang dinamakan sebagai mukhannas atau disebut mukhannis boleh lahir daripada situasi yang dinamakan sebagai disforia gender iaitu mereka yang mempunyai kecelaruan gender. Ia diklasifikasikan secara umumnya sebagai lelaki yang mempunyai banyak sifat kewanitaan, lemah lembut sama ada dari aspek percakapan, cara berjalan mahupun perwatakan yang lebih menyerupai perempuan meskipun dilahirkan sebagai lelaki.

Istilah lain yang sering dikaitkan adalah mak nyah, pondan, darai dan bapuk. Sebahagian daripada mereka akhirnya mengubah jantina daripada lelaki kepada perempuan sama ada menerusi pembedahan atau rawatan hormon.

Golongan sebegini adalah mereka yang dikeji dan dilaknat keras sebagaimana yang termaktub dalam sabda Nabi SAW, diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a.:

“Nabi SAW melaknat golongan mukhannas daripada kalangan lelaki dan mutarajjil (berperwatakan seperti lelaki) daripada kalangan wanita,” – Riwayat Bukhari.

Begitu juga sabda Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang berpakaian wanita, dan (melaknat) wanita yang memakai pakaian lelaki,” – Riwayat Abu Daud.

Selain itu, terdapat beberapa panduan syariat dalam berurusan dengan golongan seperti ini. Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang bergaya seperti wanita dan wanita yang bergaya seperti lelaki. Baginda juga bersabda, “Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah kamu,” – Riwayat Bukhari.

Selain itu, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa pernah dibawa kepada Nabi SAW seorang lelaki yang berlagak seperti wanita, dia memberi warna dengan inai pada kedua-dua (kuku) tangan dan kakinya. Maka Rasulullah bertanya: “Kenapa dengan orang ini?” Sahabat yang menjawab, “Ya Rasulullah orang lelaki ini berlagak seperti wanita.” Lalu diperintahkan supaya orang tersebut diasingkan ke Naqi’ (suatu tempat yang jauh ke daerah pedalaman Muzainah, berjarak dua malam perjalanan dari Madinah). Lantas ditanyakan kepada Baginda: “Ya Rasulullah! Apakah tidak kita bunuh saja orang itu?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya aku dilarang membunuh orang yang solat,” – Riwayat Abu Daud.

Golongan tidak dilaknat bersyarat

Adapun golongan khunsa (hermaphrodites) iaitu yang mempunyai dua alat kelamin dan golongan mukhannas bi al-khilqah (mempunyai sifat keperempuanan yang dominan secara semula jadi) namun tidak menonjol secara terbuka dan cuba melindungi sifat tersebut bahkan cuba memperbaiki keadaan diri adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar diuji.

Mereka ini tidak termasuk daripada kalangan yang dilaknat. Asalkan dengan syarat, mereka reda dengan keadaan dan ketentuan Allah dan tidak melakukan maksiat dengan keadaan diri mereka yang diuji sedemikian. Syariat menjadi panduan mereka meneruskan kehidupan bermaruah.

REZEKI BUKAN ALASAN

Sebagaimana alasan kaum Nabi Lut a.s., kini alasan yang diberi adalah justifikasi rezeki. Katanya, jika tidak meneruskan watak kelembutan dan kekal dalam jantina, maka tiada rezeki yang datang menyapa.

Produk semakin laris dan keuntungan berganda seiring populariti dan kemasyhuran di persada media. Ingatlah sabda Baginda SAW:

“Perelokkanlah usahamu mencari rezeki. Janganlah disebabkan lambatnya datang rezeki kepadamu menyebabkan kamu memburunya dengan jalan bermaksiat kepada Allah. Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu tidak akan diperoleh kecuali dengan melaksanakan ketaatan,” – Riwayat al-Bazzar.

Marilah kita menyubur sedar. Bukanlah berniat mencerca apatah lagi mahu menghina. Dunia ini kita diami dan huni bersama. Semua yang hidup pasti inginkan keredaan dan kemuliaan daripada Tuhannya.

Apakah makna sesuap nasi, jika bersamanya kemurkaan daripada Yang Esa? Nikmat yang disangka sebaliknya menjadi istidraj penyubur dosa. Tidak salah, bahkan terpuji dan mulia jika kelembutan, seni ketelitian yang dianugerahkan dalam tubuh lelaki itu digunakan pada yang halal serta benar jalannya.

Salurkan ‘keistimewaan’ itu pada mahakarya yang dihasilkan namun bukan pada fizikal dan penampilan yang ditukar keadaan.

  • Kepada yang melihat hentikanlah kecaman.
  • Yang ingin bertaubat hulurkanlah bantuan.
  • Doa dan sokongan itulah harapan.
  • Bukan hentaman apatah lagi kejian.

Nasihatilah dan perbaiklah. Kepada yang diuji, jangan sesekali putus asa dengan rahmat Ilahi. Ia sukar penuh liku dan mencabar, namun itulah jalan pahala menempah syurga-Nya di akhirat sana!