–Malaysia Heritage Walks & Town Trails 2018
– National University Of Civil Engineering (NUCE)
JOHOR BAHRU, 13 Februari 2018 – Seramai 25 orang peserta yang terdiri dari wakil program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina UTM (7 pelajar dan 1 pensyarah pengiring) dan Faculty of Architecture and Planning (FAP), National University of Civil Engineering (NUCE) dari Hanoi, Vietnam (15 pelajar dan 2 pensyarah pengiring) telah telah menyertai program UTM Summer School–Malaysia Heritage Walks & Town Trails2018. Program UTM Summer School anjuran Fakulti Alam Bina UTM (FAB UTM) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) ini merupakan edisi kali ke-5 bersama pihak NUCE dan yang pertama selepas Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani pada Oktober 2017 antara kedua-dua institusi pengajian.
Program ini diketuai oleh Dr. Noor Aimran Samsudin, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM selaku pengarah program. Matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan usaha pemeliharaan bandar dari perspektif bidang perancangan bandar selain memupuk perasaan kecintaan terhadap nilai warisan tempatan dalam konteks alam bina melalui lawatan teknikal ke beberapa bandar warisan dan tapak bersejarah terpilih seperti Bandar Maharani Bandar Diraja dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Bandaraya Melaka Bersejarah selain ke Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Sebuah slot perkongsian kuliah turut dianjurkan pada hari pertama program yang disampaikan oleh pengarah program, Dr. Noor Aimran Samsudin berkaitan kepentingan pemeliharaan identiti bandar warisan tempatan manakala Dr. Lee Yoke Lai dari Jabatan Senibina Landskap berkongsi mengenai identiti landskap budaya Malaysia dan sumbangannya terhadap karektor setempat. Delegasi Vietnam yang diketuai oleh Dr. Nguyen Cao Lanh, Timbalan Presiden FAP NUCE telah disambut kehadirannya ke UTM oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Rafee Majid, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi, Komersialisasi dan Jaringan).
Aktiviti seperti ini telah berjaya membantu merealisasikan Bidang Tumpuan ke-7 dalam Pelan Global UTM 2012-2020 iaitu “Memperkasakan jenama UTM di peringkat global”. Program UTM Summer School yang bermula pada 31 Januari sehingga 5 Februari 2017 ini turut diisi dengan penganjuran bengkel mini yang menekankan akan pentingnya pengukuhan identiti bandar warisan dengan citra tempatan. Peserta dikehendaki untuk mengenalpasti komponen dan elemen reka bentuk bandar yang menyumbang ke arah pembentukan identiti tempatan.
Hari-1, Khamis (1 Februari 2018) : Sesi kuliah dan bertolak ke Muar
Hari-2, Jumaat (2 Februari 2018) : Menyelusuri Sungai Muar
Pada sebelah pagi, peserta dibawa menyelusuri Sungai Muar menaiki bot dari Jeti Tanjung Emas. Dengan menyelusuri sungai, peserta berpeluang melihat keindahan Bandar Diraja dari sudut visual dan pemandangan yang berbeza. Bandar Maharani yang mula dibuka sejak tahun 1887 semasa zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar berkembang pesat selari mengikut tebing sungai sehingga muara Sungai Muar. Pada hari ini kewujudan bangunan warisan yang masih terpelihara seperti istana, masjid, pejabat daerah, mahkamah, balai polis dan deretan bangunan rumah kedai tradisional menghidupkan persekitaran bandar tersebut sebagai sebuah Bandar Diraja di Johor. Peserta berpeluang menyelusuri sejarah Kesultanan Johor dan hubungkaitnya dengan sejarah kegemilangan Melaka. Seterusnya, lawatan diteruskan lagi ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Ketika di Melaka, peserta dibawa menyelusuri laluan jejak warisan yang ditetapkan oleh penganjur. Permulaan perjalanan dimulakan dengan memberi pendedahan kepada sejarah Bandaraya Melaka. Peserta didedahkan dengan sejarah kewujudan Kota Melaka (A‟ Famosa) yang pernah menjadi pusat pentadbiran kepada sebuah kerajaan maritim terunggul di sebelah Timur bermula zaman Kesultanan Melayu Melaka sebelum ditawan oleh Portugis, Belanda dan British. Perjalanan diteruskan lagi ke Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka bagi memberi
pendedahan tentang sejarah permulaan Melaka pada zaman dahulu dan pengetahuan berhubung institusi Kesultanan Melayu Melaka. Selain itu, peserta dapat menerokai dan melihat paparan koleksi pakaian tradisional, aksesori perhiasan dan peralatan senjata yang digunakan pada zaman dahulu. Setelah selesai menerokai muzium tersebut, pelajar dibawa ke Bukit St. Paul bagi melihat Gereja St. Paul dengan lebih jelas. Di sini, peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan yang melibatkan pembentukan sejarah daripada para pensyarah. Pada sebelah malam pula, peserta diraikan dalam sebuah jamuan di Restoran Muara Sungai Duyung.
