Tahniah Singapura!
Saya nak ucapkan tahniah kepada Puan Halimah Yaakob yang menjadikan Presiden baru Singapura. Bagi sebuah negara sekular seperti Singapura memilih wanita muslimah bertudung menjadi Presiden merupakan sesuatu yang menarik.
Walaupun ada pihak di Malaysia ini yang mempunyai sisi pandang yang kurang positif terhadap negara jiran kita itu, namun jangan kita lupa sudut positif yang banyak pada negara tersebut.
Antara yang boleh kita sebut; negara Singapura yang lebih kecil saiz daripada Perlis itu lebih maju dari kita dalam banyak segi. Di sudut urus tadbir yang baik dan bebas rasuah mereka lebih cemerlang di mata indeks dunia. Demikian di sudut keselamatan dan keamanan.
Perdana Menteri Singapura yang bukan Melayu itu jauh lebih fasih berbahasa Melayu dibandingkan ramai MP bukan Melayu kita. Walaupun ia negara sekular yang dipimpin oleh bukan muslim, mereka ada jawatan Mufti Negara dan pengurusan agama Islam secara rasmi. Pandangan agama mereka juga baik dan sederhana. Sesuai dengan sifat negara mereka.
Tokoh-tokoh muslim progresif seperti Hamza Yusuf, Tariq Ramadan dan seumpama mereka disambut di peringkat negara. Fatwa mereka juga agak terbuka. Namun memerlukan keterbukaan yang lebih lagi. Pandangan hukum dari aliran literalis salafis dan traditionalis mazhab yang gagal melihat teks dan konteks dielakkan di negara berkenaan. Saya percaya ada perkara yang Umat Islam Singapura hendaklah melihat konteks mereka yang tersendiri yang berbeza dengan jiran-jiran mereka. Politik yang bijak dalam realiti yang ada lebih baik dari memperjuangkan sesuatu yang di luar kecapaian kita.
Speak Your Mind