Hari-3 Sabtu (3 Februari 2018) : Tapak Warisan Dunia Melaka UNESCO Melaka
Pada hari ke-3 terdapat beberapa muzium yang dilawati peserta iaitu Muzium Negeri, Muzium Etnografi dan Muzium Senibina. Kawasan deretan bangunan rumah kedai tradisional turut diterokai keunikkan senibinanya khususnya di sekitar Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Jonker. Peserta diperkenalkan dengan kepelbagaian warisan nyata (tangible) dan tidak nyata (intangible) yang berkait rapat dengan Outstanding UniversalValues (OUV) yang terkandung di tapak UNESCO tersebut termasuklah melihat kehidupan masyarakat tempatan di Kg. Ketek dan Kg. Morten. Pada sebelah malam peserta turut dibawa menyelusuri Sungai Melaka melihat keindahan lampu hiasan yang menerangi pesisir sungai dan deretan rumah kedai dan perkampungan tradisional, Kampung Morten.
Hari Ke-4, Ahad (4 Februari 2018) – Putrajaya dan Kuala Lumpur
Setelah melawat di sekitar Putrajaya, peserta dibawa ke tempat penginapan yang telah disediakan. Setelah itu, para peserta dibawa ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan menaiki pengangkutan awam. Di sini, mereka diberi peluang untuk merasai pengalaman menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menjadi salah satu kemudahan pengangkutan moden ibu negara. Setelah sampai di KLCC, para peserta diberi peluang untuk menonton pertunjukan air pancut berirama di hadapan KLCC yang menjadi tempat ikonik. Para peserta dapat melihat dan merasasi suasana aktiviti yang dilakukan oleh warga Kuala Lumpur pada waktu malam hari. Pada pukul 11 malam, para peserta dibawa pulang dengan menaiki LRT dan berjalan kaki ke tempat penginapan.
Hari Ke-5, Isnin (5 Februari 2018) : Pembentangan akhir
Pada hari terakhir, peserta diminta membuat pembentangan mengenai identiti dan perbezaan di setiap tapak lawatan yang peserta telah lewati iaitu di Muar, Melaka, Putrajaya, dan Kuala Lumpur. Setiap peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan 1 kumpulan terbahagi kepada 5 ke 6 peserta. Kumpulan 1 telah menerangkan mengenai perbezaan antara setiap tapak lawatan, kumpulan 2 menerangkan apa itu identiti di setiap tapak lawatan, manakala kumpulan 3 membentangkan mengenai keunikan makanan di Malaysia dan identiti di Muar, dan kumpulan terakhir menerangkan mengenai pelbagai jenis senibina dan identiti. Setiap kumpulan berjaya melakarkan pelbagai jenis senibina yang terdapat di setiap tempat mereka lawati. Pada akhir pembentangan, setiap pensyarah telah memberi komen yang positif kepada setiap pembentangan peserta. Wang saguhati turut diberikan kepada peserta hasil kutipan „denda‟ yang dikenakan kepada setiap peserta yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing semasa berkomunikasi dalam program ini bagi menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Majlis penutup dan sesi penyampaian sijil kepada peserta telah diadakan selepas selesai pembentangan. Selesai penyerahan sijil, peserta dibawa melawat ke sekitar Masjid Jamek. Pihak pengurusan masjid telah sudi menerangkan sejarah pembinaan masjid tersebut. Peserta juga dibawa melawat sekitar masjid dan merasai suasana di dalam masjid dan juga di masjid ini mempunyai pelbagai Al-quran terjemahan dan ini membolehkan pelancong memahami isi kandungan Al-quran tersebut. Selepas itu, peserta dibawa ke Pasar Seni dan seterusnya ke Bangunan Sultan Abdul Samad-Dataran Merdeka. Pelbagai perisitwa penting berkaitan sejarah kemerdekaan negara telah dikongsikan kepada peserta di kawasan tersebut. Selesai lawatan, semua peserta telah berangkat pulang dengan menghantar delegasi Vietnam ke KLIA2 pada sebelah petang sebelum kembali pulang ke kampus UTM JB.
Speak Your Mind